KUALA LUMPUR - Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad mempersoalkan tindakan kerajaan Umno-Barisan Nasional yang akan memansuhkan kegiatan pasar malam, pasar tani, pasar minggu dan pasar tamu yang bakal menjejaskan pendapatan terutama orang Melayu yang berniaga secara kecil-kecilan.
Beliau berkata langkah kerajaan memasukkan dalam salah satu bidang ekonomi utama negara (NKEA) melalui Program Transformasi Ekonomi (ETP) adalah tidak rasional dan tidak logik memandangkan ia mempunyai pendapatan untuk rakyat menambah pendapatan secara sampingan.
"Saya tidak nampak mengapa soal pasar malam dilihat dari sudut yang begitu negatif oleh pihak kerajaan kerana di negara maju termasuk di Taiwan, Hong Kong dan Jepun, kaedah-kaedah peniaga kecil memang diterima sebagai amalan biasa dan tidak ada masalah dalam pembangunan sesebuah negara.
"Tindakan pihak kerajaan seolah-olah melihat peniaga pasar malam ini sebagai satu masalah sedangkan peranan dalam menyelesaikan masalah pendapatan yang berkurangan tidak dihargai.
"Apakah rasionalnya dan apakah matlamat yang cuba dicapai dan mengapa pasar malam ini dilihat sebagai satu perkara yang perlu dimansuhkan," soal beliau ketika ditemui Suara Keadilan di lobi Parlimen.
Menurut Khalid, beliau sendiri tidak faham dengan sikap kerajaan terhadap pasar malam sedangkan ianya mempunyai peranannya sendiri.
"Hakikatnya, ramai orang Melayu banyak yang berniaga, pelancong-pelancong lebih suka datang ke pasar malam yang dipenuhi rakyat dan menjadi budaya dan telah wujud sekian lama dan menjadi salah satu tarikan kepada pelancong datang ke sini.
"Satu lagi, jika ia dimansuhkan, apakah gantian yang akan diberikan kepada peniaga-peniaga terbabit dan adakah ianya satu gantian yang boleh mencapai maltamat bajet 2011 iaitu ke arah negara berpendapatan tinggi.
Tindakan itu katanya telah menghalang keinginan rakyat untuk berniaga secara kecil-kecilan dengan rakyat pergi membeli-belah di situ secara sukarela tanpa ada bantahan dan aduan berhubung aduan ini.
Isnin lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mengumumkan pasar malam, pasar tani, pasar minggu dan pasar tamu akan menjadi nostalgia apabila ia bakal digantikan dengan Pasar Komuniti.
Katanya, tujuan rancangan itu adalah menyelaraskan beberapa pasar berkenaan dan menyatukan mereka di lokasi-lokasi yang mempunyai persekitaran yang kondusif.
Laporan ETP itu turut menyalahkan akibat daripada operasi di beberapa lokasi sementara (contohnya,; padang permainan,tempat letak kereta, di tepi jalan raya) telah menyumbangkan kepada kesesakan dan keadaan kotor. |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.