PETALING JAYA: - Pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Negara (PTPTN) perlu dihapuskan dan diganti dengan sistem biasiswa yang dinamakan Biasiswa Rakyat Malaysia bagi golongan mahasiswa.
Perwakilan Angkatan Muda Keadilan (AMK), Yusmadi Yusoff berkata, pendidikan bukan sekadar keperluan biasa, tetapi hak asasi manusia yang harus diberi keutamaan.
“Hak mahasiswa adalah hak asasi manusia. Mahasiswa adalah hasil mahsul negara bukan daripada tawar-menawar oleh pemimpin. Sebab itulah kita mencadangkan agar PTPTN dihapuskan dan digantikan dengan biasiswa.
“Kita mahukan sistem pendidikan mampu membasmi kemiskinan. Kita tidak mahu mahasiswa kita tamat sahaja pengajian, dicap sebagai penghutang kesan daripada pinjaman,” katanya ketika membahaskan usul pendidikan dalam Kongres Nasional Ke-7 Parti Keadilan Rakyat (PKR), di sini, semalam.
Yusmadi yang juga Ahli Parlimen Balik Pulau berkata, mahasiswa berpotensi untuk bergelar penghutang disebabkan pelbagai aspek dan taraf kehidupan yang tinggi.
“Apabila mereka tamat pengajian, mereka telah dicap sebagai penghutang; contohnya hutang untuk melangsungkan perkahwinan dan hutang untuk memulakan perniagaan,” katanya.
“Justeru, kolej universiti bagi orang miskin perlu ditubuhkan seperti usaha kita sebelum ini bagi memberikan keistimewaan kepada golongan miskin,” katanya.
Selasa, 30 November 2010
Hapus PTPTN, ganti biasiswa: AMK
SINAR HARIAN ONLINE
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.