KUALA LUMPUR — Pegawai kanan Biro Tata Negara (BTN) Hamim Husin berkata orang Melayu mempunyai mandat penuh untuk memerintah negara ini dan oleh itu mereka harus bersatu menghadapi sebarang ancaman.
Baru-baru ini bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, orang Melayu akan hilang kuasa jika penguasaan Putrajaya diambil alih oleh Pakatan Rakyat.
“Hak orang Melayu adalah untuk memerintah negara ini. Ia jelas,” kata Hamim, timbalan pengarah BTN Wilayah Persekutuan, pada majlis dialog anjuran Puteri Umno di sini hari ini.
“Orang Melayu mesti bersatu untuk menghadapi cabaran,” tambah beliau.
Hamim memberikan contoh di mana parti pemerintah gagal untuk bertindak ketika demonstrasi berbaur hasutan oleh bukan Islam di ibu negara beberapa tahun lalu.
“Orang beragama Hindu berarak ke Parlimen untuk menghantar memorandum. Mereka seperti Hindraf adalah kumpulan yang mengembangkan hasutan,” katanya.
“Di mana parti politik ketika itu,” kata beliau.
Hamim menekankan kepentingan perpaduan Melayu menjelang pilihan raya umum, kemungkinan besar tahun depan.
“Pilihan raya umum tidak lama lagi. Jika kita masih berpecah belah, kita tidak boleh adakan majlis macam ini... di mana kita boleh cakap apa kita mahukan nanti,” kata beliau lagi.
Hamim juga menggesa Puteri Umno membuat pengorbanan dalam usaha mempertahankan hak-hak orang Melayu.
“Dalam konteks hak orang Melayu, jangan hanya bertanya hak-hak anda. Anda mesti bertanya ‘apa yang mesti saya korbankan untuk mempertahankan hak-hak saya?” kata beliau.
Hamim juga berkata orang Melayu tidak boleh memerintah negara ini tanpa bekerjasaam dengan masyarakat-masyarakat bukan Melayu memandangkan setiap rakyat hanya membawa satu undi.
“Sebab itu kita berkawan dengan MCA dan MIC,” katanya lagi.
Kata beliau Dr Mahathir dan penggantinya Tun Abdullah Ahmad Badawi, dan juga masyarakat Cina, India dan Orang Asli hanya mempunyai hak kepada satu undi.
“Si mata sepet yang tidak pernah pergi ke masjid atau ke surau juga hanya mempunyai satu undi.
“Si botol yang hanya tahu naik dan turun Batu Caves juga hanya mempunyai satu undi,” kata beliau merujuk kepada masyarakat Cina dan India negara ini.
“Jadi, Puteri Umno mesti berkawan dengan golongan muda bukan Melayu,” kata beliau.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.