Jumaat, 29 Oktober 2010

Bina Kuasa Rakyat, Kuburkan Hegemoni UMNO

S. Arutchelvan

Pendahuluan

Terlebih dahulu, saya ingin merakamkan rasa terima kasih yang teramat sangat kepada Jawatankuasa Kerja Sahabat Suaram (FOS) negeri Johor, Suara Rakyat Malaysia (SUARAM) atas jemputan dan memberi peluang kepada Parti Sosialis Malaysia (PSM) membincangkan dan membicarakan isu yang cukup menarik dan panas ini.

Topik "Menentang Pemerintahan Fasis (Kuku Besi), Kuburkan Rejim UMNO" adalah satu topik yang sungguh straight forward dan penganjur mengariskan persoalan yang cukup tajam dan tidak berbelit belit. Persoalan di hadapan kita adalah persoalan yang nyata dan factual.

Kita hari ini berdepan dengan satu zaman yang penuh menarik. Politik Malaysia yang untuk beberapa dekad ini yang lesu dan tenang, tiba-tiba bergelora dan dinamik. Tsunami politik 2008 membawa bersama perubahan tetapi masih tidak berjaya menumpaskan rejim pemerintah yang memerintah sejak kemerdekaan. Ini adalah zaman transisi iaitu zaman perantaraan antara dua rejim. Persoalan adalah: Adakah rejim lama UMNO-BN akan terkubur atau sebaliknya? Adakah ia dapat memperkukuhkan diri dan kembali memerintah dengan mandat baru?

Dan saya (S. Arutchelvan, gambar kanan) juga harus memberi tahniah kepada penganjur kerana berani mengadakan satu forum untuk membincangkan penguburan UMNO dan program ini pula diadakan di kubu UMNO yang paling kuat, iaitu di Johor, tempat lahirnya Onn Jaafar - pengasas UMNO.

Kalau kita berani berucap mengenai penguburan UMNO di Negeri Johor, maka boleh dikatakan harapan menguburkan UMNO memang cerah sekali. Ada pandangan bahawa Johor akan merupakan negeri yang paling akhir sekali yang akan tumbang. Semasa penaklukan Inggeris ke atas Tanah Melayu, Johor menjadi negeri terakhir untuk akur kepada kehendak British, semasa penaklukan Jepun ke atas Tanah Melayu, Johor sekali lagi menjadi negeri terakhir ditakluki memandangkan Jepun masuk dari Utara. Dan hari ini, tidaklah mustahil untuk meramal Johor mungkin menjadi negeri terakhir untuk UMNO pula tumbang. Justeru itu, forum ini diadakan di Johor ini sungguh signifikan dan mempunyai ada kepentingan politiknya.

Persoalan di hadapan kita:

Penganjur telah bertanyakan tiga soalan yang cukup relevan, iaitu -

1) Adakah kerajaan BN yang diterajui oleh Najib adalah sebuah regim fasis atau menuju ke arah fasis?

2) Apakah pula pendirian yang harus rakyat pelbagai kaum pegang terhadap regim tersebut?

3) "Di manakah jalan keluar Rakyat jelata dibawah pemerintahan regim fasis?"

Persoalan ini cukup tajam dan jitu. Namun saya hendak menambah dua lagi soalan yang ada kaitan dengan tiga soalan di atas, dan dua soalan ini adalah persoalan yang paling pokok untuk zaman transisi ini:

1. Adakah rejim UMNO-BN akan tumpas?

2. Adakah mereka akan hilang kuasa secara aman dan senyap atau mereka akan lawan sehingga akhir?

UMNO Akan Tumbang!

Ya, untuk soalan pertama, saya sesungguhnya percaya bahawa rejim UMNO-BN akan tumpas dan hilang kuasa. Hujah ini berlandaskan kepada realiti hukum alam dan saintifik. Mana-mana satu pemerintahan dan sistem tidak boleh memerintah sehingga akhir atau secara kekal. Perubahan pasti berlaku dari dalam (pereputan struktur dalaman) dan ditambah dengan tuntutan perubahan dari luar, pastinya UMNO tidak dapat bertahan lama.

