Memperkukuhkan sistem dua parti, atau membina kuasa ketiga - persoalan yang semakin diperbincangkan dua tahun kebelakangan ini. Aktivis hak asasi manusia, Kua Kia Soong dalam tulisannya Frogs, Dongkeys & Moronic Oxen: A Third Force in Malaysian Politics?" menyenaraikan apa yang buruknya dalam peralihan kuasa antara dua parti, malah menyatakan bahawa model sistem dua parti tidak memberi pilihan yang sebenarnya kepada rakyat, sebaliknya menyekat pilihan rakyat. Beliau memberi peringatan agar politik negara kita tidak menyusuli landasan ini.
Tulisan Kua Kia Soong ini menyenaraikan masalah-masalah dalam Pakatan Rakyat, mencadangkan agar kuasa ketiga diwujudkan untuk mengimbangi Barisan Nasional dan Pakatan Rakyat. Apa yang harus diberi perhatian, kuasa ketiga yang disaran dalam tulisan tersebut bukan "perjuangan dalam dewan perundangan" semata-mata, tetapi kuasa rakyat yang sedikit banyak memberi tekanan di luar dewan perundangan.
Namun demikian, dalam sistem perlembagaan yang sedia ada, peralihan kuasa kerajaan hanya berlaku di dalam dewan perundangan. Seandainya "kuasa ketiga" mahu melakukan sesuatu, maka mereka terpaksa mengikut jalan dewan perundangan (iaitu politik parti), melainkan kalau ia sanggup melihat diri sebagai kumpulan pendesak semata-mata.
Oleh yang demikian, "kuasa ketiga" tidak dapat terelak daripada bersaing secara terus dengan BN dan PR. Saya tidak berniat untuk membincangkan sistem pilihan raya negara kita yang menyekat "kuasa ketiga" di sini, tetapi cuba membincangkan secara ringkas dari perspektif strategi.
PSM tidak bina kuasa ketiga
Dalam keadaan parti politik yang melambak di negara kita, percubaan membina satu parti yang baru untuk dijadikan lambang "kuasa ketiga" kemungkinan berakhir dengan "melemahkan parti sekutu (yang berpotensi) sebelum diri menjadi kuat". Jadi, kalau "kuasa ketiga" hendak dibina, pilihan yang lebih baik adalah mencari gelanggang di luar kedua-dua BN dan PR.
Namun demikian, parti politik yang mempunyai kemampuan untuk membina "kuasa ketiga" sebenarnya tidak banyak. Pilihannya lebih terbatas lantaran daripada faktor ideologi, apabila mereka yang mahu membina kuasa ketiga kebanyakannya adalah orang "kiri". Di Malaysia Barat, mungkin hanya Parti Hak Asasi Rakyat Malaysia (PAHAM) dan Parti Sosialis Malaysia (PSM) yang berpotensi melakukan sesuatu.
Hindraf yang memainkan peranan penting dalam PRU ke-12 kini telah meretak kepada beberapa sekta. Sebahagiannya telah dipikat BN, misalnya Parti Makkal Sakthi. Anggota Hindraf yang berada dalam PR masih kekal dalam PR, sementara sekumpulan yang tegas menentang BN tetapi tidak menaruh harapan kepada PR pula menubuhkan PAHAM.
Daripada saf pimpinan PAHAM, ia seolah-olahnya Hindraf yang lebih "tulen". PAHAM mempunyai pengaruh di kalangan komuniti India, kerana mewarisi kewibawaan Hindraf. PRK Hulu Selangor baru-baru ini menyaksikan bagaimana PAHAM mengambil pendirian untuk tidak menyebelahi mana-mana parti, dan ingin membentuk kuasa ketiga dengan kumpulan berkepentingan yang sama dari Malaysia Timur. Walaupun PAHAM tidak masuk bertanding dalam PRK ini, tetapi mereka telah mengumumkan bahawa mereka akan bertanding untuk beberapa kerusi, dan menentang BN dan PR dalam PRU yang akan datang.
