Isnin, 2 Ogos 2010

30 ditangkap, kawasan himpunan dikepung

Harakahdaily

PASIR SALAK: Seramai 30 orang termasuk 10 anggota Unit Amal telah ditahan polis sehingga lewat petang ini yang dimulai kira-kira jam 4.00 petang ini sementara seluruh kawasan Himpunan Warga Felda Kebangsaan di Changkat Lada, di sini dikepung.

Tangkapan turut dilakukan terhadap mereka yang memakai pakaian beridentitikan penganjur program.

Semua yang ditangkap dibawa ke Balai Polis Kampung Gajah.

Tangkapan rambang di luar kawasan itu dibuat sewaktu peguam Wan Rohaimi Wan Daud membentangkan kertasnya sebagaimana yang dijadualkan.

Wan Rohaimi adalah peguam yang memenangkan kes saman Felda oleh para peneroka Kemahang 3.

(Gambar: Pelancaran risalah Felda bankrap? pada Himpunan Warga Felcra Kebangsaan pagi tadi.)

Pihak polis mengetatkan kawalan sekitar kawasan itu termasuk mengadakan sekatan jalan raya sekitar jam 3.00 petang bagi menghalang orang ramai daripada memasuki tapak himpunan.

Dua buah trak Black Maria turut kelihatan berada di situ.

Anggota Unit Simpanan Persekutuan (FRU) juga sudah berada berhampiran kawasan himpunan itu.

Para hadirin termasuk mereka yang keluar pada waktu rehat sebelum ini juga tidak dapat memasuki kawasan itu khususnya bagi mengikuti majlis penutup yang dijangka dirasmikan oleh Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Mohamad Sabu petang ini.

Ekoran situasi itu, Mohamad Sabu juga terhalang daripada merasmikan majlis penutup itu.

Sementara itu, Pengerusi Persatuan Anak-anak Peneroka Kebangsaan (Anak), Mazlan Aliman menyifatkan himpunan kali pertama itu mencapai matlamat melalui pembentangan dua kertas kerja termasuk oleh aktivis Felcra Lubok Sireh, Razi Mustafa serta ucaptama oleh Datuk Seri Ir Mohammad Nizar Jamaluddin dan ulasan isu oleh bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri yang juga Penyelaras Pakatan Rakyat, Datuk Zaid Ibrahim.

Beliau berkata, ekoran tindakan pihak keselamatan yang mengepung kawasan himpunan, suasana yang tidak mengizinkan, 30 orang telah ditangkap, nasib orang awam dan para peniaga membimbangkan, maka majlis ceramah perdana pada malam ini yang melibatkan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang, Naib Presiden PKR, Mustaffa Kamil Ayu dan Mohamad Sabu dibatalkan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.