Sabtu, 31 Julai 2010

Dua Lagi Bekas Menteri Perlu Dihadap Ke Mahkamah?

Oleh Mohd Sayuti Omar

KATA Muhyiddin Yassin pendakwaan bekas Presiden MCA yang juga bekas Menteri Pengangkutan, Ling Liong Sik, 67 menandakan perundangan negara ini telus dan saksama. Pendakwaan itu menunjukkan undang-undang negara ini tidak memilih bulu. Semalam Liong Sik bekas menteri era Mahathir Mohamad itu dihadap ke mahkamah atas tuduhan kerana menipu kerajaan berhubung skandal PKFZ.

Semasa menjadi menteri, beliau didakwa menipu kerajaan berhubung pembelian tanah di Pulau Indah.


Liong Sik didakwa memperdaya Kabinet supaya bersetuju dengan terma yang dipersetujui antara syarikat Kuala Dimensi Sdn Bhd (KDBS) dan Lembaga Pelabuhan Klang (LPK) berhubung pembelian tanah yang dengan curang menyembunyikan fakta mengenai penilaian Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta Kemteri Kewangan ke atas tanah berkenaan.

Semalam Liong Sik hadir ke mahkamah sekeyen untuk menghadapi pertuduhan berkenaan.

Baguslah. Rakyat suka melihat peristiwa itu. Jarang para kaloi atau jerung negara ini dapat ditangkap dan dihadapkan ke mahakmah. Rakyat suka kalau melihat vvip berada di kandang orang salah dan bukan saja penjenayah seluar dalam ataupun ragut. Tetapi apakah dengan tindakan itu ia boleh diterima perundangan dan mahkamah kita telus dan saksama?

Mungkin rakyat yang sudah lupa beberapa perisitwa sebelum ini akan menelannya macam menelan biji selasih dalam air batu campur. Tetapi bagi mereka yang kuat ingtan dan mengetahui luar dan dalam kerajaan sukar untuk menerima kata-kata Muhyiddin itu.

Perbicaraan ke atas Anwar Ibrahim mengenai tuduhan liwat yang sedang berlaku sekarang di mana banyak soal-soal teknik dilihat meragukan. Apakah itu juga ketelusan dan kesaksamaan seperti dikatakan Muhyiddin. Keteluasan dalam perundangan negara ini tidak akan absah kalau hanya kerana pendakwaan Liong Sik sebaliknya tidak dilihat licin dan telus dalam perbicaraan lain termasuk kes berprofile tinggi seperti ke Anwar itu.

Orang ramai perlu ingat mengenai terdapat lebih 10 kes berprofile tinggi seperti mana diumumkan Rais Yatim semasa beliau jadi Menteri Undang-Undang dulu samapai kini belum diketahui nasibnya. Setengah siasatan sudah selesai tetapi masih belum ada pendakwaan. Apakah kerana ia ada kaitan dengan kedudukan kerajaan kini maka kes itu 'diguakan' begitu saja?

Pada saya perundangan negara tidak mudah untuk dianggap telus dan saksama berdasarkan pendakwaan ke atas Liong Sik itu tetapi kalau tidak sama mendakwa dua lagi bekas menteri yang dikatakan sudah disiasat kerana terlibat dengan rasuah. Perkara ini pernah diumum sendiri oleh bekas PM, Mahathir Mohamad mengenai jenayah yang mereka lakukan. Selamanya rakyat tidak akan melupai akan pengabaian disengajakan untuk mendakwa dua bekas menteri berkenaan.

Bahkan kertas siasatan atau arahan mengenai pendakwaan bekas menteri berkenaan sudahpun dibuat oleh Peguam Negara (AG). Tetapi kerana atas permintaan Mahathir sendiri maka pendakwaan tidak dibuat. Seorang terlibat meluluskan tander (saham) untuk anak menantunya dan seorang lagi berhubung projek PPRT bernilai puluhan juta ringgit.

Demi mengabsahkan pandangan Muhyiddin itu elok kalau dua bekas menteri berkenaan diheret ke mahkamah.

Selain itu seorang menteri dikatakan juga terlibat dengan rasuah. Harus menteri ini juga dibawah ke mahakamah. Sekiranya kertas siasatan sudah ditutup, ia boleh dibuka kembali. Ketelusan dan kesaksamaan perundangan negara ini boleh diikhtiraf sekiranya ia turut melibat mendakwa para kaloi dan jerung ini, khasnya dua bekas menteri berkenaan dan seorang menteri itu.

Muhyiddin tidak boleh semata-mata menjadikan kes menimpa Liong Sik itu untuk meminta orang ramai mengikhtiraf ketelusan dan kesaksamaan dalam perlaksanaan undang-undang di negara ini kerana setiap dari kita ada mengetahui akan kepincangannya. Krisis kehakiman dan perundangan negara yang yang tercatat dulu adalah sejarah hitam dalam perundangan yang menyerlahkan akan ketidak telusan perundangan kita. Sejarah itu sesungguhnya masih hidup ke hari ini.

Pendakwaan Liong Sik buktikan dakwaan PR benar

MERDEKA REVIEW

Pendakwaan Ling Liong Sik yang juga bekas Presiden MCA merangkap menteri kanan di zaman pemerintahan Mahathir membuktikan bahawa dakwaan Pakatan selama ini berhubung wujudnya penyelewengan dalam skandal Zon Perdagangan Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ) adalah benar. Ini sekaligus mengesahkan bahawa desakan Pakatan Rakyat yang mahu kes PKFZ ini dibongkar selama ini adalah benar dan memang wujud penyelewengan dalam pentadbiran kerajaan BN.

Liong Sik (gambar kiri, berbaju belang menegak) yang juga mantan Menteri Pengangkutan bertanggungjawab bagi mempengaruhi keputusan Kerajaan bagi pembelian tanah seluas 999.5 ekar bernilai RM1,088,456,000 di Pulau Indah.

Parti Islam Se-Malaysia (PAS) yakin bahawa ramai lagi pihak yang terlibat dalam penyelewengan ini dan Liong Sik hanyalah kambing hitam bagi menunjukkan lakonan "kejujuran" kerajaan BN hari ini bagi menutup kes PKFZ.

PAS juga curiga dengan kenyataan Menteri Pengangkutan yang baru, Kong Cho Ha yang mengatakan bahawa siasatan ke atas skandal PKFZ adalah "mencukupi" dan tidak perlu bagi isu itu disemak semula.

Malah kenyataan Cho Ha (gambar kanan) yang membenarkan pembayaran semula bon bernilai RM228 juta juga bercanggah dengan keadaan semasa dimana kes penyelewengan PKFZ masih dalam perbicaraan mahkamah.

Malah kerajaan akan melakukan kesilapan kedua jika melunaskan bayaran bon itu kerana syarikat Kuala Dimensi Sdn Bhd (KDSB) yang merupakan kontraktor utama PKFZ, yang mengeluarkan bon tersebut telah diheret ke mahkamah oleh Pihak Berkuasa Zon Bebas (PKA) kerana membuat tuntutan berlebihan dan tidak menyiapkan kerja mereka seperti yang dijanjikan.

Kegagalan KDSB yang dimiliki oleh jutawan Tiong King Sing yang juga ahli parlimen BN menambahkan lagi kekusutan skandal PKFZ kerana sekaligus ia menyambung siri penyelewengan ke atas projek berkenaan.

Ini menunjukan PKFZ merupakan sebuah projek khas bagi menyara pemimpin BN dan kroni mereka bermula dengan menipu untuk membeli tapak, kemudian menipu dalam proses perancangan dan penyediaan pelan serta menipu dalam proses pembinaan. Bayangkanlah kerugian besar wang rakyat dalam projek ini yang pada asalnya dilaporkan hanya berjumlah RM RM1.957 bilion tetapi akhirnya didakwa meningkat kepada RM4.947 bilion, lebih dari dua kali ganda.

PAS mengesa agar kes ini terus dibuka untuk siasatan dan kerajaan tidak perlu membuat apa-apa bayaran lagi kepada mana-mana pihak yang terlibat selagi kes ini tidak diselesaikan di Mahkamah.

Kes ini baru bermula dan Menteri Pengangkutan yang baru tidak berhak untuk menutup kes ini begitu sahaja melainkan jika beliau juga mempunyai kepentingan atau mahu menyelamatkan maruah BN.

PAS berharap rakyat membuka mata kerana pemimpin BN akan terus melakukan penipuan sebegini. Apa sahaja projek mega yang diumumkan mereka pasti ada ketirisan wang rakyat.

PAS juga berharap rakyat membuka mata kerana kes yang sama tidak mustahil akan berlaku termasuklah dalam kes pembangunan semula kampung Baru, Kuala Lumpur yang diwar-warkan kerajaan akhir-akhir ini.

Kerajaan sudah mengumumkan mahu membeli tanah-tanah penduduk dengan harga yang sangat murah sekitar RM250 - RM 300 sekaki persegi. Tetapi selepas itu mahu mengeluarkan bon projek bernilai tinggi yang kemudiannya projek itu akan dibangunkan oleh kroni mereka di dalam GABEM (Biro Ekonomi UMNO) dan seterusnya disewa gadaikan kepada pihak ketiga dengan harga lebih 3 kali ganda dari nilai yang dibayar kepada penduduk.

Sebelum satu lagi fail skandal dibuka, PAS mengingatkan rakyat supaya menukar Kerajaan dalam Pilihanraya akan datang demi kebaikan mereka dan menyelamatkan wang negara.

*Kenyataan media oleh Idris Ahmad selaku Ketua Penerangan PAS Pusat.

Kenyataan MCA selar PERKASA: Editor MerdekaReview dipanggil polis

Chan Kim Ming

Editor MerdekaReview (edisi bahasa Melayu) dipanggil polis untuk membantu dalam siasatan berhubung tuduhan PERKASA (Persatuan Pribumi Perkasa Malaysia) bahawa Setiausaha Agung Pemuda MCA, Chai Kim Sen telah mengeluarkan satu kenyataan yang berbaur hasutan pada 1 Julai 2010.

Editor MerdekaReview, Lim Hong Siang dihubungi oleh seorang pengawai penyiasat (IO) dari Balai Polis Dang Wangi pada tengah hari tadi, untuk diaturkan masa temujanji (2 Ogos, jam 11 pagi) agar Lim tampil memberi keterangan selaku saksi. Lim Hong Siang dimaklumkan bahawa siasatan dijalankan di bawah Akta Hasutan 1948.

Menurut laporan Utusan Malaysia pada 8 Julai, Timbalan Presiden PERKASA, Abdul Rahman Abu Bakar menuduh bahawa Chua Kim Sen telah mengeluarkan kenyataan berbaur hasutan, malah menimbulkan rasa tidak selamat di kalangan ahli PERKASA dan orang Melayu yang menyokong PERKASA.

Malah, Perkasa menyifatkan bahawa kenyataan Chua Kim Sen (gambar kiri) sebagai kenyataan paling biadap dan kurang ajar yang pernah dikeluarkan oleh ahli parti komponen Barisan Nasional kepada orang Melayu.

Kemudian, Ketua Pemuda MCA Wee Ka Siong dan Setiausaha Agungnya, Chua Kim Sen dipanggil polis untuk diambil keterangan, berikutan aduan yang dilaporkan oleh pemimpin PERKASA, menurut laporan Sin Chew Daily pada 9 Julai 2010.

Selar Suara PERKASA

Sebelum ini, Chua Kim Sen dan beberapa orang pemimpin Pemuda MCA telah mengeluarkan kenyataan media, menyelar terbitan Suara PERKASA yang menyiarkan artikel berjudul "Tahan Ka Siong bawah ISA" di muka depan akhbar tersebut. Bukan sahaja Chua, malah beberapa orang pemimpin Pemuda MCA yang lain juga mengeluarkan kenyataan pada 1 Julai untuk membela Ketuanya, iaitu Wee Ka Siong.

Selain menyiarkan kenyataan-kenyataan Pemuda MCA di laman edisi bahasa Cina, MerdekaReview juga menterjemahkannya ke dalam bahasa Melayu, untuk disiarkan dalam laman edisi bahasa Melayu. 【Pemuda MCA selar PERKASA: Ektremis celaka ini patut ditahan ISA!】

MerdekaReview memetik kenyataan Chua Kim Sen yang dilampirkan (attachment) pada email-nya (yang juga dihantar kepada media-media lain), dengan kritikannya berbunyi "PERKASA langsung tidak masuk akal. Pertubuhan yang dipimpin Ibrahim Ali ini bukan sahaja ekstrem, malah satu pertubuhan yang mengada-ada. Memang celaka betul!"

