Jumaat, 1 Oktober 2010

Terengganu tidak lagi hantar pelajar ke Indonesia

BERNAMA

KUALA TERENGGANU – Mulai tahun ini, Terengganu tidak lagi menghantar pelajar-pelajarnya belajar di Indonesia berikutan kebimbangan pelajar dan ibu bapa tentang beberapa insiden di negara itu.

Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Said berkata bagaimanapun kerajaan tidak akan memanggil balik, malah akan terus mengekalkan pelajar-pelajar yang sudah ada di sana.

“Kita tidak mahu hantar pelajar baru ke Indonesia, sebab pelajar trauma bila berlaku gempa bumi,” katanya kepada pemberita selepas majlis MB bersama pelajar sasaran semua “A” PMR, SPM, dan STPM 2010, di sini hari ini.

Tambahan pula, katanya, ibu bapa turut bimbang dan khuatir akan keselamatan anak-anak mereka untuk belajar di Indonesia dengan “kejadian-kejadian yang tidak menyenangkan”.

Ahmad berkata sekarang ini Terengganu sedang memfokuskan negara Cuba untuk menghantar pelajar-pelajar dalam bidang bioteknologi dan nanoteknologi.

Sebelum ini, Terengganu memberi tumpuan ke negara-negara Timur Tengah, Republik Czechoslovakia, Rusia dan beberapa negara lain untuk pelajar perubatan, katanya.

Beliau berkata mulai tahun depan, Terengganu mensasarkan untuk menghantar seramai 150 pelajar dalam bidang perubatan ke luar negara.

Ahmad berkata tahun ini Terengganu menghantar seramai 107 orang pelajar perubatan ke luar negara, berbanding 45 pada 2008.

Beliau berkata ketika ini doktor wanita mengatasi doktor lelaki di hospital Terengganu dan sebab itu kerajaan negeri mengambil langkah meramaikan jumlah doktor lelaki bagi mengimbanginya.

Sementara itu, lebih 5,000 orang pelajar dari seluruh Terengganu menghadiri perhimpunan tersebut, yang diadakan di Stadium Negeri di sini.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.