Wartawan Kita |
GUA MUSANG: Umno dikhuatiri menggunakan taktik terakhir iaitu pengundi hantu bagi menghadapi PAS pada pilihan raya kecil kawasan Dewan Undangan Negeri (Dun) Galas pada 4 November ini. Taktik itu merupakan senjata terakhir yang pernah dibuktikan di mahkamah tinggi ketika petisyen pilihan raya kecil Pengkalan Pasir pada 2006. Penasihat Jentera Pilihan Raya PAS Dun Galas, Datuk Wan Abdul Rahim Wan Abdullah berkata, taktik itu disyaki digunakan jentera Umno melalui Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) bagi mengeluarkan kad pengenalan milik orang lain kepada pengundi hantu. “Mereka disyaki menggunakan taktik tersebut selepas mendapati jentera kempen Umno masih berada di belakang berbanding PAS. “Disyaki mereka menggunakan JPN untuk mengeluarkan kad pengenalan dengan menggunakan nama senarai pemilih yang tertera dalam daftar pemilih di Dun Galas,” katanya pada persidangan media di Markas Besar PAS. Selain itu, kata beliau jentera kempen PAS dan Pakatan Rakyat juga mengesan kemungkinan berlaku penipuan di bilik tempat pembuangan undi pada 4 November ini. “Mereka juga dikatakan menawarkan sogokan wang RM1,000 atau hadiah peti televisyen kepada pengundi di Galas. Tetapi pengundi yang mahu mendapatkan bantu itu hendaklah menyerahkan kad pengenalan mereka. “Taktik itu disyaki akan berlaku dua atau tiga hari menjelang hari mengundi 4 November ini,” ujarnya yang juga anggota parlimen Kota Bharu. Oleh itu beliau berharap Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan pegawai pengawas pilihan raya mengambil tindakan sewajarnya bagi mengelakkan perkara itu berlaku. Ditanya penafian berkali-kali SPR terhadap kemungkinan wujud pengundi hantu katanya, sudah menjadi kebiasaan agensi kerajaan terbabit menafikan biar pun pernah dibuktikan wujud pengundi hantu di mahkamah. Menurutnya, PAS belum bercadang membuat laporan polis memandangkan banyak laporan yang dibuat pada pilihan raya kecil Manek Urai tahun lepas belum diambil sebarang tindakan sehingga sekarang. “Saya pernah mengajukan soalan di parlimen mengenai perkara itu namun gagal dijawab kerajaan,” ujarnya. Sementara itu arahan Kementerian Pengajian Tinggi melarang pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) terbabit dalam kempen pilihan raya di Dun Galas dilanggarkan sendiri menteri di kementerian terbabit apabila mengadakan Majlis Mesra KPT 2010 di Galas semalam. Beberapa bas sebahagian besar bertulis Universiti Malaysia Kelantan dan beberapa universiti lain kelihatan di hadapan Sekolah Menengah Kebangsaan Tengku Indera Petra 1. Pada kain rentang ditulis program itu agihan wang pendahuluan pembiayaan PTPTN, runding cara pembiayaan pendidikan dan kutipan balik dan runding cara peluang pembelajaran di UiTM. Orang ramai mempersoalkan mengapa program berkenaan dibuat di Galas ketika musim pilihan raya kecil sekarang. Tentunya ada sesuatu yang cuba disembunyikan. |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.