Jumaat, 1 Oktober 2010

Kes bunuh: Reman 5 suspek disambung hingga 8 Okt

BERNAMA

Mahkamah Majistret Teluk Datok di Banting, hari ini membenarkan tahanan reman terhadap lima suspek dalam kes pembunuhan jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya disambung sehingga 8 Oktober.

Perintah mengikut Seksyen 117 Kanun Acara Jenayah itu dikeluarkan oleh Majistret Hurman Hussain bagi membolehkan polis melakukan siasatan lanjut mengenai kes kehilangan jutawan warga India, Allal Kanthan Muthuraja.

Kelima-lima suspek yang tiba di mahkamah dengan van polis pada jam 9.30 pagi dikawal ketat oleh anggota polis.

Mereka kemudian meninggalkan mahkamah kira-kira jam 10.50 pagi.

Ia adalah kali keempat tahanan reman mereka dilanjutkan.

Sebelum ini, kelima-lima suspek telah ditahan reman bermula 12 September lalu bagi membantu siasatan dalam kes pembunuhan jutawan kosmetik Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga yang lain.

Muthuraja, 34, dilaporkan hilang selepas dipercayai dijemput dua peguam rakyat tempatan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur di Sepang, sejurus tiba di Malaysia pada 18 Januari lalu.

Isteri mangsa, S Usharani, 24, membuat laporan mengenai kehilangan suaminya di Balai Polis Banting pada 8 September lalu dan memberi keterangan berhubung perkara itu di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Langat sejak beberapa hari lalu.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.