Ahli Falsafah Hegel akan mengariskan ini sebagai hukum dialetiks iaitu pertembungan antara Tesis dan Anti-thesis. Hari ini kita dapat melihat bahawa UMNO-Barisan Nasional semakin lemah dan semakin hari menghitung hari penguburannya. UMNO-BN sudah hilang momentum politik, di mana pada satu masa kedudukan mereka seperti tidak boleh digoyang langsung, tetapi kini keadaan mereka semakin goyang.

Pada tahun 1969, Parti Perikatan menghadapi nasib yang sama, tetapi mereka berjaya hidup semula dengan "repackaging" baru dengan nama Barisan Nasional. BN wujud setelah peristiwa berdarah 13 Mei, darurat dan penahanan beramai-ramai di bawah ISA. BN hidup semula dengan bergabung dengan parti pembangkang pada masa itu, termasuk Parti GERAKAN, PAS dan PPP, dan ini telah memberikannya nafas baru kepada hegemoni UMNO untuk terus kekal dan memerintah selepas itu.

Kini BN menghadapi zaman kehancurannya sekali lagi. Adakah UMNO BN akan cuba "repackaging" balik, dan siapakah yang akan tampil ke depan untuk menyelamatkan mereka? Dua cadangan "repackaging" telah dikemukakan, iaitu: satu, menjadikan BN satu parti pelbagai kaum (multiracial) diusulkan oleh PPP selepas Tsunami 2008 dan mendapat sokongan beberapa parti komponen BN termasuk Parti Gerakan, tetapi tidak direstui oleh UMNO. Najib mahukan 1Malaysia tetapi tidak mahu 1Parti pelbagai kaum.

Kemudian adalah cubaan "repackaging" atas nama perpaduan Melayu dan Islam dengan kerjasama dengan PAS. Di sini kita dapat lihat bagaimana media arus perdana diguna habis-habisan untuk membuat khawin paksa antara UMNO-PAS dan ini memang telah mengugat foundation(asas) Pakatan rakyat (PR). Kalau bukan pendirian tegas diambil oleh beberapa pemimpim termasuk Tok Guru, kemungkinan UMNO dan BN akan dapat nafas baru. Tetapi cubaan itu gagal. Dan cubaan pengabungan UMNO-PAS, bukan sahaja ditentang oleh DAP dan PKR, tetapi ia turut ditentang oleh komponen parti BN yang lain seperti MCA, Gerakan, MIC dan sebagainya. PAS pula telah membuat perhimpunan Parti tergempar untuk memberikan komitmen ia masih bersama PR.

Oleh yang demikian, UMNO kini dalam dilemma yang paling serius dalam riwayat hidupnya. Nak berkawan dengan PERKASA, komponen BN marah. Nak menentang PERKASA, Mahathir dan penyokong UMNO yang ultra Melayu pula marah. Oleh yang demikian, selagi UMNO gagal untuk "repackaging" baru, maka saya tidak dapat lihat bagaimana UMNO-BN akan pulih, dan saya meramalkan UMNO-BN akan hancur. Saya juga tidak menolak kemungkinan parti komponen BN atau sebahagaian daripada parti komponen BN bertukar khemah dan menjadi ahli PR.

Dalam suasana kita menanti penguburan UMNO, kita jangan lupa bahawa MCA sudah mengatasi krisis kepimpinan, dan Samy Vellu akan bersara dari MIC. Adakah reformasi dalam MIC dan MCA dapat menyelamatkan BN dan UMNO sendiri? Saya kurang yakin memandangkan rakyat Malaysia semakin muak dengan politik lama MCA dan MIC.

Namun adalah baik kita tidak meremehkan usaha yang dibuat oleh BN untuk kembali mendapat keyakinan rakyat. Namun demikian, jika PR gagal ke Putrajaya, saya merasakan pihak yang harus disalahkan adalah PR sendiri yang gagal mengambil kesempatan yang ada. Saya melihat musuh paling besar dalam PR ke arah menuju Putrajaya bukanlah sekadar UMNO-BN, tetapi ia juga adalah bagaimana PR mengurus diri mereka sendiri?

Adakah UMNO akan lawan untuk kekalkan kuasa atau menyerahkan kuasa dengan aman?

Soalan yang kedua adalah: Adakah UMNO akan hilang kuasa secara aman dan senyap, atau mereka akan lawan sehingga akhir untuk terus berkuasa? Ini merupakan soalan yang jauh lebih susah untuk dijawab.

