Presiden PKR itu juga berkata sokongan orang Melayu terhadap Umno kini semakin menurun, malah gelombang sokongan orang bukan Melayu sudah beralih ke Pakatan Rakyat.
“Sokongan orang Melayu terutamanya generasi muda semakin menurun. Gelombang sokongan orang bukan Melayu, rakyat Sabah dan Sarawak pula kini sudah beralih ke Pakatan Rakyat.
“Sesungguhnya, mereka telah gagal melaksanakan amanah rakyat untuk membina negara Malaysia yang bermaruah, mempamerkan keadilan Islam, menerapkan ajaran Islam dan gagal memartabatkan Islam sebagai agama Persekutuan.
“Pelaksanaan undang-undang kerajaan sentiasa tidak konsisten dan berubah-ubah mengikut selera mereka,” kata Dr Wan Azizah ketika menyampaikan ucapan dasar presiden pada Kongres Nasional PKR di sini.
Dr Wan Azizah menegaskan isu survival Melayu dan agama Islam di negara ini tidak akan dapat diselesaikan jika melihat melalui teropong Umno.
“Ia perlu dikaji dari perspektif baru dalam fenomena baru realiti politik berasaskan demokrasi di Malaysia. Jika Umno benar-benar ikhlas, hentikan segala kezaliman, penindasan dan kemungkaran yang diamalkan selama ini.
“Suburkanlah iklim demokratik di Malaysia berasaskan perlembagaan negara yang ada. Wujudkan ruang persaingan yang terbuka dan sihat dan berasaskan syariat yang ditetapkan Islam dan ini akan menjadikan kita lebih kreatif dalam usaha menyampaikan khidmat yang terbaik untuk seluruh rakyat.
“Dengan ini Islam yang murni akan lebih terserlah, barisan kepimpinan Islam yang bertaqwa, bijaksana dan adil akan dapat dilahirkan. Masyarakat bukan Islam akan lebih memahami Islam dan melihatnya secara objektif dan tepat,” katanya.
Menurut Dr Wan Azizah, PKR menerusi Pakatan Rakyat mahu mewujudkan sebuah masyarakat majmuk yang dapat hidup bersama di negara ini.
“Bagi kita PKR dan Pakatan Rakyat, kita mahukan wujudnya sebuah masyarakat majmuk yang dapat hidup bersama dengan saling lengkap melengkapi dan bekerjasama ke arah negara yang makmur dan aman damai.
“Islam yang sebenar mengajar umatnya agar bersikap adil, sederhana dan sentiasa menghormati bangsa dan agama lain,” katanya.
Oleh yang demikian, beliau menyeru kepada seluruh rakyat di negara ini agar tidak diperkotak-katikkan oleh Umno.
“Oleh yang demikian, kita menyeru kepada seluruh orang Melayu, umat Islam dan masyarakat Malaysia umumnya agar tidak mudah diperkotakkatikkan oleh Umno dengan mengatakan bahawa mereka akan kehilangan kuasa dan suara jika negara diperintah oleh Pakatan Rakyat.
“Kita juga menyeru kepada semua rakyat Malaysia agar dapat berfikir dengan rasional dan fakta yang jelas serta tidak keliru dengan dakwaan mereka.
“Jelas terbukti bahawa Umno-BN telah pun mengkhianati mereka di masa silam. Apakah yang dapat menjamin mereka tidak akan berlaku curang lagi di masa hadapan jika amanah kuasa terus diberikan kepada mereka?” kata bekas ahli Parlimen Permatang Pauh ini.
Beliau berkata hasrat itu kini semakin menjadi kenyataaan apabila melihat orang bukan Melayu tidak lagi fobia terhadap Islam.
“Perkara ini sedang menjadi kenyataan, masyarakat bukan Islam tidak lagi menjadi fobia kepada Islam apabila bersedia mengundi parti Islam di dalam pilihan raya, selepas sekian lama.“Umno telah menjadikan segala berunsur Islam sebagai momokan kepada mereka,” katanya.
Dr Wan Azizah berkata Umno ditolak rakyat di negara ini disebabkan kemungkaran dan kezaliman yag dilakukan pemimpin sendiri.
“Umno ditolak rakyat bukan kerana perpecahan kepimpinan Melayu tetapi Umno ditolak hasil dari segala kemungkaran dan kezaliman diri mereka sendiri.
“Perjuangan pemimpin Umno bukanlah untuk menegakkan agama dan keadilan kepada rakyat, asas perjuangan mereka adalah kecintaan kepada dunia dan ketakutan kepada mati.
“Malah amalan rasuah, kronisme, penipuan, khianat, memfitnah sesama sendiri dan jatuh menjatuhkan merupakan suatu kemestian demi merebut dan mengekalkan kuasa,” katanya.
Beliau berkata Umno ditolak rakyat di negara ini disebabkan kemungkaran dan kezaliman yag dilakukan pemimpin sendiri.
“Umno ditolak rakyat bukan kerana perpecahan kepimpinan Melayu tetapi Umno ditolak hasil dari segala kemungkaran dan kezaliman diri mereka sendiri.
“Perjuangan pemimpin Umno bukanlah untuk menegakkan agama dan keadilan kepada rakyat, asas perjuangan mereka adalah kecintaan kepada dunia dan ketakutan kepada mati.
“Malah amalan rasuah, kronisme, penipuan, khianat, memfitnah sesama sendiri dan jatuh menjatuhkan merupakan suatu kemestian demi merebut dan mengekalkan kuasa,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.