Ahad, 3 Oktober 2010

DUN Galas: Tindakan Umno rendahkan martabat Ku Li, kata Nik Aziz

THE MALAYSIAN INSIDER

KOTA BARU— Mursyidul Am PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat menyifatkan cadangan untuk menamakan Anggota Parlimen Gua Musang Tengku Razaleigh Hamzah sebagai calon Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Galas sebagai tidak wajar.

Menteri Besar Kelantan (gambar) itu menyifatkan cadangan itu juga sebagai merendahkan darjat Tengku Razaleigh yang tidak layak sama sekali bagi seorang pemimpin veteran itu bertanding di peringkat DUN.

“Saya boleh sebut ini dah melampau. Ku Li (Tengku Razaleigh) bukan taraf dia (bertanding di DUN), dia menteri dah. Dia dah ke Parlimen dan turun ke DUN ini ada benda tak betul.

“Tak jaga lidah betul (cadangan pilih Tengku Razaleigh), jagalah lidah sikit. Ku Li ni berketurunan raja dan (pernah) jadi Menteri Kewangan tiba-tiba nak letak di DUN. Ini tak betul. Ada masalah lain le ni...,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Agung Ke-13 Pertubuhan Kerabat Raja Jembal Kelantan di sini, hari ini.

Dipetik Bernama, Nik Aziz berkata demikian mengulas cadangan untuk memilih Ketua Umno Bahagian Gua Musang itu sebagai calon pada pilihan raya kecil DUN Galas berikutan ketokohan pemimpin itu.

Cadangan untuk memilih Tengku Razaleigh itu juga mendapat perhatian Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang dilaporkan berkata BN bersedia untuk mencalonkan pemimpin itu kerana ia paling sesuai dan tepat berdasarkan kepada pengalaman dan pengaruhnya di Gua Musang.

Sementara itu Nik Aziz berkata PAS masih belum membuat keputusan untuk menamakan calon untuk pilihan raya kecil itu kerana ia akan diputuskan oleh jawatankuasa tertinggi parti tersebut.

“Walaupun saya Pesuruhjaya (PAS Kelantan) tapi calon PAS dipilih di peringkat jawatankuasa dan ini dibuat supaya tidak ada yang berebut (jadi calon),” katanya.

Dalam pada itu, Umno Bahagian Kota Baru menyokong cadangan supaya Anggota Parlimen Gua Musang Tengku Razaleigh Hamzah dipilih sebagai calon.

Ketuanya Datuk Mohd Fatmi Che Salleh berkata pemimpin veteran Umno itu diyakini mampu melaksanakan tanggungjawab sebagai anggota Parlimen dan juga anggota Dewan Undangan Negeri sekiranya dipilih bertanding pada pilihan raya kecil itu nanti.

Beliau berharap Tengku Razaleigh yang telah dipilih sebagai pengarah pilihan raya Barisan Nasional (BN) bagi pilihan raya kecil DUN Galas, memikirkan perkara itu semasak-masaknya sekiranya dipilih sebagai calon BN pada pilihan raya kecil itu.

“Beliau tokoh politik yang disegani oleh rakyat,” kata Mohd Fatmi yang juga setiausaha politik perdana menteri kepada pemberita pada majlis rumah terbuka Jabatan Bomba dan Penyelamat Kelantan di sini, malam semalam.

Semalam, cadangan Ketua Pemuda Umno Kelantan Anuar Safian supaya Tengku Razaleigh dipilih sebagai calon Galas turut mendapat perhatian Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin yang dilaporkan berkata BN bersedia menimbangkan cadangan itu.

Parti Progresif Penduduk (PPP) turut mengalu-alukan Tengku Razaleigh dipilih sebagai calon BN di Galas.

“Kami yakin Tengku Razaleigh mampu membawa balik kemenangan BN jika menjadi calon di Galas,” kata Pengerusi PPP Kelantan, Datuk Nik Sapeia Nik Yusoff.

Nik Sapeia yang juga Naib Presiden PPP berkata parti itu akan membantu komponen BN dalam memastikan kemenangan BN pada pilihan raya kecil itu.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan mengadakan mesyuarat pada Rabu depan bagi membincangkan mengenai tarikh penamaan calon dan pengundian bagi pilihan raya kecil DUN Galas.

Kerusi DUN Galas kosong berikutan kematian penyandangnya Chek Hashim Sulaima, 46, pada 27 Okt lepas akibat barah usus.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.