Jawapan untuk soalan ini bukan sahaja bergantung kepada kelemahana BN tetapi juga bergantung kepada kekuatan PR. Ajaran daripada semua revolusi dunia yang berjaya dari revolusi agung kaum pekerja di Russia, kepada revolusi Cina, revolusi Cuba, Revolusi Iran termasuk juga Peoples Power (EDSA) di Filipina dan Gerakan reformasi di Indonesia menunjukkan bahawa apabila kuasa rakyat atau kuasa revolusi cukup kuat dan menyeluruh, maka tentangan yang paling minima dan pertumpahan darah yang paling minima akan berlaku. Ini adalah keadaan di mana arus perubahan yang melanda terlalu besar dan momentum yang cukup gergasi sehingga mereka yang hendak menentang akan akur sahaja dan undur tanpa tentangan (walkover).

Untuk suasana sebegitu, PR mesti menjadi gerakan yang dapat lebih kurang 65 -70% sokongan rakyat. Suasana ini belum wujud dan jauh daripada wujud buat masa kini. Keputusan pilihanraya beberapa pilihanraya lalu terkini menunjukkan bahawa UMNO masih mendapat sokongan orang Melayu, manakala sokongan orang India sedikit sudah kembali ke pangkuan BN, dan nampaknya hanya Kaum Cina yang cukup bersedia untuk menguburkan rejim lama.

Faktor kedua yang kita harus ambil tahu adalah faktor samada UMNO itu berwajah facisme atau menuju fasisme. Fasisme merupakan ideologi politik yang mempunyai beberapa ciri, antaranya ialah ia mempromosi satu bentuk nasionalisme yang ultra - yang meletakkan kepentingan negara lebih penting daripada kepentingan individu atau masyarakat. Fasisme mementingkan perpaduan antara masyarakat bangsa yang sama. Dalam situasi ini adalah perpaduan Melayu dan ideologi ini juga meliputi unsur-unsur nasionalisme, ketenteraan, korporatisme, totalitarianisme, antikomunisme dan antiliberalisme. Pengasah ideologi fasisme biasa dikaitkan dengan bekas pemimpin Itali, Benito Mussolini.

Adakah Najib menuju pemerintahan Fasis?

Justeru itu, kalau kita petik tujuh ciri fasis yang disimpulkan oleh ahli akedemik politik Laurence W Britt, dan kesimpulan Dzulkarnain yang terdapat dalam kertas yang disediakan oleh penganjur, maka tidak sah lagi ciri-ciri seperti - mempromosikan semangat kebangsaan atau patriotisme yang menjurus kepada perkauman; sokong pertubuhan perkauman seperti PERKASA; kebencian terhadap nilai dan hak asasi manusia; pencabulan hak asasi manusia; pengawalan ketat media massa; penyalahgunaan institusi keselamatan Negara; dan pelaksana undang-undang iaitu agensi penguatkuasa dan kehakiman disalahgunakan; kepentingan kroni dan koporat dilindungi secara rapi; dan subsidi diteruskan kepada syarikat kroni; gejala kronisme dan rasuah berleluasa; pemberian kontrak dibuat tanpa ketelusan; dan akhirnya penipuan terancang dalam sistem pilihan raya.

Jika ini bermakna menuju fasisme maka tiada soalan lagi kecuali menyimpulkan bahawa Najib menuju kepada fasisme. Kerana semua ciri-ciri ini dilaksanakan pada masa ini.

Namun demikian, suasana zaman Benito Mussolini jauh berbeza berbanding dengan zaman Najib Razak. Najib berada dalam zaman ekonomi global kapitalisma di mana syarikat-syarikat MNC lebih kuat dari negara-negara berdaulat. Oleh yang demikian - fasisme akan membawa kepada keadaan iklim perniagaan yang tidak selesa. Ini akan ditentang oleh puak peniaga kecuali jika Najib dan UMNO dapat mengimbangi suasana kuku besi dengan syurga pernigaan kepada kaum kapitalis.

Mungkin Najib boleh belajar dari Singapura beberapa tips. Oleh yang demikian adalah satu halangan untuk Najib. Sejauh manakah sistem kapitalis itu sendiri mahu menyokong Najib, atau mereka mahu mencari pengganti dalam bentuk PR? Inilah berlaku di Indonesia apabila kaum peniaga merasakan peniagaan lebih baik di bawah pembangkang daripada di bawah Suharto.