PSM pula memutuskan untuk tidak membina "kuasa ketiga" selepas perbincangan dalam Kongres Nasional mereka baru-baru ini. Mereka akan bekerjasama dengan lebih erat bersama PR untuk berdepan dengan musuh bersama, malah sudi menggunakan bendera dan manifesto PR dalam PRU yang akan datang.
Kedua-dua kerusi dewan rakyat dan DUN yang dimiliki PSM kini, ditanding di bawah tiket PKR dalam PRU ke-12. PSM menjalin hubungan yang baik dengan PR. Tulisan ahli parlimen PSM, Jeyakumar Devaraj Two-party system – and a ‘third force’? mengulas dengan baik pendirian PSM untuk cenderung kepada PR, tetapi bukan menyertai PR.
Sama dengan Kua Kia Soong, Jeyakumar Devaraj menyatakan kekurangan sistem dua parti, malah mengakui bahawa PSM mempunyai pendirian yang berbeza dengan PR dalam banyak isu ekonomi. Namun demikian, PSM menganggap sistem dua parti adalah satu langkah ke depan dalam demokrasi berbanding dominasi BN.
Menyatukan kuasa anti-autokratik
Jika dibandingkan pendirian kedua-dua parti politik ini, saya menganggap pendirian dan keputusan PSM adalah tepat. PAHAM mengadu kedua-dua barisan dan pakatan mengabaikan golongan minoriti (kaum India), lantas menentang kedua-duanya. Namun, jika dilihat dari sudut yang lebih luas, persoalan siapakah "musuh utama" telah dikelirukan dalam hal ini.
Untuk saya, pimpinan PSM lebih masak dengan karya klasikal Marx, Engels dan Lenin, maka lebih jelas dalam pencaturan strategi politiknya. Misalnya, Marx dan Engels talah banyak kali menyatakan dalam karyanya, "menyatukan segala kuasa anti-autokratik, termasuk bekerjasama dengan 'musuh kelas' yang berpotensi. Mereka menyeru agar komunis di serata dunia menyokong pergerakan revolusi untuk menentang sistem sosial dan sistem politik yang sedia ada." (Deklarasi Komunis)
Dalam revolusi kelas kapitalis di Eropah pada tahun 1848, Marx dan Engels menggalakkan buruh untuk menyertai pergerakan ini. "Selagi kelas kapitalis mengambil tindakan revolusi, Parti Komunis akan bersamanya untuk membantah sistem raja yang autokratik, feudalisme dan rakyat yang menghalang perubahan."
Lenin yang memimpin revolusi sosialis pertama juga pernah berkata, "Mengambil segala kesempatan, tak kira peluang yang terlalu kecil pun, untuk mengerah sokongan sekutu yang maksima."
Saya bukan berniat untuk menunjuk-nunjuk di sini dengan memetik Marx, Engels dan Lenin. Saya juga bukan bermaksud untuk mengaplikasikan teori mereka dalam konteks yang kini sudah banyak berbeza. Tetapi, saya ingin mengatakan bahawa dalam senario yang ada sekarang, menarik sokongan segala rakan seperjuangan yang boleh untuk menyerang musuh bersama yang utama adalah pilihan yang lebih tepat.
Tidak dinafikan, prestasi PR bukannya sempurna. Tetapi, di bawah pemerintahan authoritarian BN, pendirian PR untuk anti-autokratik adalah sesuatu yang progresif, meskipun banyak lagi kekurangan dalam pencapaiannya. Dalam senario yang sedemikian, sistem dua parti antara BN dan PR bukan sekadar peralihan kuasa antara dua parti politik yang konservatif seperti yang berlaku di UK, US atau negara lain, tetapi pergelutan antara kuasa progesif dengan kuasa yang menghalang perubahan. Memperkuatkan PR, memperkukuhkan sistem dua parti jauh lebih penting daripada membina "kuasa ketiga".
*Ngeow Chow Bing ialah pengkaji politik dan kolumnis di MerdekaReview. Artikel ini disiarkan dalam bahasa Cina pada 19 Jun 2010, diterjemah dan disunting oleh Lim Hong Siang.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.