Bagaimanapun, setelah pemimpin PERKASA meluahkan ketidakpuasan terhadap istilah "celaka" yang digunakan, MerdekaReview mendapati bahawa kenyataan Chua Kim Sen berbeza antara versi yang terpapar pada email-nya dengan kenyataan yang dilampirkan dalam email yang sama itu sendiri.

Dalam kenyataan yang dipapar terus pada email tersebut, frasa "Memang celaka betul!" (yang terdapat dalam lampiran) telah digantikan dengan "ia berbahaya untuk keselamatan negara seandainya pertubuhan ini (PERKASA) tidak diambil tindakan." MerdekaReview tidak menyedari perbezaan antara dua versi tersebut semasa menyiarkan kenyataan Chua Kim Sen.

Ketika dihubungi MerdekaReview pada hari ini, Chua Kim Sen mendakwa dirinya sedang sibuk dan tidak lapang untuk ditemuramah. Bagaimanapun, Chua gagal dihubungi apabila MerdekaReview membuat cubaan kedua kemudiannya.

*Chan Kim Ming ialah Assistant Editor MerdekaReview, edisi bahasa Cina.

DULU PATI, KINI PADI; DULU LARI, KINI BERANI!

Oleh: MUTALIB M.D (sabahkini)



TINDAKAN nekad seorang pendatang asing tanpa izin (PATI) Lanca Kace, yang mencabar Pentadbir Mahkamah Tinggi Sandakan (Belip) memotong badannya sebelum menebang tiang rumah yang didirikan secara haram di atas tanah Anak Negeri Sabah, dipercayai dirasuk kepercayaan bahawa dirinya ‘Kebal’ oleh MyKad yang diperolehi secara haram; sekaligus menukar statusnya kepada Pendatang Asing Dengan Izin (PADI).

Jika sebelum ini, Lanca dan suku sakatnya bertempiaran lari apabila melihat anggota polis, namun setelah mendapat Mykad melalui ‘Projek X-Files’ dan menjadi ahli UMNO, Lanca merasakan polis hanya sebagai ‘kawang’ dan berani menentang polis kerana percaya Mykad yang diperolehi membuatkan beliau ada ‘imuniti’ dan memiliki hak ‘Customary Right’.

Sebagai manusia istimewa kerana lahir dua kali (Indonesia dan Malaysia), Lanca menganggap dirinya sama taraf dengan Anak Negeri Sabah setelah memiliki Mykad (sebelum ini kad pengenalan biru dan KPT) dan boleh menceroboh tanah sesuka hati dengan keyakinan boleh memiliki hak ‘Customary Right’ setelah tiga tahun mengusahakan tanah berkenaan.

Menurut siasatan Sabahkini.Net, tanah NT 093102900 dan NT 093103014 telah dibeli dua beradik, Jenny A Bungkak dan Agnes A Bungkak, kedua-duanya berketurunan Kadazan, masing-masing daripada pemilik asal Eyong Bin Bak dan Hamisah Oloth dan proses pindah milik disempurnakan pada 30 September 2008.

Namun mereka gagal memasuki tanah berkenaan yang dibeli dengan pinjaman bank setelah mencagarkan rumah mereka dan sehingga kini terpaksa membayar ansuran pinjaman bank; sedangkan hasil tanah berkenaan dinikmati oleh PADI yang menghuni tanah mereka selama ini.

Menurut Jenny, beliau dan keluarganya telah putus asa kerana semua proses telah dilalui namun masih gagal memasuki tanah yang mereka beli secara sah kerana penceroboh enggan mengosongkan tanah berkenaan.

“Mereka dakwa tanah ini milik mereka walaupun kami menunjukkan geran tanah asal,” ujar Jenny yang memberitahu pihaknya menawarkan pelbagai alternatif termasuk menyewa tanah tersebut sehingga tiba waktu tanaman semula; membeli balik tanah yang mereka duduki secara tidak sah atau mengembalikan tanah tersebut kepada pemilik berdaftar.

Bagaimanapun kata Jenny, para penceroboh tanahnya enggan mendengar atau menerima tawaran yang dibuatnya, sebaliknya berkeras menyatakan tanah tersebut diberikan kepada mereka oleh seorang Wakil Rakyat dan akan tetap menjadi milik mereka sampai bila-bila.

“Oleh kerana perundingan menemui jalan buntu, maka saya terpaksa mengambil tindakan pengusiran di Mahkamah Tinggi Sandakan, tetapi mereka seolah-olah tidak mempedulikan perintah mahkamah dan enggan berganjak,” ujar Jenny yang kesal dengan sikap PADI yang menurunkan taraf Mahkamah Tinggi Sandakan sebagai ‘Kandang Kuda’.

Kata Jenny, mereka bukan sahaja enggan berganjak, malah mengugut akan mencederakan dan membunuh sesiapa sahaja yang berani memasuki tanah yang telah mereka usahakan secara haram selama ini.

Akibatnya, kata Jenny, beliau sekeluarga telah membuat laporan polis di Balai Polis Kinabatangan pada 16 Januari 2010 memaklumkan bahawa Perintah Evakuasi Mahkamah telah diserahkan kepada para penceroboh, namun mereka enggan berganjak.

“Polis pun hanya berdiam diri dan tidak mengambil sebarang tindakan terhadap laporan yang saya buat,” ujar Jenny yang memberitahu pihaknya terpaksa mengambil tindakan mahkamah untuk menjalankan perintah pelaksanaan mendapatkan tanah yang telah diceroboh.

Kata Jenny, pihaknya terpaksa mematuhi segala peraturan mahkamah termasuk memberi notis selama dua minggu kepada penceroboh untuk mengosongkan tanah berkenaan dan mengemukakan pelbagai dokumen tuntutan.

Selama tempoh dua minggu berkenaan, kata Jenny pihaknya masih bertolak ansur dan melantik juruperunding bagi mengelakkan perkara yang tidak diingini terjadi, namun tidak ada sebarang keputusan dapat dicapai melalui wakil yang mereka hantar, Ibrahim Tiong.

“Setelah semua perundingan menemui jalan buntu, maka Mahkamah Tinggi Sandakan telah menjalankan Perintah Pelaksanaan pada 13 Julai 2010, namun Belif menghadapi masalah untuk melaksanakan perintah berkenaan sehingga memaksa campurtangan polis,” kata Jenny yang tidak dapat menyertai operasi berkenaan kerana bimbang dicederakan para penceroboh dan jiran mereka.

Dalam hal ini, kata Jenny, beliau amat kesal kerana mereka sekeluarga terpaksa menggadai nyawa untuk mendapatkan tanah mereka. Walaupun perintah mahkamah telah dilaksanakan, namun para penceroboh kembali ke tanah berkenaan dan membaiki rumah yang telah diroboh.

Dalam pada itu, siasatan Sabahkini.net, ketika menjalankan Perintah Pelaksanaan terhadap dua lot tanah tersebut, Pembantu Tadbir Undang-Undang (Belip) Mahkamah Tinggi Sandakan, Mohamad Ismalie Yusop dalam affidavitnya mengakui telah menyempurnakan perintah berkenaan.

Kata Mohammad Ismalie, pada 13 Julai 2010, lebih kurang jam 11.30 pagi, beliau dan seorang lagi rakan sekerjanya, Rahayu Harun bersama-sama Wakil peguam Plaintif, Chong Ming Teck dan 6 orang pekerja dengan ditemani 7 orang polis dari Balai Polis Kinabatangan telah pergi ke rumah yang menduduk tanah NT 093102900 dan NT 093103014 di Sungai Koyah, Kinatabangan, Sandakan untuk menjalankan perintah mendapatkan pemilikan tanah ke atas orang yang telah menduduk tanah tersebut tanpa kebenaran atau lesen daripada pemilik asal.

Kata Mohammad lagi, ketika tiba di rumah pertama yang dihuni oleh Lanca Kace, beliau menerangkan bahawa kedatangan mereka untuk mengambil alih tanah berkenaan setelah tempoh secukupnya telah diberikan tamat dan meminta Lanca sekeluarga mengeluarkan barang-barang di dalam rumah sebelum diroboh.

Bagaimanapun kata Mohammad, Lanca menegaskan beliau enggan mengeluarkan barang-barang daripada rumahnya dan terjadi pertengkaran kerana Lanca telah menghalang tugas Belif.

Kata Mohammad Ismalie lagi, apabila kerja pemotongan tiang rumah hendak dimulakan, Lanca berdiri di tiang rumahnya dengan tujuan untuk menghalang perintah berkenaan dengan mengeluarkan kata-kata ugutan; "Kalau mahu potong tiang, biarlah potong badan saya sekali."

Anggota polis yang bertugas terpaksa bertindak menggari tangannya semasa kerja meroboh dijalankan dan gari hanya dibuka pada jam 5.30 petang setelah Lanca tidak lagi menunjukkan tanda melawan.

Memandangkan rumah tersebut masih ada talian elektrik, kata Mohammad Ismalie, pihak plaintif bercadang memotong dinding rumah tersebut supaya tidak berlaku litar pintas.

Setelah rumah pertama selesai dirobohkan, petugas bergegas untuk merobohkan rumah kedua yang didiami keluarga Alimuddin Lakkata, namun tiada penghuni dan setelah menunggu selama 15 minit, pemilik rumah tersebut memberitahu tidak sanggup melihat rumahnya diroboh dan membenarkan kerja perobohan rumahnya dilakukan tanpa sebarang tentangan.

Dalam pada itu, Agnes A Bungkak ketika dihubungi berkata, pihaknya terpaksa kembali lagi ke Mahkamah Tinggi Sandakan untuk memfailkan Perintah Menghina Mahkamah terhadap sesiapa sahaja yang masih berada di tanah berkenaan atau membantu para penceroboh.

“Kita tidak lagi dapat bertolak ansur tetapi kita masih percaya kepada undang-undang. Kita yakin hanya ‘Contemp Of Court’ sahaja yang dapat mengajar mereka memahami dan mematuhi undang-undang negara kita,” kata Agnes yang merayu agar penderitaan mereka disiarkan di Sabahkini.net untuk pengetahuan Kerajaan Malaysia dan rakyat Sabah amnya.


UMS CETUS PERKAUMAN DI SABAH?


SABAH DAILY

TIADA seorangpun rakyat Sabah menyangka bahawa Universiti Malaysia Sabah yang diperjuangkan oleh Bapa Kemerdekaan Sabah, Tun Mustapha dan pemimpin selepasnya, rupa-rupanya bukan untuk rakyat Sabah; sebaliknya untuk melatih ‘kader’ politik UMNO daripada Semenanjung Malaysia.

Sebagai bapa kepada seorang pelajar yang diterima masuk ke UMS, pada mulanya saya berbangga kerana akhirnya, generasi kedua saya dapat memasuki Universiti yang dibina di atas tanah tumpah darah saya sendiri.

Namun setelah permohonan memasuki asrama UMS anak saya dan rakannya ditolak pihak pengurusan Universiti Malaysia Sabah dengan alasan ianya hanya dikhususkan untuk pelajar daripada Semenanjung Malaysia sahaja, maka barulah saya sedar bahawa UMNO bukan sahaja menjajah Sabah, malah mengimport kader politiknya untuk menanamkan kebencian rakyat Sabah terhadap Kerajaan Persekutuan dengan mengamalkan sikap perkauman dan double standard di kampus.

Oleh itu tidak hairanlah jika Kampus UMS di Labuan tidak mempunyai bekalan air yang mencukupi sehingga para pelajar Sabah seperti ‘kambing’ yang berbau hamis dan mengganggu pelajaran mereka kerana ketiadaan bekalan air bersih dan terpaksa dicatu sehingga ke hari ini.

Begitu juga dengan nasib penduduk miskin seperti anak saya yang terpaksa menumpang di rumah saudara atau terpaksa tidur di madrasah kerana belum mendapat asrama kerana pihak penginapan UMS tetap dengan keputusan mereka untuk memperuntukan asrama hanya untuk pelajar Semenanjung Malaysia dan enggan mempertimbangkan rayuan rakyat Sabah sejak hampir sebulan lalu.

