Isnin, 27 September 2010

Penantian 13 hari berakhir

SINAR HARIAN ONLINE


PEKAN – Penantian selama 13 hari usaha mencari mangsa lemas, Muhammad Hasif Hariri, 20, yang juga pelajar kolej Pahang Skills Development Centre (PSDC) berakhir semalam, apabila mayatnya ditemui terapung di kawasan sungai berhampiran tanah perkuburan di Kampung Padang Rumbia, dekat sini, iaitu lima kilometer dari tempat kejadian.

Penduduk yang menemui mangsa, Mohd Hamidi Abdul Aziz, 39, dikatakan sedang sibuk menebang jagung di kebun miliknya sebelum terlihat objek terapung berhampiran tempat dia bekerja kira-kira jam 9 pagi semalam.

Menurutnya, objek yang terlingkup di dalam air dan tersangkut pada kayu berhampiran tebing kelihatan seperti manusia sebelum menghubungi pihak berkuasa untuk tindakan selanjutnya.

Ketua Polis daerah, Superintendan Yahaya Othman yang ditemui berkata, pihaknya menerima panggilan daripada orang awam mengenai penemuan mayat di kawasan itu.

“Ibu mangsa yang turut ke lokasi penemuan mayat mangsa mengecam jasad anaknya melalui wajah dan pakaian iaitu seluar jeans yang masih ada pada badan mangsa.

“Mayat mangsa diangkat naik daripada sungai dengan bantuan Rela dan penduduk kampung yang tinggal berhampiran sebelum dibawa ke Hospital Pekan untuk bedah siasat,” katanya ketika ditemui Sinar Harian.

Yahaya berkata, kes itu diklasifikasikan sebagai mati lemas dan mayat mangsa dijangka akan dibawa pulang ke Pulau Rumput sebelum dikebumikan di tanah perkuburan di situ.

Sinar Harian cuba mendekati ibu mangsa yang ditemui di perkarangan bilik mayat namun beliau, Salmiah Ibrahim, 51, yang ditemui hanya memohon maaf kerana tidak mahu ditemubual kerana masih bersedih dengan kejadian yang berlaku.

“Saya minta maaf tidak dapat cakap apa-apa buat masa ini kerana sedang memikirkan urusan pengebumian anak saya dan sebagainya,” katanya ringkas.

Mangsa, Muhammad Hasif Hariri, 20, yang lemas dan dihanyutkan di Sungai Pahang berhampiran Kampung Serambi selepas bersama empat lagi rakan dan saudaranya mandi di sungai itu kira-kira jam 4 petang, 13 September lalu.

Mangsa dikatakan ke sangkar ikan milik keluarga di tepi sungai Pahang untuk mengambil dan menyiang ikan bagi tujuan kenduri tahlil yang ingin diadakan pada malam hari yang sama.

Operasi mencari dan menyelamat mangsa membabitkan 132 anggota daripada pelbagai agensi keselamatan termasuk orang awam bagaimanapun dihentikan pada 22 September lalu apabila mayat mangsa gagal ditemui selepas 10 hari.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.