WARKAH DAILY
Pentingnya sifat cermat dalam membuat tindakan
Bersempena dengan peristiwa turunnya Al Quran di bulan Ramadhan yang mulia ini, saya ingin mengambil kesempatan ini untuk berpesan kepada seluruh ahli dan kepimpinan PAS disegenap lapisan peringkat untuk memanafaatkan baki Ramadhan yang tinggal ini agar ianya diisi dengan amal soleh dan mampu untuk menghampirkan diri kita kepada Allah SWT.
Selain dari itu, saya juga ingin memperingatkan kepada seluruh ahli, petugas dan para pimpinan yang berhadapan dengan masyarakat awam Islam dan bukan Islam agar sentiasa bertindak dengan cermat berdasarkan ilmu yang jelas dan penuh hikmah dalam segala bentuk pertuturan, perancangan, tindakan, pemantauan dan penguatkuasaan bagi menjalankan amanah kemenangan yang diberi oleh Allah SWT di segenap ceruk dalam negara kita ini.
Janganlah kita bertindak dengan cara yang disangkakan beroleh kebaikan, akan tetapi natijahnya menyebabkan kita sibuk diasak oleh musuh menerusi media yang tidak memihak kepada kita, dan terpaksa pula kita menghabiskan masa untuk menjawab dan mempertahankan sesuatu isu yang ditimbulkan itu.
Sesuatu tindakan yang pada asalnya dibolehkan sekalipun, akan tetapi jika menyebabkan polemik dalam masyarakat, malah merugikan pula dari sudut pandangan siyasah umum, maka lebih baik ianya dielakkan. Apatah lagi dalam tindakan yang boleh mendatangkan fitnah kepada organisasi parti PAS itu sendiri.
Semuanya perlu dipertimbangkan bagi menjaga maslahat umum seperti disebutkan di dalam kaedah fiqh :
Almaslahatul 'ammah muqaddamah 'ala maslahah khasah (Maslahat umum diutamakan dari maslahat khas) dan
Dar'ul mafasid muqaddam 'ala jalbil masalih (menolak keburukan diutamakan daripada mengambil maslahah).
Selagi mana ia bukanlah satu perkara yang bersifat prinsip, atau sesuatu hukum yang qat'i, maka kaedah tersebut perlulah diguna pakai dalam tindakan-tindakan kita sebagai pejuang Islam, termasuklah dalam proses kita memperkasakan parti di peringkat Cawangan dan Kawasan.
Semoga segala tindakan kita sentiasa dipimpin oleh syariat dan mendapat petunjuk dari Allah SWT.
Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang
Presiden Parti Islam SeMalaysia (PAS)
WarkahDaily – Yang rasa dah pandai sangat tu, fikir-fikirkanlah. Jangan kerana nila setitik, rosak susu sebelanga.
Bukan tuju kat sape-sape, tapi peringatan Presiden itu adalah secara umum. Namun siapa yang makan cili, dia akan terasa pedasnya.
‘Cuma yang ikhlas sahaja akan merasa pedas bila termakan cili’. Tapi yang rasa ‘besar kepala’, memang depa buat dek je. Pejuang Islam hanyalah mereka yang tawaduk dalam setiap perlakuan dan bukannya orang yang suka mendabik dada, berlagak pandai.
Ingat pesan Presiden sebagai penerus liku perjuangan yang dipenuhi duri-duri yang sangat tajam dari musuh yang sudah semestinya tidak senang dengan pencapaian PAS sekarang ini.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.