BERA— Sebuah jawatankuasa bersama membabitkan beberapa kementerian diwujudkan bagi membanteras kegiatan penyelewengan diesel bersubsidi secara total di negara ini.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata penubuhan jawatankuasa itu membabitkan kementeriannya, Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani, Kementerian Pengangkutan, Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP) serta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah dipersetujui pada mesyuarat cabinet semalam.
Beliau berkata pihaknya percaya penyelewengan diesel bersubsidi itu bukan hanya berlaku di kalangan nelayan, malah pihak lain yang turut menerima subsidi berkenaan seperti teksi dan bas.
“Kerajaan tidak akan berkompromi berhubung isu penyelewengan subsidi diesel ini kerana ia melibatkan wang rakyat,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan karnival Kesihatan dan Keselamatan Parlimen Bera di Taman Kerayong Makmur hari ini.
Katanya, sebelum ini, setiap tindakan penguatkuasaan dijalankan di peringkat kementerian masing-masing sehingga menyukarkan pemantauan secara menyeluruh.
Bagaimanapun, Ismail Sabri berkata koordinasi dan pertukaran maklumat secara bersama lebih berkesan dalam membanteras kegiatan yang disifatkannya seperti mengkhianati negara sendiri.
Selain itu, beliau berkata jawatankuasa berkenaan akan mencari mekanisme terbaik dalam pemberian subsidi diesel bagi mengelak perkara tersebut daripada berulang.
Mengenai laporan bahawa ada anggota penguat kuasa KPDNKK terlibat dalam penyelewengan subsidi diesel, Ismail Sabri berkata kementeriannya tidak akan melindungi pegawai yang tidak berintegriti.
Bagaimanapun, beliau tidak menyatakan jumlah anggota yang terlibat namun mengesahkan tiga penguat kuasa KPDNKK Pahang disiasat berhubung perkara itu.
“Jika ada kes, SPRM akan bawa mereka ini ke muka pengadilan,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.