Jumaat, 29 Oktober 2010

Kes curi jet: Permohonan sarjan TUDM soal balas dua mejar ditolak

BERNAMA


SHAH ALAM— Mahkamah Tinggi di sini hari ini menolak permohonan Sarjan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) N. Tharmendran yang menghadapi tuduhan bersubahat mencuri dua enjin pesawat F5, untuk menyoal balas dua mejar TUDM berhubung dakwaan penyeksaan yang dialaminya semasa dalam tahanan.

Pesuruhjaya Kehakiman Datuk Asmabi Mohamad semasa memutuskan perkara itu berkata kes tersebut adalah di bawah siasatan pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) justeru permohonan berkenaan tidak relevan dengan pertuduhan yang melibatkan anggota TUDM itu.

Hakim Asmabi kemudian menetapkan 25 November depan untuk mendengar permohonan asal tertuduh iaitu untuk menggantung atau membatalkan pertuduhan bersubahat mencuri dua enjin pesawat tersebut yang dikenakan ke atasnya.

Pada 1 Oktober lepas, Tharmendran (gambar) mengemukakan permohonan notis usul untuk menyoal balas Pegawai Staf 1 Siasatan di Jabatan Arah Provos Marsyal TUDM, Mejar Ismail Omar dan Pegawai Staf 2, Mejar Norazan Md Amin.

Tertuduh sebelum ini mendakwa pasukan penyiasat TUDM telah menderanya secara fizikal bagi mendapatkan pengakuan bersalah daripadanya.

Dalam afidavitnya, Tharmendran selaku pemohon mendakwa dia telah diseksa dan dakwaan tersebut disokong oleh rakannya, Intan Yusof, 46, yang mendakwa melihat kejadian seorang tahanan diseksa semasa melawat tertuduh di penjara.

Norazan dan Md Amin dalam afidavit mereka pula menafikan dakwaan bahawa mereka yang melakukan perbuatan itu.

Tharmendran diwakili peguam Latheefa Koya dan N. Surendran sementara pendakwaan diwakili Timbalan Pendakwa Raya Ishak Mohd Yusof.

Pada 6 Jan lepas, tertuduh mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Petaling Jaya, dekat sini terhadap tuduhan bersubahat dengan Laskar Udara Mohamad Shukri Mohamad Yusop, mencuri dua enjin pesawat F5 jenis J85-21 di Bangunan Material Processing Shed MATRA 1, Pangkalan Udara TUDM Sungai Besi dekat sini pada 30 April 2008.

Dia didakwa mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 109 kanun sama yang membawa hukuman penjara sehingga 10 tahun dan denda, jika sabit kesalahan.

Tertuduh dibebaskan dengan ikat jamin sebanyak RM50,000 dengan seorang penjamin.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.