GUA MUSANG: Pengarah Pilihan Raya Barisan Nasional (BN) Dewan Undangan Negeri (DUN) Galas, Tengku Razaleigh Hamzah berkata, beliau masih belum berpuas hati dengan pergerakan jentera parti itu dalam usaha meraih sokongan pengundi menjelang pilihan raya kecil yang akan diadakan pada 4 November ini.
Menurutnya, masih terdapat beberapa pusat peti undi yang perlu diberi perhatian dan diperbaiki bagi memastikan kemenangan berpihak kepada BN.
"Nak kata tak paus hati, tak puas hati...(hanya) puas hati apabila menang. Kita perlu tingkatkan lagi gerak kerja kita, ada di sesetengah tempat lemah dalam sesetengah bidang, kita akan cuba perbaiki," katanya ketika ditemui selepas merasmikan Kejohanan Futsal 1Malaysia di Rancangan Pemulihan Tanah (RPT) Sungai Terah di sini, Jumaat.
Turut hadir pada majlis berkenaan ialah calon BN, Ab Aziz Yusof.
Bagaimanapun Ahli Parlimen Gua Musang itu berkata, keseluruhan jentera parti BN termasuk daripada luar memberikan komitmen yang tinggi sepanjang tempoh berkempen yang masuk hari keempat hari ini.
"Saya harap BN akan menang, mereka (jentera) kuat semangat, mereka kerja kuat dan nampaknya positif semuanya bersemangat tinggi.
"Orang nak bekerja pun ramai, ramai yang datang dari luar Gua Musang membantu kita sama ada dalam negeri Kelantan atau dari negeri-negeri lain, semuanya bekerja kuat," katanya.
Ditanya mengenai usaha BN bagi memenangi kembali beberapa peti undi yang tewas pada pilihan raya umum yang lalu, Tengku Razaleigh berkata, BN sudah pasti memberi tumpuan mengenainya.
"Kita akan beri tumpuan dan fokus sepenuhnya di mana kita (ada) harapan untuk perbaiki," katanya.
Diminta mengulas mengenai keghairahan PAS meraih undi di kalangan masyarakat Cina, Tengku Razaleigh berkata: "Tak apalah...barabgkali dia nak tarik pengundi Cina lebih.
"Itu dia punya urusanlah, kita harap dia berjaya dan kita harap kita lebih berjaya," kata Tengku Razaleigh.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.