Isu kedua: Sistem maklumat merupakan senjata yang paling berkesan hari ini. Marx pernah berkata bahawa teknologi yang dibawa oleh kaum borjuis boleh digunakan balik terhadap golongan mereka sendiri. Dalam suasana berbincangan kita hari ini, informasi maklumat tidak lagi menjadi monopoli BN dan parti pemerintah. Oleh yang demikian, keadaan maklumat yang penting dapat disalurkan. Keadaan berbeza pada zaman dahulu dimana informasi dan maklumat menjadi monopoli satu golongan sahaja.

Faktor ketiga yang saya rasa cukup penting adalah sejauh mana PAS akan termakan umpan UMNO. Hari ini saya ingin mengangkat topi nak tabik kepada PAS kerana sejak kebelakangan ini, PAS telah berkelakuan dengan penuh tanggungjawab dan penuh matang. Dulu semasa saya baca Harakah Bahasa Melayu dan kertas Harakah bahasa Inggeris yang ada di dalamnya, saya dapati Harakah Bahasa Melayu dan bahasa Inggeris mempunyai bau politik yang berbeza. Satu untuk tarik orang Islam Melayu dan satu lagi untuk tarik orang bukan Melayu. Namun demikian, kebelakangan ini saya melihat bahawa kenyataan-kenyataan pemimpin PAS dan juga tulisan-tulisan pemimpin PAS cukup konsisten sekali, baik dalam Harakah bahasa Melayu mahupun Harakah bahasa Inggeris.

UMNO telah mencuba banyak isu-isu perpaduan Melayu, isu Ahli Parlimen Serdang yang masuk surau bagi bantuan, isu Kalimah Allah, isu penukaran agama dan isu pembakaran gereja. Dalam semua ujian ini, PAS telah meperlihatkan satu imej yang cukup baik dan matang. PAS tidak menari dengan nada dan muzik UMNO lagi. Pendirian PAS semakin konsisten dan semakin dapat diterima oleh majoriti rakyat yang berbilang kaum.

Dulu setiap kali, isu Melayu dan Islam dipermainkan oleh UMNO, PAS terus mengambil satu posisi bersama UMNO dan ini dengan senangnya memecahkan perpaduan di kalangan pembangkang terutamanya dengan DAP. Tapi PAS hari ini berbeza dan mungkin dengan slogan PAS UNTUK SEMUA dan membolehkan orang bukan Islam menjadi ahli bersekutu PAS, maka PAS hari ini tidak lagi dapat memainkan peranannya sebagai kumpulan radikal atau fundamentalism Islam. PAS harus tegas dan berani memperjuangkan konsep ini demi perpaduan pembangkang dan PR.

Selagi PAS di landasan yang tidak terjerat dengan umpan UMNO, selagi itu UMNO susah untuk memecahbelahkan perjuangan rakyat. Saya juga ingin menegaskan perpaduan kaum dapat kita kekalkan hari ini, sebahagian besar adalah berpunca daripada sifat dan sikap PAS yang tidak memainkan sentiment kaum dan agama untuk sekadar popular sahaja.

Apakah harus dibuat ?

Untuk menguburkan hegemoni UMNO-BN dalam politik Malaysia, maka saya menyarankan empat pendekatan, iaitu peta jalan ke Putrajaya -

1. Memperkasakan rakyat dan bukan membohsiakan rakyat

Apabila Markos cuba mengekalkan kuasa di Filipina setelah menang pilihanraya secara tipu muslihat tetapi rakyat Filipina tidak dapat menerima keputusan pilihanraya, Marcos digulingkan oleh gerakan rakyat. Di Venezuela, pada tahun 2002, apabila tentera dengan sokongan peniaga dan CIA membuat rampasan kuasa terhadap Chavez, lapan juta rakyat Venezuela turun mempertahanakan Chavez, dan Chavez dapat kembali bertakhta.

Di Perak, apabila Najib melancarkan rampasan kuasa, kuasa rakyat yang kita lihat adalah sementera, tidak menyeluruh dan tidak ramai. Seandainya Kerajaan PR Perak membuat program yang begitu popular, mengapa rakyat Perak tidak turun untuk mempertahanakan kerajaan PR Perak di sana. Malah kerajaan PR jatuh kerana ahli PR yang lompat parti.

