Selasa, 2 November 2010

Sidang DUN Pulau Pinang ‘panas’ isu sumber wang ihsan

BERNAMA

GEORGE TOWN– Persidangan Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang yang bermula hari ini menjadi “panas” dengan pertikaman lidah antara beberapa penyokong kerajaan negeri DAP itu dan pembangkang berhubung sumber wang ihsan kepada warga emas di negeri itu.

Dalam tempoh 30 minit selepas sesi soalan lisan bermula, suasana menjadi panas apabila Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Kebajikan dan Masyarakat Penyayang, Phee Boon Poh, menjawab soalan lisan berkaitan pemberian wang sebanyak RM100 kepada warga emas oleh kerajaan negeri.

Dalam menjawab soalan Jagdeep Singh Deo (DAP-Datok Keramat) itu, Phee berkata, tidak timbul isu wang judi digunakan kepada warga emas kerana peruntukan bantuan itu adalah termaktub dalam bajet 2010.

Beliau berkata sememangnya kerajaan negeri telah menerima wang sumbangan Penang Turf Club sebanyak RM2 juta tetapi ia adalah pada tahun 2010 dan wang itu tidak digunakan kerana ia bukanlah wang dalam peruntukan bajet 2010.

Phee berkata Umno telah memfitnah kononnya wang RM100 itu adalah wang judi sedangkan peruntukan untuk bantuan warga emas itu telah diluluskan dalam bajet 2010 pada sidang dewan tahun 2009 manakala wang dari Penang Turf Club hanya diterima pada tahun ini.

Datuk Arif Shah Omar Shah (BN-Seberang Jaya) kemudiannya berkata, apa yang berlaku ialah umat Islam di Pulau Pinang berasa was-was dengan wang itu setelah Ketua Menteri Lim Guan Eng sendiri mengakui telah menerima wang sumbangan kelab lumba kuda itu.

“Kita was-was dengan wang itu sebab Ketua Menteri sendiri mengaku telah menerima wang judi dan kerajaan kononnya telah membuka dua akaun berasingan untuk bantuan kepada orang Islam dan untuk bukan Islam. Adakah jawapan Exco Kebajikan (Phee) ini menggambarkan bahawa Ketua Menteri telah berbohong?” katanya.

Arif Shah juga menempelak Phee yang bercakap mengenai hukum-hakam Islam dalam memberi jawapannya.

Speaker Datuk Abdul Halim Hussein kemudiannya menenteramkan keadaan dengan meminta semua anggota dewan supaya tidak menjerit-jerit sebaliknya hendaklah bercakap dengan sopan.

Seorang penyokong kerajaan R.S.N.Rayer (DAP-Sri Delima) mendakwa pemimpin Umno telah membuat fitnah dan telah memburuk-burukkan Lim kononnya sebagai seorang pembohong.

Beliau mahu kerajaan mengambil tindakan terhadap wakil rakyat BN.

Jagdeep Singh kemudiannya meminta kerajaan negeri melantiknya sebagai peguam untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap pemimpin Umno yang didakwanya telah membuat fitnah.

Ketua pembangkang Datuk Azhar Ibrahim (BN-Penaga) kemudiannya meminta penjelasan Lim mengenai jawapan Phee yang bercanggah dengan kenyataan ketua menteri itu.

Katanya Lim harus bertanggungjawab kerana kenyataannya kepada media bahawa kerajaan negeri menerima sumbangan wang kelab lumba kuda dan membuka dua akaun berasingan itu telah menyebabkan umat Islam menjadi was-was dan mengambil tindakan untuk memulangkannya semula kepada kerajaan.

Datuk Jasmin Mohamad (BN-Sungai Dua) pula berkata Phee gagal membuktikan bahawa sememangnya wang hasil sumbangan kelab lumba kuda itu diasingkan walaupun mendakwa ianya tidak digunakan.

Lim bagaimanapun tidak melayan asakan oleh wakil-wakil rakyat Barisan Nasional (BN) sebaliknya hanya menjawab soalan seorang lagi penyokong kerajaan Koid Teng Guan (DAP-Sungai Pinang) mengenai status pengorekan pasir di kawasan Genting dan Sungai Rusa di Balik Pulau.

Katanya kerajaan negeri tidak mengenakan bayaran royalti terhadap pemilik tanah berstatus gred satu itu.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.