Isnin, 27 September 2010

Hasil Judi: PAS Mahu Guang Eng Beri Penjelasan Kepada Umat Islam

PETALING JAYA: PAS meminta Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng memberi penjelasan sewajarnya kepada umat Islam di negeri itu berhubung dakwaan kerajaan negeri menggunakan wang hasil judi bagi memberi bantuan kepada golongan miskin.

Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat, Nasruddin Hassan Tantawi berkata, parti itu tetap berpendirian bahawa wang hasil kutipan judi adalah haram dan ia tidak boleh digunakan bagi membantu penduduk miskin terutamanya umat Islam di negeri itu.

“Perkara tersebut, memamg telah diakui oleh Ketua Menteri (Guan Eng) bahawa hasil judi tersebut telah diasingkan dan ia disalurkan untuk membantu masyarakat bukan Islam di negeri itu. Oleh itu, kita berpuas hati dengan penjelasan beliau mengenainya.

“Bagaimanapun, ingin kita tegaskan sekali lagi bahawa PAS tidak akan berkompromi sekiranya wang hasil judi diberikan kepada orang Islam di negeri itu. Ini kerana hasil judi tetap haram dan ia tidak boleh diberikan atas alasan apa sekali pun,” katanya kepada mStar Online ketika dihubungi di sini, pada Isnin.

Sebelum ini, Ketua Penerangan Pemuda Umno, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican mendedahkan kerajaan Pulau Pinang menerima sumbangan sebanyak RM500,000 daripada Kelab Lumba Kuda Pulau Pinang yang merupakan sebuah kelab yang mengendalikan pertaruhan lumba kuda di negeri itu.

Bukan itu sahaja, Reezal turut mengemukakan pendedahan itu dengan bukti melalui surat rasmi Pejabat Ketua Menteri berhubung penerimaan sumbangan tersebut yang ditandatangani oleh Setiausaha Sulit Guan Eng, Farida M. Yaacob bertarikh 9 Julai 2010.

Terdahulu, seorang penulis blog memuat-naikkan sebuah artikel di Pisau.net mendakwa wang RM100 yang diberikan kepada warga emas berusia 60 tahun ke atas sebagai penghargaan kepada golongan itu datangnya dari sumber judi.

Bagaimanapun, Guan Eng berkali-kali menafikan dakwaan itu, dan Setiausaha Politiknya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Komtar Ng Wei Aik membuat laporan ke atas penulis blog itu kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia.

Sementara itu, Ketua Pembangkang Pulau Pinang, Datuk Azhar Ibrahim melabelkan Guan Eng sebagai pemimpin yang suka berbohong kerana beliau hanya memberitahu perkara sebenar selepas Ketua Penerangan Pemuda Umno mengemukakan bukti kepada media mengenai perkara berkenaan.

“Ini gaya dia (Guan Eng); pada mulanya dia akan menafikannya, tetapi apabila kita tunjukkan bukti, dia kemudian akan mengakuinya.

“Inilah sikap sebenar pemimpin pembangkang, mereka cuba menyembunyikan perkara sebenar kerana takut pada kebenaran. Bila bukti sudah ditunjukkan baru mereka akur kepada hakikat sebenar,” ujarnya sinis.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.