Apalah ertinya dapat belajar di UMS jika terpaksa tinggal di Madrasah atau menumpang rumah saudara seperti musafir sedangkan asrama berkenaan didirikan dengan wang dan cukai yang dibayar rakyat Sabah sendiri seperti menyusukan kera di rimba.

Sebagai ibu bapa, kami kesal kerana walaupun Naib Chancellor UMS adalah rakyat Sabah namun gagal menjaga kepentingan rakyat Sabah sendiri.

Nasib kami seperti Pak Kadok, menang sorak, kampung tergadai. Sampai bilakah isu asrama ini akan berakhir?

BAPA YANG KECEWA

Lubuk Pelacuran Diserbu, Beberapa Pelacur Lolos


TV SELANGOR

Lima wanita warga China dan dua lelaki tempatan yang menjadikan sebuah kelab karaoke mewah sebagai lubuk pelacuran ditahan dalam satu serbuan polis di Petaling Jaya lewat malam tadi.

Seorang anggota daripada Bahagian Siasatan Jenayah Maksiat, Perjudian dan Kongsi Gelap (D7) Petaling Jaya yang dihubungi hari ini berkata wanita warga China berumur 22 hingga 26 tahun dan dua lelaki tempatan berumur 30 dan 37 tahun yang bertindak sebagai bapa ayam itu ditahan dalam serbuan pukul 11 malam.

"Dalam operasi kira-kira dua jam itu, tindakan menyerbu kelab di tingkat lima dan enam bersebelahan hotel empat bintang itu dipercayai dapat dihidu lebih awal, ekoran beberapa pelacur dapat meloloskan diri melalui lorong tikus menghubungkan tangga kecemasan yang disembunyikan berhampiran tandas kelab terbabit," katanya.

Katanya, ketika serbuan pihak pengurusan kelab bagaimanapun menafikan wujudnya kegiatan pelacuran terbabit memandangkan kelab itu mempunyai pengaruh orang kenamaan serta dikujungi oleh ramai VVIP dan mendakwa kegiatan pelacuran dilakukan oleh pekerja-pekerjanya yang ingin mengambil
kesempatan.

Difahamkan, pelacur kelas atasan itu menerima bayaran sekitar RM400 hingga RM500 untuk layanan di bilik karaoke bagi ‘sesi perkenalan’ sebelum dibawa ke hotel bersebelahan dengan bayaran lebih mahal bagi perkhidmatan seks yang mengikut jam, katanya.

"Kesemua wanita itu ditahan mengikut Seksyen 39 (b), peraturan Imigresen 1963 kerana melanggar syarat pas lawatan sosial manakala dua lelaki tempatan itu ditahan mengikut Seksyen 55B, Akta Imigresen 1959 dan di bawa ke IPD Petaling Jaya untuk siasatan lanjut," katanya.

Zambri Didesak Jelas Rekod Defisit Perak


TV SELANGOR

Pakatan Rakyat negeri Perak mempersoalkan jumlah bajet tambahan sebanyak RM80 juta yang akan dibentangkan oleh Menteri Besar Perak pada 3 Ogos ini di Sidang Dewan Undangan Negeri Perak ekoran negeri itu mengalami defisit belanjawan yang tinggi sejak ia ditadbir oleh Umno Bn semula.

Timbalan Pengerusi DAP Perak, Nga Kor Meng berkata jumlah bajet tambahan RM80 juta itu menggusarkan rakyat Perak memandangkan ia adalah peruntukan wang rakyat yang besar jumlahnya digunakan oleh kerajaan Umno Bn Perak sekiranya ia diluluskan.

“Minggu depan, 3 Ogos, Zambri hendak buat Sidang Dewan Undangan Negeri dengan satu tujuan lagi untuk mengemukakan satu lagi enakmen bekalan tambahan.

“Buat apa bekalan tambahan? Buat apa minta duit daripada rakyat? Buat apa sampai RM80 juta ringgit? Buat apa sampai banyak begitu sekali? Untuk bekalan tambahan,” katanya.

Beliau berkata tindakan Menteri Besar Perak yang menggunakan wang rakyat sesuka hati adalah diselar ekoran sepanjang pemerintahan Umno BN mengambil alih kuasa di Perak secara rampasan kuasa menyebabkan negeri itu tidak diurus tadbir dengan baik.

“Dia tida boleh jawap. Sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri, kita tidak tahu RM80 juta, selepas Perak dimusnahkan oleh Najib Mongolia, Perak Darul Ridzuan mengalami defisit belanjawan paling teruk sejak kemerdekaan.

“Jadi sebelum Perak Darul Ridzuan menjadi Perak Darul Bankrap, kita akan selamatkan negeri ini bersama pimpinan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim, kita bersama dengan semangat berat sama dipikul, ringan sama dijinjing, kita mara ke Putrajaya,” katanya.

Beliau berkata demikian di hadapan lebih kurang 1000 orang yang hadir ke ceramah perdana yang dianjurkan oleh Pas Bukit Chandan, Kuala Kangsar di Markaz Pas di sini malam tadi.

Dalam pada itu beliau berkata pada 3 Ogos ini, pimpinan Pakatan Rakyat akan meminta Zambri Kadir yang merupakan Menteri Besar Perak sekarang memperincikan setiap jumlah sen yang sudah digunakan sepanjang pemerintahannya sejak rampasan kuasa pada 4 Februari 2008.

“Kita akan meminta beliau senaraikan jumlah perbelanjaan tersebut termasuk enakmen tambahan, banyak sudah dia belanjakan dan rakyat alami kerugian yang teruk. Dia mahu tambah 80 juta pula lagi untuk apa sebenarnya?

“Jadi kita akan pastikan dia bentangkan dengan telus setiap apa yang sudah dibelanjakannya. Kita juga akan buat persiapan rapi supaya kerajaan maklumkan kepada rakyat mengapa perlukan jumlah wang yang begitu besar,” katanya.

Nga Kor Meng yang merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri Pantai Remis juga berkata jika RM80 juta diluluskan bermakna BN telah mencatat sejarah tersediri apabila membawa negeri itu ke defisit paling tinggi dengan nilai RM104 juta.

Isu PKFZ, Anwar Mahu Jemaah Menteri Disiasat


TV SELANGOR

Ketua Pembangkang Dato Seri Anwar Ibrahim menggesa Kerajaan Pusat untuk tidak melindungi mana-mana Dato, Dato Seri atau Tun yang terbabit dan bersubahat dengan skandal Zon Bebas Pelabuhan Klang.

Anwar berkata pendakwaan terhadap bekas Menteri Pengangkutan Tun Dr Ling Liong Sik bagaimanapun mengundang syak adanya usaha terancang untuk memperdaya dan menyelinap berbilion ringgit wang pembayar cukai.

Hujan lebat di kubu kuat bekas Menteri Datuk Seri Rafidah Aziz malam tadi tidak sedikit pun menghalang penduduk untuk bersama mendengar ceramah pemimpin reformasi ini. Kira-kira 1000 warga Kuala Kangsar membanjiri Markas Pas Bukit Chandan untuk mendengar perkembangan skandal PKFZ.

Tun Dr Ling mengaku tidak bersalah diatas dua pendakwaan dibawah Seksyen 418 dan 417 Kanun Keseksaan atas tuduhan memperdayakan Jemaah Menteri berhubung projek bernilai RM12.7 bilion itu.

Bekas Presiden MCA ini dituduh memperdayakan Jemaah Menteri untuk bersetuju meluluskan pembelian 999.5 ekar tanah milik koperasi nelayan Melayu di Pulau Indah pada harga RM25 satu kaki persegi dengan kadar faedah 7.5 peratus, iaitu nilai yang jauh lebih tinggi dari nilai sebenar di pasaran.

Bekas Presiden MCA ini juga mengeluarkan surat sokongan mengarahkan projek PKFZ ini diserahkan kepada syarikat Kuala Dimensi Sdn Bhd, milik Pengerusi Kelab Penyokong BN, Dato Seri Tiong King Sing.

Anwar menjelaskan bagaimana mungkin jemaah menteri mengizinkan Tun Dr Ling Liong Sik mengeluarkan surat jaminan untuk projek PKFZ, walhal undang-undang menetapkan bahawa hanya menteri kewangan yang boleh berbuat demikian.

Menteri Kewangan pada masa itu, adalah bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

“Berapa lama kita bangkitkan PKFZ ini? Tiga tahun setengah, kita ada bukti mantan Menteri Kewangan pada waktu itu. Saya keluarkan bukti pada waktu itu mustahil dia tidak tahu menteri tidak boleh jadi penjamin ketika itu bagi pihak kerajaan yang boleh hanya menteri kewangan sahaja tetapi Ling Liong Sik tandatangan.

“Umno menafikan selama ini, dia kata Anwar bohong! Anwar tidak betul kerana dia sengaja mahu timbulkan keraguan rakyat, sekarang kita lihat siapa yang bohong? Siapa yang rasuah? Ini apa yang kita sebutkan ini adalah semuanya berdasarkan fakta dan tidak boleh lari,” katanya.

Anwar menekan Kerajaan untuk tidak melindungi mana-mana pihak yang terbabit atau bersubahat dengan skandal ini.

Jika benar jemaah menteri menyedari adanya usaha untuk menipu berbilion ringgit wang pembayar cukai, maka kerajaan perlu menjustifikasikan penganugerahan gelaran Tun kepada Ling Liong Sik.

“Kita tengok apa yang berlaku di bawah pimpinan Tun Dr. Ling Liong Sik, daripada Datuk Seri kini jadi Tun sebab apa? Sebab hendak rompak tanah PKFZ. Pada masa itu semua orang sudah tahu tetapi masih mahu memberi gelaran Tun kepada beliau.”

Anwar meminta rakyat Malaysia supaya memperhebatkan tekanan kepada kerajaan supaya tidak melindungi mana-mana pihak yang terbabit dalam skandal ini.

“Semoga Allah S.W.T memberikan kekuatan kepada kita semua. Kita mesti istiqamah dalam perjuangan, insyaallah kita akan dapat hasilnya.

“Saya malam ini hedak masuk ke Johor malam ini tidak dapat mungkin, mereka bila sahaja nampak Anwar, semuanya tidak boleh, mereka menggeletar tetapi dalam Utusan Malaysia tiap-tiap hari kutuk Anwar,” katanya.

Ketua Cawangan MCA Changkat Keruing Dibunuh


TV SELANGOR

Ketua Cawangan MCA Changkat Keruing ditemui mati, dipercayai dibunuh dalam perigi di sebuah ladang ternakan ayam di Changkat Keruing, Ayer Tawar hari ini.

Mayat Lim Ping Peng, 49, ditemui pada kira-kira pukul 6 pagi ini oleh anggota keluarga dan pasukan Rela yang mencarinya selepas dia tidak pulang ke rumah sejak semalam.

Ketua Polis Daerah Manjung ACP Mohd Jamil Osman berkata Lim sebelum itu keluar dari rumah untuk ke ladang ternakan ayam miliknya di Changkat Keruing yang terletak tidak jauh dari rumahnya pada pukul 8 pagi semalam.

"Mangsa yang baru lima hari dilantik sebagai anggota Majlis Perbandaran Manjung (MPM) bagaimanapun tidak pulang ke rumah seperti biasa sebelum ahli keluarga bertindak membuat laporan polis semalam.

"Selain melaporkan kejadian itu kepada polis, mereka (anggota keluarga mangsa) turut berusaha mengesan mangsa di ladang ternakan ayam itu," katanya kepada Bernama.

Mohd Jamil berkata mayat Lim ditemui dalam keadaan kepala di bawah dan kaki ke atas dalam perigi yang mempunyai kedalaman lima meter itu, dan polis percaya lelaki itu dibunuh di tempat lain sebelum mayatnya dicampak ke dalam perigi itu.

Beliau berkata dua pekerja ladang ternakan ayam itu yang merupakan rakyat Myanmar tidak dapat dikesan dan siasatan awal polis juga mendapati kereta pacuan empat roda milik Lim juga hilang.

Polis masih menyiasat motif kejadian dan sedang mengesan kedua-dua pekerja ladang ayam yang disyaki terlibat dalam kejadian itu, katanya.

