Khamis, 1 Julai 2010

Rayuan kes poligami Bung Moktar didengar 4 Ogos

BERNAMA



Bung Moktar dengan Zizie. — Gambar fail

SHAH ALAM — Mahkamah Tinggi Syariah di sini hari ini menetapkan 4 Ogos ini untuk mendengar rayuan Ahli Parlimen Kinabatangan Datuk Bung Moktar Radin yang dikenakan hukuman penjara sebulan kerana berpoligami tanpa kebenaran.

Ketua Pendaftar Mahkamah Tinggi Syariah Zainor Rashid Hassin memutuskan perkara itu selepas kes berkenaan disebut di hadapannya di dalam kamar.

Bung Moktar yang hadir di mahkamah dengan ditemani isteri keduanya pelakon Zizie Izette A. Samad, diwakili oleh peguam Amli Embong sementara pendakwaan diwakili oleh Pegawai Pendakwa Syarie Zusyarafain Md Yusof.

Amli ketika ditemui pemberita berkata mahkamah turut memerintahkan pihaknya memfailkan hujahan bertulis pada 12 Julai ini, dan pihak pendakwaan mengemukakan hujahan balas seminggu selepas itu (19 Julai).

“Kedua-dua pihak akan berhujah di hadapan hakim secara lisan pada 4 Ogos ini, bagaimanapun hakim yang akan mendengar kes ini belum diketahui,” katanya.

Mahkamah sebelum ini menetapkan hari ini untuk pihak perayu (Bung Moktar) menyediakan hujahan bertulis dan kronologi kes.

Pada 19 Mei lepas Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur menjatuhkan hukuman penjara sebulan terhadap Bung Moktar, 51, kerana kesalahan berpoligami tanpa kebenaran mahkamah, dengan Zizie Izette, 31, di rumah No. 12, Jalan TC2B/3 Cemerlang Heights, Taman Melati, Gombak pada 8.50 malam 16 Disember tahun lepas.

Beliau didakwa mengikut Seksyen 124 Enakmen Undang-undang Keluarga Islam Selangor 2003 yang boleh membawa hukuman denda tidak lebih RM1,000 atau penjara tidak lebih enam bulan atau kedua-duanya sekali.

Bung Moktar memfailkan rayuan itu di sini pada 25 Mei lepas dan memohon supaya hukuman terhadapnya diringankan kepada hukuman denda.

Pada 19 Mei juga Bung Moktar turut didenda RM1,000 atau penjara sebulan kerana kesalahan bersubahat dengan Zizie Izette kerana berkahwin tanpa kebenaran Pendaftar Nikah Cerai dan Rujuk.

Beliau membayar denda itu.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.