Isnin, 27 Disember 2010

Pengerusi Umno baru janjikan BN kuat di Pulau Pinang

THE MALAYSIAN INSIDER

KUALA LUMPUR — Datuk Zainal Abidin Osman, yang dilantik sebagai pengerusi Umno Pulau Pinang yang baru, berjanji akan memastikan Pakatan Rakyat tidak akan “mendapat” laluan mudah dalam menghadapi pilihan raya umum ke-13, disebut-sebut diadakan tahun depan.

Sambil mengakui tanggungjawab baru ini yang diumumkan petang tadi sebagai peranan yang mencabar, Zainal yang kini merupakan timbalan pengerusi Umno negeri menyifatkan “kenaikan” pangkat itu sebagai sesuatu yang berat memandangkan Pulau Pinang terdiri daripada pesaing-pesaing politik berpengaruh dan “nama-nama besar”.

“Buat kali pertama dalam tempoh 30 tahun, saya menyandang jawatan ini . . . paling sukar dan mencabar khususnya di Pulau Pinang,” kata beliau.

“Pun begitu, saya akan memastikan mereka sibuk (tidak senang duduk) sepanjang masa, saya akan bekerja keras untuk menyediakan medan perang (menghadapi pilihan raya umum ke-13) yang kuat,” kata Zainal Abidin, Ketua Umno Nibong Tebal ini ketika dihubungi.

Pulau Pinang salah satu daripada tiga negeri yang mendapat kepimpinan baru, diumumkan oleh Setiausaha Agung Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor.

Dua negeri lain ialah Terengganu dan Kedah.

Pelantikan Zainal, orang Pulau Pinang datang selepas 20 bulan diketuai oleh Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi setelah negeri jatuh ke tangan Pakatan Rakyat pada 8 Mac 2008.

Sejak itu kepimpinan Umno negeri itu diterajui Zahid.

Umno negeri Pulau Pinang, Terengganu dan Kedah sebelum ini diketuai oleh naib-naib presiden parti itu.

Timbalan Zainal Abidin ialah Datuk Musa Sheikh Fadzir.

Zainal Abidin, yang juga anggota Mahlis Tertinggi juga berkata, beliau yakin dapat menyempurnakan tanggungjawab dengan baik memandangkan mempunyai hubungan baik dengan parti-parti komponen Barisan Nasional (BN).

“Saya akan mewujudkan BN yang kuat dalam di Pulau Pinang,” kata beliau yang kehilangan isterinya akibat kanser minggu lalu.

Menyifatkan tanggungjawab terbaru ini sebagai kepercayaan kepimpinan Datuk Seri Najib Razak dan timbalannya Tan Sri Muhyiddin Yassin, Zainal Abidin berkata, beliau akan menyumbang perkhidmatan kepada keseluruhan rakyat Pulau Pinang tanpa mengira kaum dan agama.

BN Pulau Pinang diketuai oleh Presiden Gerakan Senator Tan Sri Dr Koh Tsu Koon.

Pelantikan ketua-ketua negeri yang baru berkuat kuasa 1 Januari.

“Saya akan memanggil mesyuarat negeri dalam waktu terdekat (selepas 1 Januari),” kata beliau.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.