Mayat Lim dihantar ke Hospital Raja Permaisuri Bainun Ipoh untuk bedah siasat.

Isteri mangsa Ling Mooi Kooi, 47, berkata kira-kira seminggu lepas, dua rakyat Myanmar datang berjumpa suaminya untuk meminjam wang sebanyak RM2,000 tetapi suaminya hanya bersetuju memberikan RM500 dan beliau tidak tahu sama ada wang itu telah diberikan atau tidak.

Beliau berkata apabila suaminya tidak pulang selepas pukul 6 petang semalam dan cubaan untuk menghubunginya melalui telefon bimbit juga gagal, beliau meminta bantuan anggota keluarga dan pasukan Rela untuk mencari Lim.

"Mayat suami saya ditemui apabila seorang daripada kumpulan mencari ternampak kaki suami saya terkeluar sedikit daripada perigi itu," katanya ketika ditemui di tempat kejadian.

SELANGOR KEKAL KEPUTUSAN TIDAK BENARKAN SYABAS NAIKKAN TARIF AIR

SELANGOR KINI

SHAH ALAM: Kerajaan Negeri Selangor tidak menghalang mana-mana pihak termasuk Syarikat bekalan Air Selangor Sdn Bhd (Syabas) untuk mendapat pengadilan dan pembelaan di mahkamah.

Bagaimanapun, Kerajaan Negeri hairan apabila tiba-tiba isu membawa kes ke mahkamah ditimbulkan oleh Syabas. Ia seolah-olah mahu memberi tekanan kepada pihak Kerajaan
Selangor agar menerima skim penyelesaian yang dicadangkan Kerajaan Persekutuan.

Kerajaan Negeri menegaskan di sini bahawa dalam isu air, dalam apa jua keadaan tidak akan bersetuju dengan kenaikan tarif air yang dikenakan kepada pelanggan dan bersedia mempertahankan pendirian ini.

Malah, Kerajaan Negeri juga yakin mempunyai asas yang kukuh untuk membawa Syabas ke mahkamah kerana melanggar syarat perjanjian konsesi termasuk cuba menaikkan tarif air tanpa mendapat kelulusan Kerajaan Negeri terlebih dahulu.

Kerajaan Selangor telah lama bersedia tetapi menangguhkan tindakan ini kerana tidak mahu memberi sebarang prasangka terhadap perbincangan yang sedang dijalankan antara Kerajaan Selangor, Kerajaan Persekutuan dan agensi-agensi terlibat serta syarikat konsesi termasuk Syabas.

Kerajaan Selangor menegaskan sekali lagi bahawa dasar kita jelas, keprihatinan dan kepedulian terhadap kepentingan rakyat Selangor adalah asas utama dalam setiap keputusan dan isu air tidak terkecuali.

FAEKAH HUSIN
SETIAUSAHA POLITIK KEPADA MENTERI BESAR SELANGOR

Pasir: DAP mahu Khir dedah identiti ’samseng’

SELANGOR KINI

SHAH ALAM – Exco Selangor Ronnie Liu Thian Kiew meminta bekas Menteri Besar Selangor menunjukkan bukti yang menyokong dakwaan bahawa DAP Selangor dilindungi kumpulan samseng.

DAP juga menuntut Dr Mohamad Khir Toyo mendedahkan identiti samseng terbabit. Sekiranya gagal, maka pemimpin

UMNO itu digesa bertaubat dan meminta maaf secara terbuka.

Ketua Pembangkang Selangor mendakwa pelombong-pelombong pasir haram dilindungi samseng dan samseng berkenaan rapat kepada DAP Selangor. Beliau turut mendakwa samseng-samseng terbabit membiayai jentera pilihan raya DAP

DAP meminta Dr Khir Toyo mengemukakan bukti dalam tempoh 24 jam atau hadapi tindakan undang-undang.
“Saya minta Dr Khir Toyo untuk tidak membuat tuduhan bukan-bukan, tanpa bukti. Tunjukkan bukti dan jangan jadi pengecut. Saya mempertimbangkan untuk menyaman beliau,” tegas Ronnie.

“Keuntungan dari Kumpulan Semesta digunakan untuk rakyat. Saya minta Khir Toyo untuk ambil teladan dari urustadbir Menteri Besar sekarang. Jadi saya cabar kamu berikan bukti menunjukkan kaitan DAP kepada samseng-samseng pasir,” kata Ronnie.

Sementara itu juga, DAP menggesa Khir menamakan kumpulan samseng yang dimaksudkannya itu jika benar beliau mempunyai bukti menyokong dakwaannya.

“Berikan kami nama-nama samseng tersebut dalam masa 24 jam. Sekiranya tidak, tindakan undang-undang akan diambil terhadap kamu,” kata ADUN Kampung Tunku, Lau Weng San.- TVSELANGOR

PKFZ: Empat laporan rasuah difailkan sejak 2004

SELANGOR KINI


SHAH ALAM – Sejak Disember 2004, sekurang-kurangnya empat laporan pernah dibuat Pakatan Rakyat berhubung skandal Zon Bebas Pelabuhan Klang.

Exco Kerajaan tempatan, Kajian dan Penyelidikan, Ronnie Liu Thian Kiew berkata pihak berkuasa bagaimanapun seolah bersikap acuh-tidak-acuh mengendalikan empat laporan itu, sehinggalah bekas Menteri Pengangkutan Tun Dr Ling Liong Sik didakwa, lima tahun kemudian.

Tun Dr Ling didakwa dengan tuduhan memperdayakan Kabinet antara September 25 dan Oktober 6 2002 meluluskan pembelian tanah di Pulau Indah untuk projek PKFZ.

Pemimpin MCA ini didakwa dibawah Seskyen 418 yang membawa hukuman penjara tidak lebih dari 7 tahun, dan Seksyen 417 yang membawa hukuman penjara 5 tahun, jika disabitkan kesalahan.

“DAP pernah memfailkan laporan polis berhubung skandal PKFZ sejak tahun 2004. Saya sendiri pernah membuat laporan terhadap Tun Dr Ling Liong Sik berkenaan urusan pembelian tanah itu,” kata Ronnie.

Penahanan dan pendakwaan terhadap Tun Dr Ling disusuli dengan gesaan supaya semua suspek dan saksi yang mempunyai kaitan dengan skandal berbilion ringgit itu dibawa ke mahkamah.

Pemerhati bependapat perbicaraan Tun Dr Ling Liong Sik akan menjelaskan lagi peranan Pengerusi Kelab Penyokong BN, Datuk Seri Tiong King Sing, yang memiliki syarikat pemaju PKFZ, Kuala Dimensi Sdn Bhd dalam skandal ini.

Kerajaan juga mungkin terpaksa menjelaskan apakah mantan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad yang memimpin Kabinet pada masa itu tidak diberi fakta secukupnya semasa meluluskan pembelian tanah untuk projek PKFZ.

“Kami mempunyai bukti, bahkan saya bersedia menjadi saksi,” tegas Ronnie.

Jawatankuasa Kira-Kira Awam melaporkan Kerajaan Malaysia boleh menjimatkan RM645.87 juta ringgit jika tanah berkenaan dibeli mengikut Akta Pengambilan Tanah 1960. PAC juga melaporkan kos membeli tanah itu adalah RM47.76 satu kaki persegi, atau 67 peratus lebih tinggi dari harga yang ditetapkan Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta, iaitu RM25 satu kaki persegi.

Bekas Ketua Setiausaha di Kementerian Pengangkutan Datuk Zaharah Shaari mendedahkan Kabinet menyedari sepenuhnya hal-ehwal projek PKFZ dan pihak Kementerian terpaksa akur dengan keputusan Kabinet Tun Dr Mahathir Mohamad.

“Urusan ini nampak mencurigakan, jadi saya buat laporan polis, dan saya juga pernah ke Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia di Putrajaya untuk mengadu hal ini,” ujar Ronnie Liu.- TVSELANGOR

735 Pelajar Anak Asnaf Catat Keputusan Cemerlang


MOHD SAHRULNIZAM MOHD ZAIN

SHAH ALAM – Seramai 735 pelajar terdiri daripada anak-anak asnaf fakir dan miskin berjaya memperoleh keputusan cemerlang dalam pelbagai peperiksaan sepanjang tahun lepas. Mereka merupakan penerima bantuan zakat di bawah Program Pembangunan Pendidikan Lembaga Zakat Selangor (LZS).

Meraka adalah 151 pelajar menduduki peperiksaan Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR); 241-Penilaian Sekolah Rendah Agama (PSRA); 191-Penilaian Menengah Rendah (PMR); 141-Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), 6-Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) dan 4-Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM).

Menurut Ketua Eksekutif LZS, Mohamed Izam Mohamed Yusof berkata setiap tahun badan ini memperuntukkan RM27 juta untuk program pembangunan pendidikan ini bagi membiayai kos peralatan belajar anak-anak asnaf terbabit merangkumi peringkat sekolah rendah, menengah dan institusi pengajian tinggi.

Antara bantuan yang disalurkan LZS merangkumi pembiayaan yuran, peralatan belajar, pakaian sekolah, wang saku serta kursus-kursus kecemerlangan.

“Setiap tahun LZS sentiasa memantau perkembangan anak-anak asnaf. Alhamdulillah mereka semakin semerlang sama ada dalam akademik mahupun pembangunan sosial diri.

“Menjadi matlamat LZS untuk sentiasa berusaha mengeluarkan asnaf daripada kemiskinan. Salah satunya menerusi pendidikan yang boleh menjamin masa depan mereka”, katanya pada Majlis Anugerah Anak Asnaf Cemerlang 2009 LZS di Dewan Auditorium SIRIM, Shah Alam siang tadi.

Katanya menerusi motto ‘Meneraju Perubahan’ LZS beriltizam mahu menjadikan anak-anak asnaf terbabit sebagai ejen perubahan diri dan keluarga. Bagi tujuan itu LZS melaksanakan kursus motivati pelajar sepajang tahun, program bantuan pendidikan dan kelas tambahan.

Dalam majlis itu, Nur Amalina Zainal Afandi dari Gombak dianugerahkan sebagai pelajar bestari setelah berjaya memperoleh 12 A dalam peperiksaan SPM tahun lalu. Beliau menerima hadiah berupa wang tunai RM740, komputer riba dan sijil penghargaan.

Kini beliau sedang melanjutkan pengajian di Universiti Malaya dalam bidang Asasi Sains.
Hadir sama Exco Pendidikan, Pendididikan Tinggi dan Pembangunan Modal Insan, Dr Halimah Ali serta Timbalan Pengurus Besar LZS, Sahadan Ishak.

RM100 ribu untuk Pusat Pengajian Hayatul Uloom

SELANGOR KINI

Hulu Langat: Kerajaan Selangor meluluskan peruntukan 100 ribu ringgit kepada pusat Pengajian Hayatul Uloom, Batu 14 Hulu Langat bagi membina semula asrama pusat pengajian yang musnah dalam kebakaran 25 Julai lalu.

Dr Halimah Ali, Exco Pendidikan,Pendidikan Tinggi Dan Pembangunan Modal Insan bersama-sama Pejabat Daerah /Tanah Hulu Langat berkunjung ke tapak pengajian itu untuk menyerahkan sumbangan berkenaan.

Dr Halimah yang juga Adun Selat Klang bersimpati atas tragedi berkenaan dan pihaknya sudah memastikan kerja pembinaan semula dilakukan segera dengan memaklumkan masalah itu kepada pimpinan kerajaan negeri.

Pakatan Rakyat selama ini sentiasa menitik berat soal pendidikan dan modal insan, malah menyediakan peruntukan RM6 juta untuk Sekolah Agama manakala RM4 juta untuk Sekolah Kebangsaan Jenis India dan Cina.

Dr Halimah turut bersimpati kerana kebakaran berkenaan meragut nyawa seorang penuntut iaitu Abdul Rahman Rosmani dalam kejadian kira-kira jam 1.30 pagi itu.

“Kita kesal kerana ada kehilangan jiwa pelajar sekolah ini,kita mengharapkan dengan ada bantuan secara teknikal daripada JKR dengan spek-speknya kita mengharapkan kemudahan lebih baik untuk kegunaan semua pelajar”

Pengetua Pusat Pengajian Hayatol Uloom, Dr Shahril Hussin pula berharap kejadian itu tidak mematahkan semangat penuntut lain dan berterima kasih kepada kerajaan negeri atas segala sumbangan yang diterima mereka.

