Oleh Dzulkarnain Taib
SHAH ALAM - Proses pemilihan Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) yang buat pertama kalinya dalam sejarah parti politik tanahair menggunakan pendekatan undi terus atau 'satu ahli satu undi' dalam menentukan barisan pucuk pimpinan untuk tempoh tiga tahun bermula hari.
Kelantan dan Kedah menjadi dua negeri yang mengorak langkah dalam proses yang akan memakan masa beberapa minggu sehingga tarikh pemilihan peringkat cabang yang akan bermula 17 September.
Masing-masing lima cabang di Kedah - Langkawi, Kubang Pasu, Pokok Sena, Alor Setar, Kuala Kedah dan Kelantan - Tumpat, Pengkalan Chepa, Kota Bharu, Pasir Mas, Rantau Panjang akan mula menerima kertas pencalonan mesyuarat agung tahunan.
Hanya anggota yang berdaftar sebelum 27 Jun dibenarkan mengundi bagi 18 jawatan di peringkat cabang termasuk pengerusi, timbalan pengerusi, naib pengerusi serta 15 ahli jawatankuasa.
Angkatan Muda KEADILAN dan Wanita pula masing-masing menawarkan 20 dan 10 jawatan dalam sayap mereka.
Permulaan awal bermakna 10 cabang terbabit akan menjadi kelompok cabang paling dahulu menjalankan pemilihan secara undi langsung dalam KEADILAN yang akan bermula 17 September.
Proses pencalonan akan dijalankan dilokasi yang telah dikenalpasti disetiap cabang antara pukul 10.00 pagi hingga 4.00 petang.
Proses pencalonan ini dipantau ketat oleh pegawai pemantau yang dilantik parti berjumlah 150 orang bagi seluruh negara sehingga habis tempoh pada 12 September.
Nama anggota parti yang dicalonkan akan dipamerkan untuk bantahan selama tiga hari dan selepas sekiranya tiada bantahan dalam tempoh tersebut senarai calon yang layak bertanding akan diumumkan empat hari kemudian oleh jawatankuasa pemilihan pusat.
KEADILAN mempunyai 218 cabang termasuk di Sabah dan Sarawak dengan jumlah ahli hampir 500,000.
Pemilihan akan dibahagikan kepada dua komponen iaitu mesyuarat tahunan cabang serta pemilihan pucuk pimpinan peringkat cabang dan kemuncaknya bagi memilih pimpinan tertinggi parti termasuk jawatan presiden, timbalan presiden, empat naib presiden dan 20 anggota Majlis Pimpinan Pusat (MPP).
Cabang akan mengundi untuk memilih barisan pimpinan pusat antara 29 Oktober dan 21 November manakala keputusan rasmi akan diumumkan pada Kongres Nasional pada 28 November.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.