Jumaat, 1 Oktober 2010

Mustaffa Kamil sah tanding kerusi timbalan presiden PKR



Mustaffa Kamil Ayub mengumumkan keputusan bertanding jawatan timbalan presiden PKR pada sidang media petang ini.

KUALA LUMPUR — Naib Presiden PKR Mustaffa Kamil Ayub dengan meletakkan tema “Kesinambungan Perjuangan”, hari ini secara rasmi menawarkan diri bertanding kerusi timbalan presiden parti itu.

Dengan keputusan itu pemilihan jawatan nombor dua PKR akan menyaksikan persaingan tiga penjuru antara Azmin Ali, Datuk Zaid Ibrahim dan Mustaffa.

“Saya dengan rasa rendah diri menawarkan diri untuk kerusi timbalan presiden,” kata beliau pada sidang media di Kelab Sultan Sulaiman di sini petang ini.

“Saya yakin, kesinambungan perjuangan perlu untuk meneruskan sumbangan yang bagi saya cukup besar oleh timbalan presiden Senator Dr Syed Husin Ali.

“Saya berharap anggota-anggota parti boleh membantu saya memperkukuh kepimpinan parti bersama Saudara Anwar dan Dr Wan Azizah,” katanya lagi.

Dari segi pencalonan, Azmin dan Zaid berada di depan berbanding Mustaffa.

Mustaffa mempunyai 23 pencalonan setakat sementara 34 cabang akan mengadakan mesyuarat tahunan esok dan luas - pusingan terakhir daripada tiga minggu.

Pemilihan pucuk kepimpinan akan bermula secara berperingkat mulai minggu ketiga dan keputusan akan diumumkan pada Kongres PKR November ini.

Mengenai pencalonan, Mustaffa berkata mengakui dua calon lain di depan, tetapi menjelaskan beliau yakin dengan kebijaksanaan ahli-ahli membuat pengundian terbaik.

“Bercakap mengenai pencalonan, pada tahun 2007 saya menduduki tempat keenam dari segi pencalonan tetapi dari segi undi terbanyak, saya muncul tempat ketiga.

“Jadi percaya pada kebijaksanaan pengundi dalam membuat keputusan. Saya kalah di Pasir Salak, tetapi mendapat pencalonan untuk jawatan timbalan presiden,” kata yang beliau yang pernah tewas dalam pemilihan jawatan timbalan ketua Angkatan Muda Keadilan PKR pada 2001.

“Saya tahu mereka ada kekuatan, mereka juga kelemahan. Saya pun ada kekuatan dan saya pun ada kelemahan. Saya yakin ahli-ahli akan membuat keputusan yang bijak,” katanya lagi.

Pada 2004 beliau memenangi pemilihan jawatan naib presiden dan dikekalkan tiga tahun lalu.

Mustaffa Kamil Ayub
Mustaffa, 48, berkata beliau akan mengunjungi Presiden Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan Syed Husin petang ini untuk menyatakan secara peribadi keputusannya mahu bertanding jawatan timbalan presiden.

Ditanya ada beliau akan berusaha mendapat sokongan kumpulan Syed Husin, Mustaffa secara berseloroh berkata, “saya mahukan sokongan beliau, sokongan semua pemimpin dan ahli parti.”

Beliau menemui kedua-dua mereka selepas sidang media yang turut dihadiri sekitar 200 penyokongnya yang turut melaungkan “lawan tetap lawan” dan “Hidup Mustaffa, Hidup PKR.”

Mustaffa yang tewas pemilihan ketua bahagian Pasir Salak minggu lalu berkata, dalam kempen kali ini beliau tidak mahu bertanding atas semangat “berpuak”.

“Saya ajak semua kita angkat politik nilai, saya pohon teman-teman dalam parti, bantu saya untuk sama-sama kita angkat nilai moderat, inklusif, sederhana, kasih sayang, perpaduan parti, semak dan imbang dalam parti sempena pemilihan kali ini,” katanya lagi.

Pengerusi PKR Perak ini berkata sekiranya diberikan amanah memikul jawatan timbalan presiden beliau akan memperkukuhkan politik ini sebagai satu kesinambungan perjuangan PKR.

Ketika ditanya sama ada kemungkinan akan berkompromi dan menarik diri daripada bertanding kelak, Mustaffa berkata, keputusannya hari ini adalah muktamad.

“Tidak tidak... ini keputusan muktamad, saya tidak akan tarik diri,” katanya lagi.

Mustaffa juga berkata sebagai calon beliau tidak menolak kemungkinan juga Umno akan “jadikan lagi beg tinju untuk mencalar imej parti masa depan ini.”

“Tetapi saya yakin PKR dan kematangan kita mampu menangani semua cabaran ini,” katanya lagi.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.