Beliau juga menganggap keprihatiann kerajaan Pakatan Rakyat Selangor dan kunjungan Dr Halimah memberi semangat kepada beliau dan pelajar untuk terus berhadapan dengan segala bentuk cabaran dalam memartabat ilmu agama.

Nik Aziz saran Bazar Ramadan dikenali Bazar Iftar

BERNAMA


Nik Aziz bertanya apa salahnya jika nama dan konsep bazaar Ramadan diubah. — gambar fail

KOTA BARU — Menteri Besar Kelantan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat hari ini menyarankan nama dan konsep bazar Ramadan ditukar kepada Bazar Iftar (berbuka puasa) bagi mencerminkan penghayatan terhadap ibadah berpuasa itu.

Beliau berkata Pihak Berkuasa Tempatan dan media boleh memainkan peranan untuk menukar nama dan konsep bazar Ramadan itu yang sentiasa mendapat sambutan ramai setiap kali bulan puasa.

“Saya baca dalam akhbar, rasa kagum betapa ramai peniaga terdiri daripada umat Islam sampai berebut-rebut untuk mendapat borang berniaga di bazar Ramadan.

“Apa salahnya kalau nama dan konsep bazar Ramadan itu ditukar kepada bazar Iftar bagi memberi penghayatan kepada umat Islam bahawa ada dua ketika nikmat bagi orang berpuasa iaitu ketika berbuka dan menyambut Idilfitri,” katanya ketika menyampaikan kuliah mingguan di Dataran Ilmu di sini, hari ini.

Ketika ditemui pemberita selepas itu, Nik Aziz berkata beliau telah melawat Anggota Dewan Undangan Negeri Galas Che Hashim Sulaima, yang kini dirawat di Unit rawatan Rapi (ICU) Hospital Pakar Perdana di sini kerana kanser usus.

Beliau meminta semua pihak mendoakan agar kesihatan wakil rakyat itu kembali pulih.

Che Hashim, yang disahkan menghidap barah usus kira-kira setahun lepas, pernah menjalani rawatan susulan di sebuah Hospital di Guangzhou, China pada 2009.

Janji kahwin: Saman pengacara ‘Jalan-Jalan Cari Makan’ ditolak

BERNAMA

KUALA LUMPUR— Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini menolak saman sivil personalti TV3, Maria Tunku Sabri terhadap seorang ahli perniagaan yang didakwa mengingkari penyelesaian pembayaran pampasan RM5.5 juta kerana memungkiri janji untuk berkawin.

Pesuruhjaya Kehakiman Datin Zabariah Mohd Yusof menolak saman tersebut dan memeintahkan bekas pengacara rancangan “Jalan-Jalan Cari Makan” itu membayar kos RM10,000 kepada mahkamah.

Zabariah memuat keputusan itu dibuat dalam kamar selepas pertemuan kira-kira 15 minit dengan peguam Sangeet Kaur Deo yang mewakili Maria, 40, serta peguam Jagjit Singh dan Akhbardin Abdul Kader, yang mewakili ahli perniagaan Datuk Wan Johani Wan Hussin,57.

Bagaimanapun personaliti dan ahli perniagaan itu tidak hadir di mahkamah hari ini.

Akhbardin memberitahu pemberita bahawa permohonan personaliti itu ditolak atas alasan Wan Johani tidak melanggar perjanjian tersebut memandang ketika perjanjian itu dibuat, Maria merupakan isteri orang dan seorang wanita yang sudah berkahwin.

“Justeru anak guam saya tidak melanggar perjanjian itu disebabkan Maria tidak berpisah dengan suaminya sewaktu perjanjian itu dibuat dan ini bermakna defendan tidak melanggar perjanjian tersebut disebabkan Maria masih isteri orang,” katanya.

Akhbardin berkata, mahkamah menolak permohonan itu berikutan personaliti itu bukan berada dalam kapasiti yang membolehkannya untuk berkahwin memandangkan pada masa itu Maria masih bergelar isteri orang.

“Jadi kontrak tersebut tidak sah di sisi undang-undang dan mengikut Seksyen 14(1) Akta Undang-undang Keluarga Islam Wilayah Persekutuan 1984 jelas menyatakan bahawa seorang perempuan Islam tidak boleh berkahwin lagi selagi perkahwinan itu wujud,” katanya.

Beliau memaklumkan perjanjian itu secara moralnya bertentangan dengan polisi masyarakat dan ia dilarang oleh undang-undang.

“Dalam pembelaan Maria yang menyatakan dia akan berpisah dengan suaminya juga adalah bersifat pramatang, ini disebabkan dia (Maria) masih bergelar isteri dan hak perceraian adalah terletak di tangan suaminya Ahmad Nazri Abd Malek,” katanya.

Sementara itu, Sangeet ketika ditanya adakah pihaknya akan membuat rayuan ke Mahkamah Rayuan selepas ini, beliau berkata dia akan berjumpa dengan anak guamnya terlebih dahulu untuk mendapatkan arahan lanjut.

Pada 24 Jun lepas, Mahkamah Persekutuan membenarkan rayuan Maria untuk mengemukakan semula saman terhadap Wan Johani kerana didakwa melanggar perjanjian.

Pada 2004, Maria memohon agar dikuatkuasakan perjanjian melibatkan janji oleh Wan Johani untuk membayarnya RM5.5 juta kerana beliau (Maria) tidak mengambil sebarang tindakan undang-undang terhadap ahli perniagaan itu kerana enggan mengahwininya seperti yang dijanjikan.

Dalam pembelaannya, Wan Johani, menafikan wujud sebarang kontrak, dan sebagai alternatifnya, berkata perjanjian itu tidak sah dan mempunyai unsur ugutan dan pujukan. —

MB Selangor: Pakatan tidak akan ikut BN panggil PRU


KUALA LUMPUR — Menteri Besar Selangor Tan Sri Khalid Ibrahim mengesahkan kerajaan negeri Pakatan Rakyat (PR) tidak akan mengadakan pilihan raya negeri lebih awal jikapun Barisan Nasional (BN) mahu membubarkan Parlimen untuk pilihan raya umum tergempar.

“Sikap kami adalah jika ia sesuai dengan kami, kami akan lakukan. Jika tidak, kami tidak akan berbuat demikian,” kata beliau kepada pemberita selepas di sini petang ini.

Khalid (gambar) menjelaskan, pentadbirannya berminat untuk memutuskan soal tarikh pilihan raya umum negeri apabila melangkah ke tahun kelima mandat.

“Setiap orang dalam Pakatan lebih memihak untuk menghabiskan tempoh mandat empat tahun sebelum memutuskan (tarikh memanggil pilihan raya),” kata beliau sambil menekankan, ia tempoh empat tahun adalah masa yang cukup untuk membuktikan kepada rakyat apa yang boleh dilakukan oleh PR Selangor.

Mandat semasa kerajaan negeri akan berakhir Mei 2013.

Bagaimanapun Khalid yang juga Ahli Parlimen Bandar Tun Razak berkata PR Selangor belum memutuskan sama ada mahu memberikan notis awal jika mahu memanggil pilihan raya umum negeri.

“Kami belum membincangkan perkara itu lagi,” kata beliau mengulas laporan awal The Malaysian Insider bahawa PR Selangor bercadang untuk memberi notis awal pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN).

Ketua Penerangan PAS Selangor Roslan Shahir Mohd Shahir dipetik berkata PR Selangor dijangka akan menggunakan pendekatan memberi notis memanggil pilihan raya umum negeri - amalan julung kali digunakan jika menjadi kenyataan.

Kedua-dua perkara itu dikatakan diputuskan pada mesyuarat pimpinan PR Selangor pada 19 Julai lalu.

Malah pada mesyuarat itu PR juga telah memutuskan untuk tidak membubarkan DUN jikapun BN memanggil pilihan raya umum tergempar di peringkat pusat dalam waktu terdekat.

Roslan memberitahu, pihaknya mahu mengamalkan pendekatan baru ini bagi menyuburkan prinsip demokrasi di Selangor dengan memaklumkan semua pihak bahawa pilihan raya umum akan diadakan dalam tempoh tertentu.

Bagaimanapun Pengerusi DAP Ean Yong Hian Wah berkata, keputusan membubarkan DUN adalah prerogatif Sultan atas permintaan Menteri Besar dan bukannya keputusan kepimpinan Selangor semata-mata.

Selain itu kata beliau keputusan untuk membubarkan DUN Selangor perlu diperakui oleh kepimpinan kebangsaan PR dan bukannya ditentukan oleh kepimpinan Selangor sahaja.

“Saya ingin menjelaskan bahawa Roslan bercakap atas kapasiti peribadi dan bukannya bagi pihak Pakatan Selangor,” kata beliau.

NGO: Mahasiswa juga ada hak berpolitik, wajar pinda AUKU

KUALA LUMPUR — Pemimpin-pemimpin pelajar menyambut baik langkah Datuk Saifuddin Abdullah yang mahu membawa usul membenarkan mahasiswa terlibat dalam politik ke perhatian MT Umno tetapi menegaskan, sudah sampai masanya penuntut universiti dibenarkan aktif berpolitik atas alasan mereka juga ada hak mengundi.

Presiden Kelab Rakan Siswa Islah Malaysia (Karisma) Abdullah Omar Muhd Fuad berkata, cadangan itu merupakan satu pembaharuan baik kepada mahasiswa tetapi pelajar tidak harus membawa agenda politik ketika sesi pembalajaran di kampus.

“Kita memang setuju dengan cadangan tersebut kerana tiada masalah kalau mahasiswa nak terlibat dalam politik kerana mereka juga adalah pengundi,” kata beliau.

Bagaimanapun kata beliau, sekiranya cadangan tersebut diterima, tidak boleh melabelkan mahasiswa sebagai prokerajaan atau pembangkang.

“Kalau kita buat bantahan kepada kerajaan tidak bermakna kita sokong pembangkang, jadi kita harap mahasiswa ini tidak dilabelkan sebegitu.

“Ini kerana kita tidak mahu mahasiswa dipandang rendah oleh masyarakat, kita bantah bukan suka-suka kerana ada sebabnya,” katanya.

Selain itu, beliau juga menyarankan agar diletakkan satu syarat khas supaya mahasiswa ini tidak mengabaikan pelajaran mereka.

“Kadang-kadang kalau terlalu asyik dengan politik mungkin mahasiswa akan lupa akan tanggungjawab sebenar mereka sebagai pelajar,” kata beliau.

Abdullah Omar mengulas cadangan Saifuddin untuk membawa usul membenarkan mahasiswa terlibat dalam politik pada mesyuarat MT Umno akan datang.

Saifuddin yang juga Timbalan Menteri Pengajian Tinggi berkata sudah tiba masanya AUKU dikaji semula bagi membolehkan mahasiswa terlibat dalam politik.

Walaupun akta itu dipinda pada tahun 2008 di mana penuntut Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA) dibenar menyertai pertubuhan politik setelah mendapat kebenaran Naib Canselor, beliau berkata akta itu perlu dikaji semula.

Dalam pada itu, Presiden Kumpulan Aktivis Mahasiswa Independen (KAMI) Hilman Idham berkata, mahasiswa merupakan bakal pemimpin masa hadapan jadi penglibatan golongan itu dalam politik amat penting bagi melahirkan pemimpin yang berkaliber.

“Mahasiswa mempunyai idealisme dan pandangan masing-masing dalam politik, jadi penglibatan mereka amat penting bagi menyuarakan pandangan sebagai mahasiswa.

“Banyak pendedahan positif akan diterima mahasiswa sekiranya mereka terlibat dalam politik termasuk dari segi pengembangan pengalaman, membuat keputusan, mempraktikkan teori politik yang dipelajari dan sebagai.

“Sepatutnya sejak dari dulu mahasiswa ini dibenarkan terlibat sama dalam politik dan jangan sesekali melabelkan mahasiswa ini,” katanya.

Sehubungan itu Hilman berkata sekiranya cadangan itu diluluskan maka mahasiswa boleh memperluaskan pengalaman politik tanpa perlu bimbang akan dikenakan tindakan.

“Sekarang mana-mana mahasiswa yang terlibat dalam politik boleh dikenakan tindakan di bawah AUKU.

