Jumaat, 27 Ogos 2010

Pencalonan PKR meriah di Kedah, tenang di K'tan

Jimadie Shah Othman

Hari pertama pencalonan bagi pemilihan langsung bagi cabang-cabang PKR di Kedah berlangsung meriah manakala di Kelantan agak tenang.

Menurut Pengerusi PKR Kedah Ahmad Kassim (kanan), proses pencalonan hari pertama di Langkawi, Kubang Pasu, Pokok Sena, Alor Setar dan Kuala Kedah, menyaksikan hampir semua cabang menyaksikan berlaku pertandingan untuk jawatan-jawatan yang dipertandingkan.

"Paling meriah saya rasa di Alor Star yang mana mereka datang bersama penyokong masing-masing seperti penamaan calon 'mini' dalam pilihan raya," kata Ahmad yang juga ahli palimen Kuala Kedah kepada Malaysiakini.

Manakala, Setiausaha PKR Kelantan Makhatar Che Harun pula berkata, berbeza dengan di Kedah, hari penamaan calon di negerinya agak tenang.

Menurutnya, proses penamaan di Tumpat, Pengkalan Chepa, Kota Bharu, Pasir Mas dan Rantau Panjang mungkin 'kurang rancak' ekoran kedudukan parti yang hanya mempunyai tiga ahli parlimen sahaja.

Bagaimanapun, daripada sepuluh cabang yang pertama membuka penamaannya hari ini, terdapat sedikit "kekecohan" berlaku di Kubang Pasu.

"Ada yang tak mahu dicabar rasanya. Tetapi ini (satu proses) demokrasi dalam parti," kata Ahmad.

Proses pencalonan hari ini berlangsung di tempat yang ditetapkan bermula dari jam 10 pagi hingga 4 petang.

Dalam tempoh tersebut, anggota cabang yang berminat bertanding merebut 18 jawatan dalam cabang serta sepuluh kerusi dalam sayap Pemuda (AMK) dan Wanitanya akan mengemukakan borang pencalonan masing-masing bersama seorang pencadang dan seorang penyokong.

Lebih 400,000 anggota PKR daripada 205 cabang akan terlibat memilih dalam pemilihan PKR tahun ini sebelum pertandingan jawatan tertinggi parti itu akan dibuat November ini dalam kongres tahunnya.

Pemilihan secara langsung barisan kepimpinan PKR bermula dengan proses pencalonan di peringkat cabang, sebelum mengundi memilih pucuk pimpinan tertinggi parti itu pada 17 September hingga 3 Oktober depan.

Semua cabang di seluruh negara diminta mengemukakan pencalonan mulai hari ini hingga 12 September.

PKR merupakan parti politik pertama melaksanakan pemilihan secara langsung bagi semua jawatan di peringkat cabang serta di peringkat Majlis Pimpinan Pusat, termasuk jawatan presiden, timbalan presiden, empat naib presiden dan 20 anggotanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.