Selasa, 2 November 2010

Timbalan Presiden PKR: Azmin dahului pusingan pertama


IMG00418-20101101-1248Oleh Fazy Sahir dan Rahmah Ghazali

DIKEMASKINI PETALING JAYA: PKR hari ini memperbetul dan mengemaskini keputusan pengiraan undi untuk jawatan timbalan presiden di mana Azmin Ali secara rasmi mendahului perlumbaan dengan lebih 500 undi setelah tamat pusingan pertama pada hujung minggu.

Azmin, disebut sebagai bakal pengganti Ketua Umum Datuk Seri Anwar Ibrahim, meraih 3,051 undi berbanding pencabar terdekat Ketua PKR Wilayah Persekutuan Dato’ Zaid Ibrahim dengan 2,529 undi manakala calon ketiga Mustaffa Kamil Ayub mendapat 1,149 undi.

Angka-angka rasmi di atas diumumkan oleh Setiausaha Agung Saifuddin Nasution pada sidang media di ibu pejabat PKR di sini hari ini.

Pada awal pagi tadi, Timbalan Setiausaha Agung Sharifah Shahidah menghantar mesej bahawa Zaid mendahului dalam pusingan pertama dalam pemilihan pimpinan parti.

Menurut beliau, Zaid sedang mendahului Azmin dengan 632 undi. Beliau menambah Zaid memperoleh 3,683 undi berbanding Azmin 3,051 undi dan Mustaffa ditempat ketiga dengan 1,271 undi.

Perlumbaan untuk naib presiden

Sementara itu, perlumbaan untuk jawatan naib presiden menyaksikan pengarah strategik PKR dan juga Ahli Parlimen Batu Tian Chua mendahului dengan 3,621 undi. Beliau diikuti rapat oleh Ahli Parlimen Lembah Pantai Nurul Izzah Anwar dengan 3,543 undi.

Dua lagi calon pilihan untuk naib presiden ialah pengarah pilihan raya parti dan juga Ahli Parlimen Kuantan Fuziah Salleh yang mendapat 2,895 undi manakala Timbalan Ketua Menteri 1 Pulau Pinang Dr Mansor Othman meraih 2,852 undi.

Untuk jawatan ahli Majlis Pimpinan Pusat (MPP), penyandang Dr Badrul Amin Bahron mendahului dengan selesa apabila meraih 3,087 undi. Beliau diikuti dengan rapat oleh exco negeri Selangor dan juga ahli dewan undangan negeri (Adun) Bukit Lanjan, Elizabeth Wong dengan 2,582 undi.

Juga yang berada pada kedudukan di atas ialah Ahli Parlimen Sungai Petani Johari Abdul dengan 2,572 undi. Ahli Parlimen Petaling Jaya Selatan Hee Loy Sian merupakan calon yang mendapat undi paling sedikit untuk jawatan MPP iaitu 2,174 undi.

Sementara penyandang Ketua Wanita dan juga Ahli Parlimen Ampang Zuraida Kamaruddin dengan selesa mendahului dengan 1,160 undi, meninggalkan pencabar Animah Ferrer dengan 408 undi dan Suraya Sudin (403).

Adun Batu Tiga dan juga exco negeri Selangor Roziah Ismail mendahului dalam perebutan timbalan ketua wanita berbanding Asmah Abdul Kadir yang mendapat 414 undi.

Tetapi pertandingan untuk jawatan Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) lebih sengit apabila penyandang Shamsul Iskandar Mohd Akin memperoleh 1,029 undi berbanding dengan pencabarnya Badrul Hisham Shaharin (CheguBard) mendapat 1,133 undi.

Untuk jawatan timbalan AMK pula, Ketua AMK Selangor Khairul Anuar Zainuddin memperoleh 1,214 undi mengatasi Adun Teja Chang Lih Kang dengan 833 undi.

Undi dikira semula berikutan protes

Walaupun terdapat perbezaan yang ketara dari segi jumlah undi pada pagi tadi, Saifuddin berkata jumlah undi dikira semula berikutan kesilapan jumlah undi yang diumumkan oleh Shahidah.

Beliau berkata pengiraan semula dibuat apabila para penyokong dari kedua-dua kem Zaid dan Azmin memprotes terhadap percanggahan siapa yang mendahului dalam perlumbaan merebut jawatan timbalan presiden.

"Kedua-dua penyokong Azmin dan Zaid menyoal kenapa terdapat perbezaan yang luas di antara kedua-dua angka itu. Jadi kita membuat pengiraan semula dan menyalahkannya atas "kesilapan manusia," katanya.

Pegawai pilihan raya PKR Radin Shamsul Kamar Radin Shamsudin kemudian memberitahu FMT bahawa "kesilapan manusia" berlaku kerana mereka menghadapi kekurangan staf.

"Hanya tiga pegawai yang bertugas untuk mengira undi dari semua cabang dan mereka merasai tekanan," katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.