“Jadi saya percaya mahasiswa akan mendapat kebebasan yang sepatutnya sekiranya cadangan tersebut diluluskan nanti,” katanya.

Hilman kini berhadapan dengan tindakan disiplin kerana didakwa di bawah Seksyen 15(5)(A) AUKU kerana bersimpati dengan parti politik semasa pilihan raya kecil Hulu Selangor April lalu.

Presiden Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia (Gamis) Mohd Idris Mohd Yusoff berpendapat cadangan tersebut sesuai kerana mahasiswa juga ada hak untuk berpolitik.

“Saya memang setuju dengan cadangan tersebut dan ia menunjukkan kerajaan mula bersikap terbuka dalam hal ini.

“Selama ini mahasiswa dikongkong kerana tidak dibenarkan terlibat dalam politik. Jadi sekiranya diluluskan, maka secara tidak langsung mahasiswa boleh mengetahui selok-belok politik,” katanya.

Beliau berkata penglibatan secara terus golongan mahasiswa dalam politik boleh memberikan pendedahan awal selain melahirkan lebih ramai pemimpin masa depan.

“Jadi mahasiswa ini boleh mempelajari politik secara praktikal apabila merasai sendiri pengalaman tersebut.

“Jika berbanding dengan sekarang mahasiswa hanya pelajari tentang teori sahaja, ia tidak boleh menerangkan maksud politik sebenar kepada mahasiswa,” tambahnya.

Sementara itu Presiden Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS), Jais Karim berkata, penglibatan mahasiswa dalam politik sebenarnya tidak boleh dipisahkan kerana golongan itu adalah bakal pemimpin negara.

“Dengan penglibatan mahasiswa dalam politik mereka boleh melihat dan memahami sendiri apa yang dimaksudkan dengan politik secara lebih jelas lagi.

“Selain itu, saya melihat cadangan itu satu tindakan yang baik kerana ia boleh memberikan kesan positif kepada mahasiswa dan juga negara.

“Ini kerana kita mahu melahirkan ramai bakal pemimpin tapi selama ini mahasiswa disekat jadi saya melihat cadangan itu mampu melahirkan lebih ramai pemimpin yang bijak dna bagus,” katanya.

Bagaimanapun Jais berharap agar mahasiswa yang terlibat dalam politik dapat mengimbangi soal pelajaran dan politik.

Ku Li: Ubah BN, Pakatan parti pelbagai kaum dengan keahlian terus

TERKINI

KUALA LUMPUR — Tengku Razaleigh Hamzah hari ini menggesa agar Barisan Nasional (BN) berubah sebagai parti pelbagai kaum menerusi status keahlian terus.

Beliau yakin jika BN mengambil langkah itu Pakatan Rakyat (PR), yang dibentuk dua tahun lalu selepas keputusan pilihan raya umum ke-12 akan menyusul.

Pemimpin veteran itu berkata rakyat wajar mengetepikan politik berimejkan perwakilan kaum jika mahu negara ini serius dalam penerimaan slogan 1 Malaysia.

“Jadi, jika serius dengan slogan 1 Malaysia, tukar Barisan Nasional menjadi sebuah parti yang terbuka kepada semua warganegara. Ubah ia sebagai parti pelbagai kaum dengan menjadikan keanggotaan langsung,” katanya.

Dengan mengambil tindakan itu, kata beliau PR juga akan dipaksa berbuat demikian kerana jika tidak, ia akan ketinggalan.

“Kemudian kita patut ada laluan kepada sistem dua parti bukan berasaskan kaum,” kata Ahli Parlimen Gua Musang ini pada Sidang Kemuncak Tahunan Kepimpinan Pelajar Malaysia Keempat di sini.

Tengku Razaleigh menegaskan BN dan PR bertanggungjawab untuk memastikan negara bebas daripada politik kaum dan fahaman komunalisme.

“Jika Umno, MIC atau MCA takut akan kehilangan penyokong, biarkan ahli-ahli mereka menyertai parti pelbagai kaum yang baru ini.

“Rakyat harus melakukan perkara yang sama. Tiada siapa yang harus merasakan mereka ketinggalan. Ahli Umno boleh sertai beramai-ramai,” kata beliau.

“Persatuan Kopitiam Hainan juga boleh sertai mana-mana parti yang mereka mahukan atau kedua-dua parti secara beramai-ramai,” katanya lagi.

Dalam persekitaran sedemikian jelas Tengku Razaleigh, rakyat boleh mengekalkan persatuan-persatuan madani yang dipilih untuk dianggotai.

“Tetapi kita (perlu) mengetepikan kesemua fahaman perkauman apabila bersaing untuk sokongan undi.

“Calon-calon kita bertanding dalam pilihan raya, biarkan mereka mewakili semua kaum, kalau atau menang,” katanya lagi.

Tengku Razaleigh yang terkenal dengan panggilan Ku Li menekankan bahawa politik perkauman telah menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara yang “sakit.”

“Ini masa (yang seusai) untuk merealisasikan impian Dato’ Onn dan semangat Perikatan, Tunku Abdul Rahman. Impian ialah satu bangsa Malaysia dan rakyat yang bersatu,” kata beliau sambil menambah, sedangkan “kita sepatutnya meneruskan usaha mereka, kita mengambil langkah sebaliknya.”

Oleh itu kata beliau, langkah seterusnya ialah melangkaui parti-parti berasaskan kaum untuk menghidupkan sistem parti bukan berasaskan kuam.

“Sistem parti berasaskan kaum adalah sebab politik utama mengapa negara kita sakit, merudum dari pandangan kita sendiri, dengan wang mengalir keluar dan ibu bapa pula memberitahu anak-anak mereka agar jangan pulang ke tanah air selepas habis pengajian,” kata beliau.

Sehubungan itu Ketua Umno Gua Musang ini memberitahu, pentadbiran Najib seharusnya melaksanakan dasar-dasar yang menggambarkan slogan 1 Malaysia.

“Mari kita melihat kerajaan hari ini dengan menunjukkan kepimpinan menerusi teladan. Slogan 1 Malaysia kosong kerana ia digerakkan oleh kerajaan yang menggalakkan sistem parti berasaskan kaum, yang merupakan sebab utama kita tidak beupaya untuk menyuburkan hubungan kaum,” katanya.

Malah kata beliau, ia juga punca pelabur dan rakyat sendiri tidak yakin dengan keadaan ekonomi negara.

“Itu sebabnya kita ketinggalan di belakang Maldives dalam sukan bola sepak, di belakang Filipina dalam menarik FDI, semuanya berkaitan satu sama lain,” kata Tengku Razaleigh.

Tengku Razaleigh juga memberitahu, rakyat tidak harus bimbang untuk mempersoalkan ‘status quo’ politik di negara ini.

Tegas beliau, seruan agar mengakhiri tindakan mengaitkan apa sahaja termasuk politik, ekonomi, dasar pendidikan dengan kaum bukan sesuatu yang konservatif ataupun liberal.

“Seruan itu semakin meningkat,” katanya lagi.

Anggota polis hilang di Tok Bali belum ditemui

BERNAMA

PASIR PUTEH — Seorang anggota polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah Tumpat yang dilaporkan hilang di Tok Bali di sini semalam masih belum ditemui.

Usha mencari Lans Koperal Basri Abdul Majid, 45, diteruskan hari ini oleh pasukan polis, bomba dan penyelamat serta Agensi Penguatkuasaan Maritim, kata Pegawai Penjaga Balai Bomba dan Penyelamat Pasir Puteh, Kaharuddin Yahya.

Kehilangan Basri disedari oleh lapan rakannya pada 7.30 malam ketika mereka dalam perjalanan pulang dengan bot setelah memancing di Pulau Susu Dara, kira-kira 45 minit perjalanan dengan bot dari Tok Bali.

“Mangsa dipercayai terjatuh daripada bot,” kata Kaharuddin.

Gerakan mencari ditumpukan di sekitar pulau berkenaan dan laluan ketika mereka pulang. —

Anwar: Kerajaan dakwa Dr Ling, sudah tidak mampu tutup skandal

BAGAN SERAI — Ketua Umum Pakatan Rakyat Datuk Seri Anwar Ibrahim mendakwa Tun Dr Ling Liong Sik didakwa berhubung skandal projek Zon Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ) sebab kerajaan “tidak boleh lagi menutup sebarang skandal.”

Anwar berkata, walaupun Pakatan Rakyat (PR) terus-menerus membangkitkan perkara berkenaan sejak empat tahun lalu, tetapi kerajaan tidak mengambil sebarang tindakan.

“Setiap kali kami membawa isu ini, kami (Pakatan) dilabel sebagai antinasionalis.

“Dan, sekarang sejak mereka tidak boleh menafikan perkara itu, mereka mendakwa (Dr) Liong Liong Sik,” kata beliau pada ceramah di sini malam tadi.

Kata Penasihat PKR ini, MCA mendakwa PR sebagai pembohong kononnya menyebarkan isu yang tidak benar apabila setiap kali membawa skandal PKFZ.

“Di negara ini orang kaya boleh buat apa sahaja. Malah mereka boleh membunuh seseorang dan bebas,” katanya pada ceramah dihadiri kira-kira 350 orang di dewan Beng Sean Seah meskipun hujan.

Dr Ling, bekas menteri pengangkutan dan bekas presiden MCA mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini kelmarin terhadap tuduhan menipu kerajaan berhubung skandal PKFZ melibatkan pembelian tanah di Pulau Indah membabitkan RM1.08 bilion lapan tahun lepas.

Beliau didakwa atas satu pertuduhan utama dan satu pertuduhan alternatif menipu Kabinet dengan menyembunyikan fakta dalam pembelian tanah itu di Tingkat 4, Pejabat Perdana Menteri, Bangunan Perdana Putra, di Putrajaya di antara 25 September 2002 dan 6 November 2002.

Bagi pertuduhan utama, Dr Ling dituduh mengikut Seksyen 418 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sampai tujuh tahun, dengan denda, atau dengan kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan alternatif, Dr Ling dituduh menipu Jemaah Menteri dengan curangnya menyembunyi fakta serupa pada tempat dan tarikh yang sama, mengikut Seksyen 417 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara yang boleh sampai lima tahun, atau dengan denda, atau dengan kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Akhir tahun lalu empat orang telah didakwa berhubung skandal itu.

Muhyiddin beri amaran usah buat tuntutan etnik melampau

KUALA LUMPUR – Tan Sri Muhyiddin Yassin memberi amaran agar kumpulan-kumpulan yang mewakili kepentingan kaum masing-masing agar tidak membuat tuntutan melampau atas alasan langkah sedemikian boleh menjejaskan perpaduan.

Sehubungan itu Timbalan Perdana Menteri berkata, rakyat harus melihat dari sudut “gambaran yang lebih luas” sambil menerima hakikat bahawa Malaysia sebuah negara majmuk.

“Saya mahu mengingatkan pemimpin-pemimpin muda kita bahawa menguruskan sebuah negara pelbagai kaum seperti Malaysia memerlukan banyak kebijaksanaan.

“Kami sentiasa mencari keseimbangan yang terbaik antara berkhidmat untuk kepentingan setiap etnik dan memenuhi kepentingan negara,” kata Timbalan Presiden Umno ini.

Bercakap pada Sidang Kemuncak Tahunan Kepimpinan Pelajar Malaysia Keempat di sini hari ini, Muhyiddin berkata permintaan keterlaluan oleh satu komuniti kadangkala mengundang respons bermusuhan di kalangan etnik lain.

“Ini sudah pasti akan memburukkan hubungan kaum dan menjejaskan perpaduan nasional,” kata Muhyiddin.

Pertubuhan bukan kerajaan seperti Perkasa kini mengetuai gesaan agar kerajaan persekutuan Barisan Nasional (BN) mengekalkan hak dan keistimewaan Bumiputera termasuk kuota meskipun Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berkata ekonomi negara mesti bergerak atas asas kompetitif dan saksama.

Dalam pada itu, beberapa kumpulan etnik pula mendakwa kuota seumpama itu hanya memanfaatkan mereka yang kaya manakala rakyat miskin pula ketinggalan dan rasa kecewa.

“Jika kita mahu melihat negara kita menuju masa depan yang lebih baik sebagai negara aman dan makmur bagi setiap rakyat, kita harus melihat dari sudut yang lebih besar,” kata beliau dengan menambah, kepentingan negara perlu diutamakan sambil mengetepikan kepentingan kaum.

