Khamis, 2 September 2010

Belum ada larangan ke Indonesia

Oleh Johari Ibrahim

PUTRAJAYA: Malaysia belum bercadang mengeluarkan nasihat larangan melawat Indonesia kepada rakyatnya berikutan perkembangan terkini demonstrasi anti-Malaysia di negara itu.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, berkata beliau akan merujuk kepada Wisma Putra berhubung perkara itu tetapi menegaskan nasihat perjalanan adalah sesuatu yang serius kerana membabitkan hubungan antara kerajaan, perniagaan dan orang perseorangan antara Malaysia dan Indonesia.

“Kita perlu berfikir secara mendalam sebelum mengambil tindakan seperti itu.

“Pada peringkat ini kita tidak mengeluarkan nasihat perjalanan kecuali jika keadaan benar-benar perlu seperti situasi bahaya kepada nyawa dan berlaku sesuatu yang sangat serius,” katanya semalam.

Terdahulu, Najib menerima buku besar ucapan Hari Kemerdekaan Ke-53 yang ditandatangani pelajar tiga sekolah rendah di Singapura sebagai tanda hormat serta jalinan hubungan dua hala dua negara.

Kad disampaikan sekumpulan pelajar Sekolah Kebangsaan Bukit Damansara (SKBD), Sekolah Berprestasi Tinggi yang terbabit dengan program pengantarabangsaan dengan sekolah di Singapura itu.

Mengenai harapannya menjelang pertemuan Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman dengan rakan sejawatnya dari Indonesia, Marty Natalegawa di Sabah pada Isnin depan, Najib berkata:

“Harap masalah yang berlaku tidak merebak, kalau ada insiden kita mesti berusaha selesaikan dan tidak mengundang kepada reaksi tunjuk perasaan secara keterlaluan yang berlaku baru-baru ini.”

Beliau berkata, sebagai negara berjiran, Malaysia dan Indonesia tidak dapat mengelak daripada masalah dari semasa ke semasa, lebih-lebih lagi apabila kedua-dua negara berkongsi sempadan perairan yang luas dan belum lagi diselesaikan secara tuntas.

Mengenai kenyataan Presiden Amerika Syarikat (AS), Barack Obama, yang mengisytiharkan tamatnya misi ketenteraan negara itu di Iraq semalam, Najib berkata, ia adalah tindakan yang sesuai.

“Cuma kita nak supaya ada sebuah kerajaan stabil di Iraq kerana tanpanya ia akan buka peluang kepada pihak lain menguasai situasi yang akan mencetuskan konflik dalaman yang mungkin sukar dikawal,” katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.