Oleh yang demaikian, apabila mengambil kuasa, membuat sekadar program kebajikan sahaja tidak memadai. Rakyat mesti sentiasa menjadi sedar dan terlibat secara langsung dalam politik, dan rakyat mesti sentiasa turun untuk mempertahankan kerajaan rakyat.

PR, saya lihat, kurang melakukan kerja-kerja memperkasakan rakyat. Di Selangor umpamanya, kerajaan Negeri memperkasakan ekonomi begitu baik dan program kebajikan jauh lebih baik daripada zaman BN, tetapi apabila wujud persoalan seperti isu air SYABAS yang cuba disabotaj oleh BN, keajaan PR tidak berani membuat satu referendum. Jika PR membuat satu referendum bertanya samada rakyat Selangor mahu Kerajaan Negeri atau SYABAS uruskan air Negeri Selangor, rakyat boleh mengundi di pejabat Majlis daerah, pejabat tanah dan JKK, sudah tentu ia akan mempolitikkan rakyat. Satu referendum akan membawa bersama penglibatan rakyat dalam menentukan aliran politik negeri. Yang sekali gus memberikan rakyat sentiasa peka kepada suasana politik. Di negara Venezuela dan Cuba, referendum sentiasa diadakan untuk mendapat endorsement rakyat, dan sekali gus rakyat di negara itu sentiasa peka untuk mempertahanakan kerajaan mereka.

Di negeri-negeri PR, PR cuba membuat banyak program untuk menyaingi BN dari segi memberi beras, beg sekolah, hamper dan sebagainya. Rakyat mesti disajikan dengan idelogi dan prinsip perjuangan, bukan disajikan dengan wang dan makanan percuma.

Jika Najib menuju fasisma, hanya gerakan rakyat dapat menyelamatkan keadaan. Untuk sebab itu, kita memerlukan rakyat yang sedar dan berani mempertahankan kerajaan rakyat.

2. Program yang Jelas dan meyakinkan

PR harus mempunyai satu program politik minimum yang cukup jelas antara semua parti dan program PR ini harus diumumkan kepada rakyat. Setakat ini walaupun ada unsur membawa agenda PR dan logo bersama tetapi rakyat luar lebih banyak melihat persaingan di kalangan anggota PR daripada persamaannya. Parti-parti PR juga lebih banyak cuba menonjol perbezaan daripada persamaan. Baru-baru ini Lim Guan Eng memperkenalkan satu dokumen jika PR memerintah, tetapi ia tidak dibuat bersama dengan parti komponen lain, dan ini menimbulkan prasangka.

PR juga telah membuat "shadow cabinet", tetapi cabinet bayangan PR ini mempunyai tiga orang untuk satu jawatan dan mereka langsung tidak aktif dan ramai yang tidak kenali mereka dan mereka jarang membuat kenyataan. Bagaimana rakyat hendak yakin dengan kerajaan yang menunggu untuk memerintah jika mereka langsung tidak menonjol.

Hanya dengan satu program politik yang jelas dan alternatif, dan satu dokumen yang cukup jelas, baru ia memberi rakyat peluang melihat apakah alternatif. Kita tidak perlu tunggu sehingga pilihanraya, untuk kita mengutarakan program politik ini.

3. Membentuk satu Gabungan yang lebih besar merangkumi pertubuhan sivil, kumpulan masyarakat, NGO dan parti politik lain

Tidaklah salah saya mengatakan, PR dibentuk bukan secara terancang dan sedar, tetapi secara tidak sengaja seperti satu kemalangan. Sejurus selepas keputusan pilihanraya 2008, rakyat meluahkan sentimen yang cukup jelas bahawa mereka mahukan pembangkang bersatu. Walaupun pada masa itu, ada sedikit perebutan kuasa antara parti pembangkang tetapi desakan rakyat yang cukup kuat menyebabkan tiga parti pembangkang utama akur dan menubuhkan PR.