“Kita kena menerima hakikat bahawa dalam negara majmuk seperti Malaysia, keamanan dan keharmonian hubungan kaum adalah sangat penting. Yang ini kita kena pelihara dan pertahankan dengan terbuka,” kata Muhyiddin.

Mustapa Menteri Bodoh Cuba Pertahan Kejatuhan FDI

Oleh Fazli Othman

SHAH ALAM - Malaysia di bawah pentadbiran Umno-Barisan Nasional diramalkan bakal terperangkap dalam kawah ekonomi yang paling dalam disebabkan pelaburan langsung luar negara (FDI) yang menjunam kepada paras terendah di kalangan negara Asia Tenggara.

Ini ditambah pula dengan sikap Menteri Perdagangan Antarabangsa Dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed yang dianggap bodoh kerana memberi alasan tolol berhubung kejatuhan teruk FDI.

Mustapa memberi kenyataaan tidak masuk akal apabila berkata kejatuhan FDI sebanyak 81 peratus adalah kerana kerajaan memilih pelaburan asing yang berkualiti sahaja.

Ahli Parlimen Indera Mahkota, Azan Ismail yang membidas sikap Mustapa berkata negara sebenarnya berada dalam kedudukan yang paling membimbangkan apabila Laporan Pelaburan Dunia 2010 oleh Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu menyatakan Malaysia kehilangan 81 peratus FDI pada tahun lepas.

"Mustapa memperbodohkan dirinya sendiri apabila takut memberikan fakta sebenar negara yang akan mengakibatkan terkubur Umno-Barisan Nasional dalam pilihan raya umum ke-13 nanti.

"Kerajaan Umno-BN cuba menyelewengkan fakta tetapi malangnya 30 peratus rakyat Malaysia sudah mengetahui apa itu FDI. 30 tahun yang lalu, kita boleh bermegah dan dianggap harimau ekonomi di Asia Tenggara tetapi malangnya Malaysia kini tidak lagi menjadi pilihan pelabur asing," tegas Azan ketika dihubungi Suara Keadilan.

Menurut beliau, Malaysia pada satu masa dahulu menjadi destinasi dan syurga pelaburan asing tetapi semenjak tahun 1999 selepas tragedi pemecatan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Timbalan Perdana Menteri, situasi ekonomi menjadi bertambah buruk apabila buat pertama kalinya negara mencatatkan belanjawan defisit.

"Ini merupakan kesilapan dasar dan polisi yang diamalkan kerajaan Umno-BN semasa itu yang menyebabkan ekonomi Malaysia menjadi parah. Selepas itu, satu demi satu negara menarik keluar pelaburan mereka kerana tidak lagi yakin dengan sistem yang diamalkan oleh parti memerintah semasa itu," jelas beliau lagi.

Apa yang memburukkan keadaan katanya, kenyataan bekas Ketua Polis Negara yang berkata 41 peratus anggota polis terlibat dengan rasuah serta Umno-BN menganugerahkan projek sehingga individu tidak layak sekali pun mampu menjadi kaya-raya dengan merampas hak rakyat.

"Apa yang kita alami sekarang adalah keadaan di mana ekonomi mengalami kejatuhan yang paling teruk yang dipanggil sebagai 'spiral downward'. Malaysia akan mengalami keadaan ekonomi yang paling tenat jika perkara ini berlaku," ujar beliau.

Dalam pada itu, Azan juga menyelar sikap Mustapa yang mengambil mudah isu kejatuhan teruk FDI dan menyifatkan kebodohan menteri itu sebagai kebodohan kelas satu.

"Pada masa beliau cuba menyelamatkan bosnya demi kepentingan politik dan kroninya, beliau sepatutnya tidak perlu berselindung pada hal Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak pula ketika ini dikhabarkan akan pergi bercuti akibat tidak mampu berdepan dengan tekanan," Azan.

Sebelum itu, Mustapa dilihat cuba menutup kelemahan kerajaan Umno-BN dengan mempertahankan fenomena aliran masuk FDI yang tidak kondusif di Malaysia berbanding negara Asia Tenggara lain seperti Vietnam, Myanmar dan Filipina.

Bakar gereja: Seorang bebas, dua beradik diarah bela diri

BERNAMA


Seorang penghantar surat dilepas dan dibebaskan oleh Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini manakala adik beradik dipanggil membela diri atas tuduhan membakar gereja Metro Tabernacle di Desa Melawati, pada Januari lepas.

Hakim S.M Komathy Suppiah membuat keputusan itu terhadap tertuduh Azuwan Shah Ahmad selepas mendengar hujahan pihak pendakwaan dan pembelaan di akhir kes pendakwaan.

"Selepas mendengar hujahan kedua-dua pihak, saya mendapati tiada bukti kukuh yang dapat mengaitkan tertuduh ketiga iaitu Azuwan dengan kes ini. Oleh itu mahkamah melepas dan membebaskan tertuduh," katanya.

Sementara itu, tertuduh pertama dan kedua yang merupakan adik-beradik Raja Mohamad Faizal Raja Ibrahim dan Raja Mohamad Idzham dipanggil membela diri selama tiga hari bermula 10 Ogos depan.

Komathy dalam penghakimannya berkata, berdasarkan keterangan saksi-saksi pendakwaan, mahkamah mendapati terdapat keterangan saksi-saksi yang boleh mengaitkan tertuduh pertama iaitu Raja Mohamad Faizal dan tertuduh kedua, Raja Mohd Idzham terlibat dalam kes ini.

Komathy berkata, terdapat juga keterangan saksi pendakwaan iaitu Mohd Razman Azmir Shaharran dan Noor Sahli Nasrullah Bahariddin yang mengaitkan tertuduh pertama dan kedua terlibat dalam kes ini di mana kedua-dua saksi itu menyatakan mereka berkumpul di restoran 'Uptown White Coffee' dan berjumpa dengan ramai kawan termasuk Raja Mohamad Faizal dan Raja Mohd Idzham pada malam kejadian.

Selain itu, Komathy berkata seorang lagi saksi pendakwaan iaitu Yong Choy Yee, yang melihat kejadian itu dari dalam kereta turut memberi keterangan bahawa beliau melihat seorang lelaki terpaksa membuka baju kerana rambut dan badannya terbakar mempunyai kaitan dengan keterangan Dr Soep Sadimon dari Klinik Izham yang mengesahkan tertuduh pertama tidak memakai baju dan terdapat kesan terbakar pada rambutnya ketika mendapat rawatan dikliniknya.

Raja Mohamad Faizal, 24, Raja Mohamad Idzham, 22, dan Azuwan Shah Ahmad, 23, didakwa bersama-sama beberapa orang yang masih bebas, melakukan khianat dengan membakar gereja di Jalan 4/4C, Desa Melawati, di sini pada 11.50 malam, 7 Januari lepas.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 436 Kanun Keseksaan dan Seksyen 34 kanun yang sama yang membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Azlina Rasdi dan Lailawati Ali manakala pihak pembelaan dikendalikan peguam Datuk Hanif Hashim dan Rosal Azimin Ahmad.


Akta Halal digubal

MALAYSIA KINI


Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) sedang menggubal Akta Halal bagi membolehkan jabatan itu melaksanakan sendiri peraturan berhubung penguatkuasaan sijil dan pengeluaran logo halal yang dijangka pada tahun ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata, walaupun pindaan Akta Perihal Dagangan (APD) 1972 yang akan dibentangkan di Parlimen Oktober ini dikira sudah menyeluruh tetapi Jakim perlu diberikan kuasa bagi membolehkan mereka melaksanakan peraturan tersebut.

"Pindaan APD 1972 itu pada kita ia sudah dikira menyeluruh cuma kita perlu sedikit pindaan agar Jakim dapat berdiri sendiri dari segi penguatkuasaan sijil dan logo halal tanpa memerlukan agensi lain," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan majlis Mahrajan Huffaz Belia MABIMS (Pertemuan Tahunan Tidak Rasmi Menteri-Menteri Agama Negara Brunei, Indonesia, Malaysia dan Singapura) dan pelancaran Tafsir Ar-Rahman versi Mandarin dan buku-buku terbitan Jakim di Dewan Merdeka Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di ibunegara, hari ini.

Hadir sama Ketua pengarah Jakim Datuk Wan Mohamad Sheikh Abdul Aziz.

Jamil Khir berkata, Akta Halal diperlukan kerana ketika ini tidak ada satu pun akta yang jelas yang mengatakan pihak lain tidak boleh mengeluarkan sijil dan logo halal yang akhirnya menyukarkan pihaknya bertindak menguatkuasakan peraturan tersebut.

Katanya, melalui APD yang ada, kandungan dalam akta tersebut seakan-akan membenarkan orang yang bukan daripada Jakim juga boleh mengeluarkan sijil halal.

Ditanya sam ada penggubalan akta tersebut akan menimbulkan pertembungan dengan pindaan APD, beliau berkata perkara itu tidak akan berlaku kerana draf tersebut akan diteliti oleh Jabatan Peguam Negara terlebih dahulu.

Malahan APD dan Akta Halal, menurutnya tidak akan dibentang secara serentak di Parlimen kerana pindaan dibuat adalah untuk mengemaskan lagi APD.

Mengenai persediaan Jakim daripada sudut sumber guna tenaga sekiranya Akta Halal diluluskan, Jamil Khir berkata, daripada segi pengalaman dan kebolehan dalam melaksanakan tugas sememangnya telah ada, cuma pihaknya akan memperkukuhkannya dengan penambahan perjawatan dan kakitangan bagi tujuan penguatkuasaan.

Beliau juga berkata pengwujudan sesuatu akta memerlukan tempoh masa yang agak panjang yang melibatkan kelulusan pejabat Peguam Negara serta bacaan beberapa kali di Parlimen untuk diluluskan.

"Saya tak suka berjanji, sebab tu kita serah kepada kelulusan Parlimen. Kalau ada pihak tak nak menyokong, kita tak boleh buat apa-apa," katanya.

Berhubung persediaan Jakim dalam memastikan hotel-hotel yang tidak mempunyai sijil halal tidak terbabit dalam promosi berbuka puasa pada Ramadan ini, Jamil Khir berkata, dalam isu ini kesedaran orang ramai adalah lebih utama.

Bagi mengelak kekeliruan, beliau berkata orang ramai boleh menyemak dan memuat turun maklumat dan senarai hotel yang diberikan status halal menerusi Portal Halal di lamanweb Jakim.


KJ vs Ibrahim Ali Ahad ini

MALAYSIA KINI


Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin dan Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (PERKASA) Datuk Ibrahim Ali akan berkongsi pentas dalam sebuah forum membincangkan politik ideologi dan bangsa dalam Sidang Kemuncak Pelajar Malaysia ke-4 Ahad ini.

Mereka akan bertemu dalam majlis tersebutyang berkemungkinan besar bertukar menjadi debat.

Khairy yang juga ahli parlimen Rembau - dalam jawapannya kepada Malaysiakini melalui SMS - mengesahkan beliau akan menghadiri sidang kemuncak tersebut.

Sebelum itu, Khairy menulis dalam Twitternya: "Ada apa Ahad ini, saya dijemput berdepan dengan... Ibrahim Ali. Patutkah saya pergi?".

Selepas itu, ketika menjawab soalan pengikut twitternya - sama ada beliau akan menghadiri majlis tersebut - Khairy menulis: What do you think? I am Ketua Pemuda.

Memandangkan pada tajuknya serta sejarah hubungan antara kedua-dua mereka, maka forum ini menjanjikan sesuatu yang menarik - antara Khairy yang mengaku dirinya seorang reformis dan Ibrahim yang lantang bersuara - yang beberapa kali 'bertembung' sebelum ini.

Ianya bermula apabila Khairy 'menyelamatkan' Ketua Pemuda MCA Datuk Wee Ka Siong, yang menjadi sasaran kecaman PERKASA pimpinan Ibrahim.

Sewaktu mendesak kerajaan mengekalkan jumlah biasiswa Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) - di mana sejumlah yang terhad disediakan kepada bukan bumiputera - Wee berkata pelajar bumiputera juga akan terasa diabaikan jika jumlah biasiswa MARA dikurangkan.

