Sabtu, 27 November 2010

Kes Siti Fairuz 13 Disember, Norish Karman 26 Januari

SINAR HARIAN ONLINE

SHAH ALAM – Mahkamah Tinggi Syariah di sini semalam menetapkan 26 Januari tahun depan bagi kepu:tusan bantahan awal oleh Datuk Hashimuddin Abdul Kadir terhadap tuntutan hak penjagaan anak (hadanah) oleh bekas isterinya, pelakon Norish Karman.

Peguam Syarie mewakili Hashimuddin, Muhamad Burok mengesahkan kepada mahkamah pihaknya menerima hujahan balas daripada peguam Norish, Amli Embong.

Amli semalam tidak hadir ke prosiding itu kerana tidak sihat dan hanya diwakili pembantunya.

Norish atau nama sebenarnya, Nor’asikin Karman, 35, bernikah dengan Hashimuddin, 60, yang juga bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seri Menanti, Negeri Sembilan pada 11 Januari 1998 di Perlis dan bercerai 15 Julai tahun lalu di Mahkamah Rendah Syariah Petaling Jaya.:

Hasil pernikahan itu, mereka dikurniakan tiga cahaya mata, Haqiem Armany, 9; Hardy Amieran, 5; dan Putri Hanyz Amanda, 4.

Sementara itu mahkamah sama menetapkan pada 13 Disember ini bagi kes tuntutan mutaah (sagu hati selepas perceraian) dan harta sepencarian penyanyi popular tahun 1980-an, Siti Fairuz Sheikh Mohamed, 44, terhadap bekas suaminya yang dianggarkan bernilai RM200,000.

Pada tarikh berkenaan defendan, Muhamad Zainuddin Kordi, 45, dikehendaki hadir ke mahkamah bagi tujuan pengesahan rekod penyelesaian terma perjanjian sebelum ini.

Sekiranya defendan gagal hadir maka mahkamah akan menetapkan tarikh perbicaraan.

Penyanyi yang popular dengan lagu Bila Rindu Ku Sebut Namamu itu diwakili peguam syarie, Fakrul Azman Abu Hasan, manakala defendan diwakili peguam syarie, Wan Nureen Afiza Wan Azmi yang menyebut kes bagi pihak peguam syarie, Zuri Zabuddin.

Sebelum ini majlis sulh yang ditetapkan mahkamah gagal kerana defendan tidak hadir tanpa sebab.

Siti Fairuz memfailkan permohonan pada 26 November 2008 untuk menuntut mutaah dan harta sepencarian iaitu 10 harta alih dan tidak alih yang dibeli sepanjang tempoh perkahwinan.

Penyanyi itu bernikah dengan Mohamad Zainuddin yang bertugas sebagai pembantu teknik Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) pada 1988 dan dikurniakan lima anak.

Pada 14 Julai 2008, mereka sah bercerai secara taklik di Mahkamah Rendah Syariah Petaling Jaya mensabitkan taklik yang dilafazkan suaminya pada 1993.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.