Kini PR harus membincangkan politik masa depan dan menjemput kumpulan-kumpulan sivil, pertubuhan hak asasi, NGO, Kesatuan sekerja dan lain-lain parti menyertai satu gabungan yang lebih besar untuk menguburkan UMNO-BN. PR nampaknya terlalu menfokus kepada pilihanraya, dan ini sering mencetuskan persoalan kerusi. PR harus menjurus kepada membentuk gerakan akternatif kuasa kedua untuk mencabar kuasa BN sekarang.

Konsep ini seperti yang dibuat oleh PUTERA-AMCJA atau Gagasan Demokrasi. Dengan adanya satu gabungan yang lebih besar, maka keyakinan untuk berlawan dengan UMNO dan jentera BN akan menjadi lebih kuat. Andaikata jika perlu memberikan sedikit kerusi kepada kepimpinan masyarakat sivil, maka ia harus diberikan. Kerusi tidak seharusnya menjadi monopoli tiga parti ini. Contohnya jika masyarakat Orang Asli hendak meletakkan calon di satu tempat, lebih baik kita membernarkan mereka dan mendapat sokongan mereka daripada mengasingkan diri.

PR harus mempunyai satu program jelas dan menjemput semua parti lain dan organisasi lain untuk sama-sama membentuk satu gerakan menentang BN yang cukup besar. Ia harus dianggotai bukan sahaja oleh parti politik tetapi juga oleh kumpulan-kumpulan masyarakat dan NGO-NGO.

Di sini ada baiknya kita merenung, pandangan bekas Presiden PAS yang cukup progresif iaitu Prof Dr. Burhanuddin Helmy. Burhanuddin Helmy mempunyai asal usulnya dari Nasionali kiri dan terlibat dalam KMM(1939), KRIS(1945), PKMM(1945) dan PUTERA(1947).

Ucapan Burhanuddin dalam Persidangan Agung PAS di Kelab Sultan Sulaiman, KL Disember 1956 menggariskan –

"….Kerana itu penjajahan tidak boleh ditentang hanya dengan tenaga satu golongan saja, satu parti sahaja tetapi sebaliknya hanya dengan tenaga-tenaga anti imperialis seluruh dunia, tenaga-tenaga anti-imperialis seluruh masyarakat.

Kerana itulah PAS sanggup bekerjasama denagan apa saja golongan, apa saja parti, apa saja aliran dalam masyarakat atas dasar kepentingan kemerdekaan bangsa dan tanah air.

Tenaga-tenaga nasionalizem, keugamaan dan sosialisme yang sihat dalam masyarakat harus kita gembeleng, kita padukan mulai sekarang untuk merupakan satu tenaga besar demi tugas perjuangan kemerdekaan dan kedaulatan tanah air kita.

Dasar-dasar persamaan antara ketiga-tiga tenaga ini harus kita tegakkan dari sekarang, kita pupuk dan kita perkukuh dari sekarang. Dan satu dasar persamaan, satu titik pertemuan yang kukuh yang boleh kita tegakkan untuk mempertalikan ketiga-tiga tenaga ini. Untuk memadukan ketiga-tiga tenaga itu ialah dasar kita bersama menentang penjajahan, cita-cita kita bersama mengingini satu Negara kebangsaan yang demokratis dan berdaulat."

Saya mengingatkan kembali kata-kata Presiden PAS ini, kerana untuk menguburkan rejim fasis UMNO hari ini memerlukan kerjasama pelbagai parti dari pelbagai aliran. Selagi parti-parti dalam PR berpendirian di bawah satu program yang jelas, maka aspirasi menguburkan BN cukup baik. Hari ini, PR masih gagal membentuk satu fahaman program perpaduan politik yang jelas. Rakyat memerlukan satu program politik yang jelas untuk membawa perjuangan maju ke hadapan. Dan program ini mesti popular dan membawa masuk lebih kumpulan dan golongan.

4. Berani membuat reformasi dalam Kerajaaan Negeri

Kerajaan negeri PR mesti berani membuat perubahan. Saya cukup menghormati MB sah Negeri Perak Nizar kerana beliau berani melakukan pilihan raya peringkat kampung dan keputusannya lebih 80% menyokong calon PR daripada BN. Dalam suasana ini, pilihanraya kerajaan tempatan, pada pandangan saya, akan membawa lebih manfaat kepada pembangkang. Dan jika BN menghalangnya, maka kita dengan jelas boleh menunjukkan BN anti demokrasi. Tetapi nampaknya tiada keberanian politik untuk melaksanakannya di kalangan PR.

