Jumaat, 31 Disember 2010

Najib di Selangor dan uniknya Tenang


Ahmad Lutfi Othman


Inikah bentuk transformasi politik Najib Razak? Apa ertinya jika sekadar menggantikan tiga pengerusi perhubungan Umno negeri dengan timbalan mereka? Ekoran itu, apa sebenarnya perubahan yang bakal dinikmati rakyat? Apa kena-mengena pergolakan dalaman Umno dengan impian warga Malaysia yang mahukan kehidupan lebih makmur, adil dan Islami?

Tuntutan agar sistem politik yang lebih berintegriti, bertanggungjawab, terbuka, telus, demokratik, menggalakkan partisipasi rakyat, tidak meminggirkan suara minoriti, perubahan menyeluruh proses pilihan raya, kebebasan bersuara, dan seterusnya senarai panjang yang perlukan reformasi segera, langsung tidak disentuh Najib. Pengumuman Tengku Adnan Tengku Mansor itu hanya merupakan sebahagian persiapan Umno mempertahankan sisa-sisa kuasa, dan tiada hubungan dengan transformasi politik negara.

Di kala semua negeri-negeri lain diketuai anak tempatan, bagaimana pula dengan tindakan mengekalkan Najib di Selangor dan pelantikan Isa Abd Samad sebagai Pengerusi Felda? Awal-awal lagi Isa menjelaskan misi utamanya sarat dan tebal dengan motif politik, bagi mengekang pengaruh pembangkang. Tunggulah karenah bekas menteri yang pernah disabitkan dengan amalan rasuah politik dalam pemilihan Umno itu, yang kini mendapat kepercayaan Najib bagi mempertahan kubu terakhir Umno di kawasan Felda.

Ketiga-tiga naib presiden Umno diminta melepaskan jawatan penting di Kedah, Pulau Pinang dan Terengganu, namun Najib sebagai pengerusi Umno di Selangor masih mempertahankan kedudukannya. Apakah ia bermaksud negeri termaju itu merupakan sasaran utama Umno-BN, yang tidak dapat tidak mesti ditawan semula dalam PRU13, walau dengan apa cara sekali pun? Ataupun timbalan pengerusi, Noh Omar belum cukup bersedia memikul tanggungjawab besar, selain dibimbangi tindak-balas pengikut Dr Khir Toyo jika Najib menyerahkan posisi strategik kepada Menteri Pertanian itu?

Apa pun, keputusan mempertahankan Najib di Selangor menunjukkan dengan jelas keseriusan Umno untuk menebus semula kekalahan BN yang memalukan pada Mac 2008. Selangor adalah lubuk emas yang tidak boleh dibiarkan lama berada di bawah seteru politik BN. Laluan ke Putrajaya tambah meyakinkan jika negeri-negeri maju dan kaya seperti Selangor kekal dikuasai Pakatan Rakyat. Justeru, usah terkejut dengan "permainan paling kotor" yang bakal dipersembahkan Najib di Lembah Klang.

Kontroversi perlantikan Setiausaha Kerajaan (SUK) Negeri Selangor yang baru, Mohd Khusrin Munawi, membayangkan "komplot" terancang BN itu. Pandangan Menteri Besar, Abd Khalid Ibrahim langsung tidak dipedulikan, malah tidak dimaklumkan pun.

Rombakan kepemimpinan Umno di Perlis lebih melucukan, sekali gus menonjolkan pertelingkahan serius. Bekas menteri besar, Shahidan Kassim yang dilantik timbalan Dr Md Isa Sabu awal-awal lagi menegaskan: "Jika tanya pasal gandingan, bagi saya itu suatu yang mustahil terutama untuk bekerjasama dengan individu yang saya lihat sebagai 'menyamun' jawatan saya sebelum ini."

Meskipun Ahmad Bashah Md Hanipah diberi kepercayaan mengetuai misi merebut Kedah daripada Pakatan Rakyat, yang jelas pengaruh bekas Perdana Menteri, Dr Mahathir Mohamad dalam pentadbiran Najib nampak menyerlah apabila Mukhriz Mahathir menjadi orang no. 2 di sana. Mukhriz tidak mempunyai apa-apa jawatan penting di peringkat Umno bahagian, tetapi dijangka akan ditonjolkan sebagai pesaing Menteri Besar, Ustaz Azizan Abd Razak. Serentak dengan itu, dipercayai beberapa pemimpin Umno negeri yang dikaitkan dengan Abdullah Ahmad Badawi bakal melalui laluan sukar.

Ahmad Said di Terengganu mungkin lega seketika namun pengikut Idris Jusoh dipercayai tidak semudah itu untuk menyerah kalah. Terengganu merupakan negeri yang sentiasa menyaksikan pertarungan sengit PAS-Umno sejak merdeka. Konflik dalaman mana-mana parti berkenaan boleh menjadi faktor besar dalam menentukan siapa menerajui kerajaan negeri.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.