Oleh: ROZIE JUMAT LAPAN bulan selepas keputusan Mahkamah Tribunal Pengguna berpihak kepadanya, seorang pengguna kesal kerana tidak ada tindakan dilakukan oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDN) bagi melindungi dan mengembalikan haknya sebagai pengguna. Juaris Agud, 46, berkata, pada tarikh 5 Februari yang lalu, pihaknya telah memenangi kes terhadap sebuah syarikat kereta terpakai tempat beliau membeli sebuah kereta Toyota Land Cruiser pada tahun 2007 berharga RM28 ribu, dengan bayaran deposit sebanyak RM17 ribu dan selebihnya melalui pembayaran ansaruran RM360 sebulan selama tiga tahun. Bagaimanapun kata Juaris, setelah dua tahun menggunakan kenderaan tersebut pihak syarikat yang berpangkalan di daerah ini menggunakan pelbagai helah termasuk menuduh beliau sebagai pencuri untuk mendapatkan kereta tersebut. “Pihak syarikat telah merampas kereta ini dengan berbagai-bagai alasan penipuan, kerana tidak berpuas hati, saya membawa kes ini ke Mahkamah Tribunal dan memenanginya,”kata Juaris. Bagaimanapun kata Juaris, sehingga kini, pihak syarikat itu gagal menyerahkan kenderaan itu kepadanya, kerana telah dijual kepada pihak lain. Manakala pihak KPDN juga didakwanya gagal melaksanakan tanggungjawab mereka membela pengguna kerana sehingga kini tidak ada tindakan dilakukan meskipun beliau telah mengadu beberapa kali. Kata Juaris, apa yang mengecewakan ialah pihak syarikat tidak menghiraukan keputusan Mahkamah Tribunal sementara Pejabat Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, turut mempertikaikan keputusan mahkamah. “Bukankah ini jelas membayangkan kepada rakyat bahawa kerajaan UMNO gagal melindungi rakyat, dan saya sangat kesal kerana mungkin banyak kes sebegini berlaku di pedalaman tetapi tidak mendapat pembelaan sewajarnya,” kata Juaris. Kata Juaris, lapan bulan telah berlalu, sedangkan mengikut keputusan Mahkamah Mahkamah Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia, pihak syarikat itu diminta untuk mengembalikan kereta tersebut dalam masa 14 hari. “Saya sangat kesal kerana mereka lambat bertindak. Mereka tidak tahu betapa sukarnya keadaan kami sekeluarga menghadapi situasi ini, termasuklah samseng-samseng yang mengepung rumah kami untuk merampas kereta itu secara paksa dan pelbagai jenis ugutan, jenayah dan kekerasan,” tegas Juaris dengan nada kesal. Menurut Juaris lagi, memenangi kes itu tidak memberi keadilan kepadanya kerana tuntutan beliau tidak dihiraukan oleh pihak syarikat tersebut dan KPDNK juga terus berdiam diri. “Adakah keputusan Mahkamah Tribunal tidak diterima atau diiktiraf?,” kata Juaris mempersoalkan. Tambahnya kerajaan tidak dapat memberikan keadilan kepada rakyat kerana gagal melindungi kepentingan rakyat, walaupun kerajaan menubuhkan Mahkamah Tribunal melalui KPDNKK namun semuanya seolah-olah hanya mengaburi mata rakyat Malaysia khususnya di negeri Sabah. Sebagai pengguna kata Juaris beliau merasa tidak mendapat keadilan yang sewajarnya, dan usaha beliau untuk menuntut pembelaan gagal diberikan oleh pihak yang berkenan. Katanya beliau sangat kesal kerana KPDNK tidak peka dan tidak mampu menyahut saranan dan cabaran Perdana Menteri. Kegagalan mematuhi keputusan mahkamah (award) mengikut masa yang ditetapkan (14 hari dari tarikh award dikeluarkan) menjadi kesalahan jenayah di bawah Seksyen 117 Akta Perlindungan Pengguna (APP) dengan kesalahan pertama denda tidak melebihi RM5,000 atau penjara sekama tempoh tidak melebihi 2 tahun atau kedua duanya sekali. Kesalahan berterusan, sebagai tambahan kepada penalti di bawah Seksyen 117 (1), di denda tidak melebihi RM1,000 bagi setiap hari atau sebahagian hari selama kesalahan itu berterusan selepas sabitan. |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.