Rabu, 1 September 2010

Selangor serius banteras zina

Oleh: Lokman Hakeem Muzelan

SHAH ALAM – Gejala sosial yang semakin parah melanda masyarakat kita kini seharusnya disedari oleh umum. Di atas inisiatif dan kesedaran yang tinggi,kerajaan Pakatan Rakyat Selangor telah mengambil langkah berani dan mendahului negeri-negeri lain didalam usaha untuk membanteras maksiat dan gejala sosial.

Kempen Anti Zina yang baru dilancarkan pada sambutan kemerdekaan baru-baru ini adalah wadah yang perlu dihayati oleh setiap lapisan mesyarakat. Perlaksanaan kempen yang dilihat berani dan bersungguh ini bakal menyedarkan masyarakat untuk mengelak daripada terjerumus ke kancah maksiat sehingga lahirnya anak luar nikah.

Majlis berlangsung di ICity, Seksyen 7, Shah Alam pada 30 Ogos hingga 31 Ogos lalu dalam program Semarak Merdeka dan Penghayatan Ramadan peringkat Negeri Selangor.
.
Kerajaan negeri meneruskan gerakan memantapkan spiritual rakyat Negeri Selangor bagi mencapai matlamat Negeri Idaman, Maju dan Sejahtera yang menjadi nadi perjuangan siasah Pakatan Rakyat sejak menerajui negeri pada 8 Mac 2008 lalu.

Pendekatan berbeza kerajaan pakatan rakyat ini sedikit sebanyak dapat mengurangkan kes-kes pra zina khususnya pembuangan bayi. Kempen ini sudah pastinya sangat berlainan dengan usaha kerajaan pusat yang dilihat lebih proaktif membantu mereka yang terlanjur berbanding menangani isu ini dari peringkat akar umbi.

Program bermula dengan Iftor Jamaie (berbuka puasa beramai-ramai). Program ini tambah bermakna apabila para hadirin berjemaah menunaikan solat tarawih yang diimamkan oleh Juara program reality Imam Muda, Muhammad Asyraf Mohd Ridzuan.

Sambutan ini turut dimeriahkan dengan persembahan beberapa artis tanah air seperti Mawi,Ramli Sarip,Renggo dan Sasterawan Negara Datuk A. Samad Said.

Turut diadakan deklamasi sajak oleh Ustaz Nasrudin Hassan Tantawi dan Ketua Angkatan Muda Keadilan Shamsul Iskandar Mohd Akin bagi memperingati peristiwa Mavi Marmara LL4Gaza.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pendidikan, Pendidikan Tinggi dan Pembangunan Modal Insan, Dr Halimah Ali menegaskan kemerdekaan yang dihajatkan Kerajaan Negeri Selangor adalah merdeka holistik yang menggabungkan kesejahteraan fizikal, mental dan spiritual.

Kempen anti zina ini dilihat mampu mencelikkan golongan muda-mudi yang terjebak dalam kancah maksiat akibat pergaulan bebas yang tiada sempadan.

Langkah kerajaan negeri Selangor mengadakan kempen anti zina merupakan satu kerja amar ma’ruf nahi mungkar yang mesti di sokong dan merupakan langkah bijak tatkala umat Islam semakin alpa dan lalai mengejar kebendaan dan lebih bersifat duniawi.

Dr Halimah yang juga ADUN Selat Klang menyatakan hasratnya meneruskan usaha murni tersebut meskipun sedar ianya merupakan perkara baru dalam masyarakat.

Menurut Halimah, para remaja perlu diberi kesedaran bagi mengelakkan masalah sosial ini terus menular dalam kalangan masyarakat.

“Kita lihat fenomena suasana malam merdeka,malam tahun baru dan malam valentine seolah-olah sudah menjadi kebiasaan pergaulan yang menjurus kepada melahirkan bayi-bayi luar nikah dan ini lah bayi-bayi yang berisiko tinggi untuk dibuang”,katanya.

Menurutnya, statistik menunjukkan purata 84 orang anak luar nikah lahir setiap hari dimana 7 kelahiran pada setiap 2 jam.

Kini seramai 17,303 orang anak luar nikah Melayu tidak didaftar di seluruh negara sepanjang 2008. Apa yang lebih membimbangkan kira-kira sekitar 470 pasangan malakukan zina setiap hari.

Tambah beliau, usaha sama dan kesedaran dalam kalangan masyarakat serta kesungguhan kerajaan negeri melaksanakan program ini diharap dapat membendung maksiat yang dianggap nanah yang makin busuk didalam masyarakat kini.

Menyedari hakikat ini,kandungan sambutan kemerdekaan kali ini diisi dengan penerapan nilai murni yang menekankan mitigasi insan ‘liabiliti’ menerusi Program Generasi Idaman Selangor (GeMS).

“Kita juga mahu merdeka pada segi spiritual,mental supaya kesan-kesan peninggalan penjajah itu kita betul-betul bebas,kita juga bersama-sama akan menunaikan solat hajat sebagai satu usaha untuk kita di malam merdeka lebih-lebih lagi malam puasa dan malam lailatul qadar,kita berdoa supaya Selangor bebas daripada gejala sosial samada pembuangan bayi atau apa-apa sahaja gejala sosial”,katanya.

Program ini adalah anjuran Jawatankuasa Tetap Pendidikan, Pendidikan Tinggi dan Pembangunan Modal Insan Negeri Selangor dan mendapat kerjasama daripada Pejabat Daerah, Jabatan Agama Islam Selangor, Lembaga Zakat Selangor, PKNS, Masjid Negeri Selangor, MBSA, MBPJ, MPSJ, PDRM, RELA, Yayasan Amal Selangor, Tourism Selangor, KDEB, SSIC.

Tepat jam 12 malam, sambutan kemerdekaaan dimulakan dengan perasmian oleh Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim termasuk pelancaran Kempen Anti Zina dan Ekspedisi Dakwah GeMS iaitu ‘Konvoi Anti Zina Malam Merdeka’.

Menteri Besar turut menyatakan betapa kerajaan negeri bersungguh-sungguh dalam mencegah gejala maksiat dan pembuangan bayi ini.

“Kempen ini membuktikan betapa kerajaan negeri bersungguh menangani masalah gejala sosial di selangor,kita berharap usaha yang diwar-warkan khususnya ditujukan kepada remaja lebih beringat dan berhati-hati dalam pergaulan antara lelaki dan perempuan”,kata beliau.

Pelancaran kempen itu telah diakhiri dengan pelepasan konvoi Anti Zina yang mana konvoi ini akan bergerak ke Zon-zon panas yang disyaki menjadi tempat persinggahan dan pusat maksiat kepada pasangan-pasangan yang ingin melampiaskan nafsu mereka.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.