Ada beberapa perkara menarik sekitar budaya yang mahu saya tulis untuk wacana kali ini sebenarnya. Tapi, ada pula satu hal yang sejak beberapa hari lalu asyik menjenguk ke dalam fikiran, dan seperti meminta supaya dibicarakan, atau setidak-tidaknya diperhatikan.
Perkara tersebut ialah mengenai gaji seorang tokoh perniagaan, yang banyak diperkatakan akhir-akhir ini, apabila Menteri Besar Selangor Tan Sri Khalid Ibrahim mahu mengembalikan kemakmuran ekonomi Selangor kepada rakyatnya, atau apa yang disebut-sebut sebagai "merakyatkan ekonomi".
Ini satu daripada beberapa perkara baik yang segera dilakukan oleh Khalid Ibrahim apabila mengambilalih teraju pentadbiran Selangor pada Mac 2008. Dia sendiri seorang tokoh korporat, seorang tokoh perniagaan, sebelum masuk ke bidang politik. Maka sesuai dengan kepakaran dan pengalamannya itu, dia memberi perhatian lebih kepada hal-hal ekonomi.Salah satu perkara yang diperhatikannya ialah air (di samping soal pasir dan sebagainya). Air di Selangor, seperti yang kita semua tahu, diswastakan pengurusannya kepada sebuah syarikat, dan syarikat itu (seperti yang kita semua pun tahu) dikenali sebagai Syabas. Kerja ini, yakni menswastakan pengurusan air ini, dilakukan di zaman negeri Selangor diperintah oleh Umno-BN.
Khalid Ibrahim memang tahu dan arif sangat dengan perkara penswastaan ini. Dia tahu kenapa pemimpin Umno-BN melakukannya, (kerana dia sendiri pun pernah berada di situ juga dulunya). Keputusan untuk memberi air percuma sebanyak 20 meter padu setiap bulan kepada rakyat Selangor itu bukanlah dibuatnya secara sembrono, tanpa mengkaji untung ruginya terlebih dahulu. Dia mempunyai cukup maklumatnya.
Maka dia mahu hentikan amalan gila merompak hak dan kekayaan rakyat yang sekian lama diamalkan oleh para pemimpin Umno-BN itu, yang salah satunya adalah melalui penswastaan air. Ada banyak lagi yang lain-lainnya, yang akan ditanganinya satu persatu. (Mungkin selepas ini Alam Flora).
Ini adalah antara episod pendedahan kerja-kerja jahat-zalim pemimpin Umno yang cukup menarik untuk diperhatikan, dan didedahkan kepada rakyat, supaya rakyat faham dan sedar siapa sebenarnya pemimpin Umno yang sekarang sedang menjerit-jerit "ketuanan Melayu" itu.
Dan paling menarik dalam episod ini, setakat ini, (sekurang-kurangnya bagi orang atau rakyat biasa seperti saya), ialah apabila didedahkan jumlah gaji dan elaun yang diterima oleh tauke dan ketua eksekutif (CEO) syarikat yang menguruskan air bersih di Selangor itu, sebanyak RM425 ribu sebulan, atau RM5.1 juta setahun (seperti dilaporkan).
RM425 ribu sebulan! Bukan RM4,250 dan bukan RM42,500 pun. Tapi RM425 ribu atau hampir setengah juta ringgit sebulan. Sesuatu yang kita tak pernah terfikirkan pun. (Pernahkah? Oh ho, oh ho!) Dan syarikat itu apa perniagaannya? Air!
Air apa? Air biasa! Air yang kita buat minum, mandi, basuh pakaian dan sebagainya itu. Mereka buat perniagaan daripada air itu, yang sumber asalnya boleh didapat percuma di merata-rata bumi di negara kita ini, mereka buat berniaga dan mereka boleh untung sampai begitu besar sekali, sampai taukenya boleh terima gaji sebanyak hampir setengah juta ringgit sebulan.
Ada dua perkara menarik di sini. Pertama, benda yang diperniagakan, dan kedua, jumlah gaji yang terlalu besar.
Benda yang diperniagakan, seperti telah disebut tadi, ialah air. Benda biasa. Benda yang asalnya adalah hak semua orang. (Dan sepatutnya ia terus menjadi hak semua orang, yakni hak Kerajaan, yang memegang amanah untuk rakyat, 'kan!) Alih-alih, di tangan Umno-BN ia ditukarkan menjadi barang perniagaan yang boleh membawa keuntungan yang tersangat besar.
Kalau tidak tersangat besar, macamana taukenya boleh ambil gaji sampai dekat setengah juta ringgit sebulan?
Tahu banyak mana RM425,000 sebulan tu? Kalau anda nak beli rumah teres dua tingkat di sekitar Kuala Lumpur, anda tak perlu tunggu lama. Sebulan gaji saja cukup untuk bayar cash. RM425,000 bahagi 30, jadi RM14,167 sehari.
Kerja apa boleh dapat untung bersih untuk seorang RM14 ribu setiap hari?
Hah ha ... kerja menguruskan air untuk rakyat jelata sebuah negeri yang sebesar negeri Selangor. Siapa yang bayar dia? Siapa yang upah dia? Siapa yang pilih dia untuk buat kerja yang semudah itu?
Tanyalah apa nak tanya pun, dan katalah apa nak kata pun. Memang tak masuk akal. Tak ada penjelasan. Melainkan bahawasanya itu adalah satu penipuan dan perompakan hak rakyat secara terang-terang, yang dilakukan sendiri oleh sebuah kerajaan yang bernama Umno-BN.
Dan satu perkara yang cukup menariknya di sini, bagi saya, ialah bagaimana seorang manusia Islam boleh dengan bersahajanya dan selambanya mengambil duit sebanyak itu setiap bulan dan menganggap itu sebagai hak dia. Dan apabila ada seorang Menteri Besar baru hendak membuat perundingan semula dengan dia supaya perkara itu menjadi lebih wajar, waras, masuk akal dan bersifat agak kemanusiaan, dia membantahnya dengan sekeras-kerasnya dan mempercayai bahawa hukum atau undang-undang akan menyebelahinya.
Menarik! Cukup menarik! Melihatnya dari sudut kajian kemanusiaan, atau kajian manusia. Bagaimana seorang manusia boleh atau mampu mengambil wang sebegitu banyak daripada rakyat jelata yang sebahagian besarnya masih bermasalah untuk membayar bil air walaupun sekadar RM50 sebulan.
Masyarakat apakah masyarakat kita sekarang, yang boleh mewajarkan hal-hal seperti ini berlaku di kalangan kita? Seorang Menteri Besar (yang dipilih oleh rakyat) terpaksa berhadapan dengan seorang manusia yang diberikan hak-hak tertentu dan dikawal oleh undang-undang negara, apabila dia hendak mengembalikan semula air yang asalnya adalah hak rakyatnya, kepada rakyatnya
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.