Selasa, 31 Ogos 2010

PAS dakwa Umno mahu Taib Mahmud berundur segera

idris_ahmad FREE MALAYSIA TODAY

KUALA LUMPUR: PAS mendakwa Umno terus memberi tekanan kepada Tan Sri Abdul Taib Mahmud supaya meletakkan jawatan dan berundur dari jawatan ketua menteri Sarawak.

Ketua Penerangan PAS, Idris Ahmad berkata, ini kerana BN telah mengalami kekalahan memalukan dalam pilihanraya kecil parlimen Sibu yang lalu.

Katanya, tekanan ke atas Taib sama seperti yang dilakukan ke atas Tun Dr Mahathir Mohamad dan Tun Abdullah Ahmad Badawi iaitu dituduh sebagai punca kekalahan BN dalam pilihanraya umum 1999 dan 2008.

"Tekanan ini begitu jelas kerana sebaik sahaja presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) mengumumkan kesediaanya untuk berundur,

Setiausaha Agung Umno, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor dengan pantas membuat sindiran kepadanya dengan mengatakan; “Mungkin dia sedar bahawa rakyat di Sarawak inginkan perubahaan. Bagi kami, Sarawak tetap dalam tangan sama ada dia ( Taib) memimpin atau orang lain yang memimpin,” kata Idris.

Ketua penerangan PAS itu mendakwa, pergolakan dalaman BN ini begitu menekan rakyat Sarawak kerana negeri berkenaan adalah satu-satunya negeri yang belum ada cawangan Umno berikutan masyarakat Melayu bersatu dibawah Parti Bersatu Bumiputera (PBB).

Katanya, kewujudan PBB membukti bahawa Umno bukanlah satu-satunya parti Melayu dan keadaan ini mencabar Umno yang kini sedang mencari negeri baru untuk membina kubu terakhirnya.

"PAS melihat kejatuhan Taib akan menjadi perintis kepada pembubaran PBB sama seperti USNO yang lenyap selepas Umno tiba di Sabah.

"Umno kini bercita-cita untuk menjadikan negeri itu sebagai destinasi terbarunya berikutan trend sokongan rakyat kepada BN yang masih lagi memberikan ruang untuk Umno-BN bernafas," katanya.

Di Semenanjung, kata Idris telah banyak kubu BN yang ditawan Pakatan dan bakinya kini sedang bertungkus lumus mempertahankan kemenangan tipis mereka.

PAS yakin, keghairahan Umno yang kini sedang bercita-cita menjadi parti paling dominon dalam BN sedang diperhatikan oleh rakan-rakan komponennya yang begitu kecewa dengan sikap pemimpin Umno yang kini semakin angkuh selepas mereka menguasai majoriti besar kerusi Parlimen BN pada pilihanraya umum yang lalu.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.