Selasa, 2 November 2010

PKR: Pilihan raya kecil, Piala Malaysia antara punca keluar undi rendah

TERKINI

PETALING JAYA – Pemilihan secara langsung yang julung kali Parti Keadilan Rakyat (PKR) adakan menyaksikan hanya sekitar tujuh sehingga sembilan peratus keluar mengundi pada tiga hari pertama pengundian membabitkan sejumlah 68 cabang.

Mendedahkan prestasi itu yang dilihat lebih buruk berbanding ketika pemilihan peringkat cabang berakhir awal bulan lalu, Setiausaha Agung PKR Saifuddin Nasution Ismail mempersalahkan ahli-ahlinya yang meminati bola sepak mengutamakan final Piala Malaysia yang berlangsung kelmarin.

Pada pertemuan itu, Kelantan buat kali pertama menjulang Piala Malaysia dengan mengatasi pasukan Negeri Sembilan.

Keadaan bertambah buruk dengan tumpuan memfokus ke atas dua pilihan raya kecil DUN Galas dan Parlimen Batu Sapi.

“Komunikasi (yang lemah) menyumbang kepada paras peratusan yang rendah... kami tidak dapat mengatasi kekurangan ini dalam waktu singkat,” katanya.

Saifuddin juga menyalahkan kerajaan pusat Barisan Nasional (BN) yang menggantung lesen penerbitan akhbar PKR, Suara Keadilan yang sebelum ini menyebarkan berita-berita mengenai aktiviti parti dengan meluas.

Saifuddin berkata, masih ada masa memandangkan pengundian akan dilangsungkan selama tujuh hari sepanjang dua minggu akan datang.

“Pemilihan langsung semasa untuk memilih anggota Majlis Pimpinan Pusat bagi minggu pertama melibatkan 68 cabang. Masih ada 150 cabang yang belum mengadakan pengundian,” kata beliau.

Antara 150 cabang berkenaan, kata Saifuddin, empat bahagian tiada jawatankuasa penaja iaitu Air Hitam dan Mersing di Johor dan dua lagi di Sarawak Igan dan Limbang.

Kesemua ahli dalam keempat-empat cabang berkenaan boleh membuang undi di cabang terdekat dengan mereka.

Bagaimanapun Saifuddin tidak dapat menyediakan butiran jumlah pengundi yang keluar mengundi di kesemua 68 cabang pada tiga hari pertama.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.