Dulu Kelantan memberi kerja lima hari, dan selepas itu Kerajaan Persekutuan yang mulanya kutuk program ini akhirnya setuju, dan terpaksa ikut Kelantan dan memberi kerja lebih 5 hari. PR juga harus juga melaksanakan sistem gaji minima di peringkat kerajaan negeri dan membuat program-program yang berani supaya rakyat dapat lihat perbezaan antara kerajaan BN dan PR. Kerajan Pulau Pinang harus dipuji kerana berani membuat perubahan.

Begitu juga Selangor, di mana FOI bill diluluskan. Tetapi ia harus diikuti oleh negeri-negeri lain. Resolusi ISA pula hanya dibentang di DUN Perak dan Selangor, bagimana dengan DUN-DUN lain. Mengapa tiada keseragaman. Mengapa sistem tender yang diguna di Pulau Pinang tidak diguna di negeri lain PR atau FOI di Selangor tidak diikuti oleh negeri lain?

Jika Kerajaan Negeri membuat undang-undang baru yang membela golongan rakyat biasa dan membuka ruang demokrasi yang lebih luas, BN tercabar untuk ikut. Jika mereka tidak ikut, ia memberi peluang kepada rakyat menilai. Antara perkara lain yang boleh dibuat ialah dari segi program perumahan selesa, mengisytiharkan harta penjawat utama dan sebagainya

Komitmen PSM

Parti Sosialis Malaysia (PSM) adalah sebuah parti serius berlandaskan aspirasi rakyat dan bekerja di peringkat akar umbi. PSM adalah parti pertama di mana ADUN, MP dan Ahli majlis mengistiharkan harta dan mengeluarkan laporan tahunan kerja yang dibuat setiap tahun. Ia telah mengambil 11 tahun untuk mendaftarkan PSM. Kalau ditinjau kerja-kerja PSM untuk setahun yang lalu, PSM telah mengadakan aksi massa meminta PERKESO memberi lebih perlindungan kepada pekerja, meminta bank negara campur tangan dalam isu hutang dan isu along, membantah pengswastaan hospital awam dan membantah GST dan pindaan akta pekerja. Komitmen dan kerja PSM berjuang bersama masyarakat akar umbi menuntut perubahan adalah sesuatu yang konsisten dan biasanya tiada banyak dipersoalkan.

Dari segi PR, PSM mengambil keputusan yang diumumkan dalam Forum Sosialisma 2009 bahawa PSM tiada niat untuk membina kuasa ketiga pada ketika ini dan dengan tegas mengatakan PSM akan berkerjasama dengan PR untuk menguburkan BN. Dalam Kongres Parti pada tahun ini, sekali lagi ahli parti mengambil keputusan bahawa PSM akan bekerjasama dengan PR dan akan membuat kerjasama pilihanraya seperti tahun-tahun lalu dengan parti pembangkang lain untuk menentang Barisan Nasional yang dilihat sebagai musuh utama.

Dalam konteks ini, PSM berpendapat hubungan antara parti pembangkang harus berdasarkan satu program politik dan mesti ada disiplin untuk mengikuti program minima ini dan mesti ada proses saling hormat menghormati. Selagi program politik itu tidak bertentangan dengan prinsip dan aspirasi rakyat, PSM akan sentiasa bersama.

Kesimpulan

Iklim perubahan terbuka luas. Bau kebebasan semakin terasa. Kemenangan pembangkang ke Putrajaya nampaknya pasti. Tetapi PR sendiri yang dapat mengagalkan dirinya sendiri jika tidak berhati-hati.

Calon yang tidak berprinsip dan tidak bertanggungjawab harus diganti. Program parti harus jelas. Gerakan menentang UMNO-BN harus dibesarkan dan kerajaan Negeri harus berani mendukung perubahan ini secara selari dan konsisten.

KUASA RAKYAT KUASA KERAMAT !

Hidup rakyat !

*Artikel ini dibentang dalam Forum "Menentang Pemerintahan Kuku Besi, Kuburkan Rejim UMNO" anjuran Jawatankuasa Kerja Sahabat SUARAM (FOS) Johor pada 17 Oktober 2010. Disunting sebahagiannya dari teks asal untuk menjaga kepanjangan artikel.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.