Berikutan itu, Ibrahim menggesa Khairy supaya tidak menjadi 'pengkhianat' terhadap bangsanya sendiri dan berlaku perang mulut antara mereka sehingga ke peringkat memberi gelaran antara satu sama lain.

Khairy menggelar Ibrahim sebagai 'jaguh kampung' dan 'gedebe oportunis'.

Ibrahim pula membalasnya dengan menggelar Khairy sebagai seorang pemimpin yang lemah di mana kepimpinannya telah melemahkan Pemuda Umno, dan mengabaikan keperluan akar rumput orang Melayu, dan ruang itu kini diisi oleh PERKASA.

Sementara itu, ahli parlimen PAS yang terkenal dengan kelantangannya Khalid Samad turut ditampilkan sebagai ahli panel dalam sidang yang turut melibatkan Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai penyampai ucaptama.

Khalid dan Ibrahim juga sering bertembung secara terbuka dalam pelbagai isu, termasuklah isu biasiswa MARA baru-baru ini, apabila mereka dilihat saling memperlecehkan antara satu sama lain.

Menulis dalam laman Twitter malam tadi, Khairy juga bersuara, disebabkan beberapa pemimpin dan timbalannya yang tidak gemar berkongsi pentas dengan pelajar atau pemimpin pembangkang, beliaulah yang terpaksa menggantikannya.

"Jadi saya selalu dapat jemputan daripada pihak ketiga," katanya ketika mengemaskini status di laman blog mikronya itu.

"Jadi inilah jemputan di saat-saat akhir yang saya perlu putuskan. Nampaknya dua menteri menolaknya, jadi tiada sesiapa lagi (untuk mewakili Umno)"

Dalam masa yang sama, Khairy berkata, sesetengah media asing, terutamanya saluran televisyen, sukar mendapatkan menteri bagi menyertai program mereka.

"Sayalah yang terpaksa wakili Umno. Tetapi, selepas (Datuk Seri) Zainuddin Maidin di (stesen televisyen) Al Jazeera...," tulisnya lagi tanpa menghabiskan ayat tersebut.

Dalam reaksi terhadap perhimpunan Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (BERSIH) pada November tahun lalu, Zainuddin - menteri penerangan ketika itu - menjadi bahan ketawa banyak pihak, ekoran ulasannya berhubung 'perhimpunan haram' itu kepada Al Jazeera yang dilihat 'berterabur'.

Umno salah tidak benar guru berpolitik

Muhammad Yusri Amin

KOTA BHARU: Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat menganggap tindakan tidak membenarkan guru bergiat dalam politik sebelum ini adalah tindakan yang salah, bahkan sebagai pengamal ilmu salah.

Ini, katanya kerana golongan guru adalah mereka yang mempunyai ilmu dan mengerti dalam banyak perkara.

“Jadi, macam mana orang yang mengerti tidak dibenarkan berpolitik? Itu satu kerja yang salah Umno.

“Mana boleh, seorang cikgu yang berilmu kita (kerajaan) tidak benarkan mereka berpolitik. Ini kerja salah, kerja orang yang mengamalkan ilmu salah,” katanya kepada media selepas menyampaikan kuliah mingguannya di Medan Ilmu di sini pagi tadi.

Beliau mengulas langkah terbaru pihak Kerajaan Persekutuan yang bercadang membenarkan pegawai pendidikan perkhidmatan siswazah Gred DG41 hingga DG48 melibatkan diri dalam politik bagi memastikan golongan tersebut diberi kebebasan sepenuhnya tanpa sekatan tertentu.

Kerajaan Persekutuan bercadang meminda Peraturan 21(2) Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993 bagi membolehkan Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Siswazah Gred DG41 hingga DG48 untuk bertanding, dilantik atau memegang jawatan dalam mana-mana parti politik berkuat kuasa 1 Ogos ini sebagaimana diumumkan Ketua Setiausaha Negara (KSN), Tan Sri Mohd Sidek Hassan baru-baru ini.

“Kenapa disekat cikgu, disekat tok guru daripada berpolitik? (Adakah kerajaan) takut diketahui keburukan mereka?

“Doh mu buat buruk (maka) diketahui oranglah,” katanya sambil mengulangi penegasannya bahawa golongan guru sepatutnya dibenarkan bergiat dalam politik sejak awal-awal lagi.

Baginya, akta mengenai sekatan itu tidak ada di atas dunia ini.

“Ini kerana ‘politik’ adalah menyentuh segala perkara termasuk bidang akidah, ibadat, ekonomi dan rumah tangga.

“Adalah menjadi satu perkara pelik apabila Umno buat terhadap sama ada pegawai kanan guru atau tidak selama ini dengan tidak membenarkan mereka berpolitik,” katanya.

Beliau yang juga Menteri Besar Kelantan menyifatkan bergiat dalam bidang politik diberi ganjaran pahala oleh Allah swt selain mendapat dosa sekiranya dilakukan tidak selaras dengan ajaran Islam.

“Nabi Muhammad s.a.w. sendiri adalah ‘orang politik’ yang paling terkemuka, Baginda menjaga orang (umatnya) dari dunia sampai ke akhirat, bukan menjaga mereka setakat di kubur saja,” katanya.

Mengulas sama ada kebebasan berpolitik di kalangan guru boleh menjejaskan prestasi mereka di sekolah, Mursyidul Am PAS itu berkata itu terserahlah kerapa sikap guru berkenaan.

“Saya adalah orang politik, sejak dahulu saya mengajar agama. Di samping bertugas mengajar, tidak ada apa pun gangguan.

“Saya mengajar sokmo-sokmo, sejak daripada hari pertama saya balik (dari belajar di luar negara) ke Malaysia pada 1962, saya terus mengajar termasuk mengajar di sekolah, dan sehinggalah ke pagi ini, saya terus mengajar,” katanya.

Mahasiswa mati jatuh bangunan

Harakahdaily
KUALA LUMPUR: Seorang Mahasiswa Pusat Asasi Sains Universiti Malaya (Pasum) hari ini meninggal dunia setelah jatuh dari tingkat 5 bangunan Kolej Kediaman Dr Nazrin Shah (Kolej Kediaman Ke-12) di sini.

Kejadian berlaku selepas solat Jumaat kira-kira jam 2.35 petang tadi.

Menurut sumber, mangsa Zulkhairi Azmi bin Md Bukhari, 19 tahun, jatuh ketika ingin menyeberang tingkap ke bilik rakannya di bilik bersebelahan dengan meniti beranda.

Akibat jatuhan itu, mangsa yang berasal dari Mersing, Johor itu mati di tempat kejadian.

Beberapa pegawai keselamatan berkata, mereka dimaklumkan oleh beberapa pelajar setelah bunyi jatuhan seperti bungkusan samapah.

Setelah begegas ke tempat kejadian, seorang mahasiswa sedang terbaring di lantai.

Dalam pada itu pihak pentadbiran universiti mengambil keputusan menghantar jenazah Allahyarham ke kampung halaman petang ini.

Jumaat, 30 Julai 2010

Skandal PKFZ: Lebih Banyak "Ikan Besar" Masuk Jala?


ling liong sik Oleh Staf FMT

PETALING JAYA: Para pemimpin pembangkang hari ini mengalu-alukan keputusan untuk mendakwa bekas presiden MCA, Tun Ling Liong Sik dan Tony Pua dari DAP menjangka lebih banyak "ikan besar" akan didakwa di mahkamah.

"Bagus…..melihat Peguam Negara mendakwa ikan besar. Ini merupakan kes rasuah terbesar dalam sejarah Malaysia dan menandakan lebih banyak ikan besar akan masuk jala," kata Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara dan ketua ekonomis parti itu.

Beliau berkata, pendakwaan kali ini nampak lebih kompeten, terutama apabila pendakwaan selama ini dilakukan dengan cara tidak senonoh atau gagal.

Semalam, Ling bekas menteri pengangkutan, didakwa dengan dua tuduhan menipu berhubung skandal Zon Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ).

Bekas presiden MCA berusia 67 tahun itu, yang berdepan hukuman penjara jika didapati bersalah, bagaimanapun mengaku tidak bersalah terhadap kedua-dua tuduhan tersebut.

Sementara itu, Tony Pua yang memberitahu bahawa tokoh berprofil tinggi yang lain turut terlibat berkata, "Ling tidak boleh bertindak seorang diri."

Ditanya sama ada beliau menjangka mendapat berita itu, beliau berkata, "tidak…… sesuatu yang memeranjatkan dan tanda pendakwaan yang positif."

Beliau juga bersetuju apabila ditanya jika perkembangan terbaru ini sebagai tanda pilihan raya umum (PRU) menjelang tiba.

"Kamu meneka soalan yang tepat, tahniah," katanya, tanpa mengulas lebih lanjut.

Pekung di dada Umno-MCA

DrDzulkeflyAhmad Sementara itu, pegawai penyelidik PAS Dr Dzulkefly Ahmad yang mengalu-alukan tindakan mendakwa Ling bagaimanapun mengingatkan Perdana Menteri Najib Tun Razak bahawa peristiwa tidak memberi kesan terhadap PRU akan datang.

"Jika Najib berfikir dengan membawa Ling ke muka pengadilan akan menambah sokongan terhadap beliau dan Barisan Nasional, beliau juga perlu diingatkan tentang pembaziran yang beliau bawa selama ini," katanya.

"Beliau boleh memanggil PRU secepat mungkin jika beliau yakin dengan ilusinya," tambah beliau.

Dr Dzulkefly yang juga Ahli Parlimen Kuala Selangor berkata, perbicaraan Ling boleh membuka lebih banyak pekung dalam parti pemerintah.

"Kita harus ingat bahawa PKFZ adalah projek Umno-MCA. Dengan mendakwa beliau, beliau akan mendedahkan lebih banyak perlakuan rasuah dalam kerajaan Barisan Nasional.

"Semua yang terlibat tidak harus dibiar lepas bebas. Ini merupakan satu permulaan yang baik," terang beliau.

Dalam reaksi spontan, Naib Presiden PKR Azmin Ali juga mengalu-lukan langkah ini berkata, bagaimanapun bahawa Ling seharusnya diberi perbicaraan yang adil bagi membela dirinya.

"Namun secara prinsip, kita ingin melihat tindakan diambil terhadap mereka yang bertanggungjawab, tanpa pilih kasih atau takut, untuk melindungi hak orang awam," katanya kepada FMT.

Walaupun langkah terbaru telah menimbulkan spekulasi bahawa Ling dijadikan "kambing hitam", Ahli Parlimen Gombak itu berkata, Ling adalah watak utama dalam skandal ini."

"Beliau bukan dijadikan kambing hitam. Malahan, sebelum beliau berundur dari kementerian berkenaan beliau menandatangani surat sokongan untuk projek ini, yang digunakan sebagai cagaran oleh kerajaan.

"Saya fikir beliau harus bertanggungjawab dalam soal ini kerana sebagai menteri kabinet, beliau mewakili kerajaan," katanya.

Beliau bagaimanapun, enggan untuk membuat spekulasi berapa banyak lagi "ikan besar" akan didakwa di mahkamah berhubung skandal melibatkan berbilion ringgit ini.

"Kami tidak mahu membuat spekulasi tapi penyiasatan sebelum ini telah mengambil masa yang lama dan saya pasti kamar Peguam Negara akan membawa mereka yang terlibat ke muka pengadilan," kata Azmin.

Kepentingan awam harus dilindungi

200905251655OngTeeKeat-MCA Sementara itu, Ong Tee Keat yang juga bekas presiden MCA berkata tiada sesiapa harus berada di atas undang-undang walaupun melibatkan ahli parti yang senior seperti Ling.

"Undang-undang mesti dijunjung dan tiada sesiapa di atas undang-undang," katanya, menambah, bagaimanapun beliau tidak berminat dengan personaliti seseorang.

"Harapan saya ialah kepentingan orang ramai, terutama para pembayar cukai, dilindungi," beliau memberitahu para pemberita selepas berucap di Persidangan Undang-Undang Malaysia ke 15, di Kuala Lumpur.

Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin menyifatkan tindakan ini (untuk mendakwa Ling) sebagai berani dan proaktif tetapi berkata, Ling dan pihak pendakwaan harus diberi peluang di mahkamah.

"(Tetapi) persoalan tentang bayaran bon perlu dijawab," katanya dalam Twitter.