KUALA LUMPUR — Kumpulan 40 ulama yang menyertai Umno Jumaat lalu terkilan kerana masih ada pihak yang cuba mendakwa pemikiran bekas mufti Perlis Dr Mohd Asri Zainul Abidin menyumbang kepada aktiviti kumpulan pelampau atau pengganas seperti Jemaah Islamiah (JI).
Salah seorang daripada mereka, Fathul Bari Mat Jahya menegaskan, tindakan membuat tuduhan sedemikian merupakan jalan mudah untuk sesiapa sahaja mengaitkan seseorang dengan pihak atau kumpulan tertentu.
“Itu jalan mudah untuk mengaitkan manusia dengan manusia yang lain... kalau nak mengaitkan seperti itu. Contoh mudah, kita solat, JI juga solat. Adakah kita pada hari ini JI?
“Kita berusaha untuk mempertahankan Islam, JI juga berusaha untuk mempertahankan Islam. Adakah kita pada hari ini sama dengan JI?
“Jangan dengan mudah menyamakan manusia sedemikian rupa,” kata Fathul Bari kepada The Malaysian Insider dengan mempertahankan bahawa beliau dan Asri sudah lama menyentuh isu berkenaan dan menentang keganasan.
“Kita telah mengkritik pengganas. Kita telah menghentam atau membetulkan kesalahfahaman terroris seperti ini.
“Bahkan kita adakan seminar-seminar tentang terroris, kita buat di Perlis contohnya... saya sendiri menganjurkan program di Perlis,” kata beliau yang berkhidmat sebagai penasihat agama di Institut Jantung Negara.
Oleh itu kata Fathul Bari, beliau pun hairan mengapa wujud “manusia seperti ini yang mengaitkan pihak tertentu dengan JI.”Dalam pertemuan dengan The Malaysian Insider Khamis lalu, Penolong Pengarah Pusat Al-Quran dan Ilmu Teras, Zamihan Mat Zin mempertahankan pendiriannya dengan berkata beliau tidak pernah mengaitkan bekas mufti Perlis Dr Mohd Asri Zainul Abidin dengan kumpulan JI.
Sehubungan itu, Zamihan dari Institut Latihan Islam Malaysia
“Orang dalam tahanan sel (di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri) pernah memberitahu saya dia berminat sangat dengan pemikiran Dr Asri... bila dia ditangkap oleh polis, dia (suspek) ada CD, buku-buku Dr Asri, jadi barang kes.
“(Jika anda) tak percaya rujuk Bukit Aman... ada tangkapan, saya tak pasti yang mana satu, nak bukti boleh rujuk Bukit Aman.
“Jadi saya tak sentuh pun Dr Asri dengan keganasan itu, yang sentuh itu pihak keselamatan dari Bukti Aman... sebab masa ditangkap suspek JI itu, pemikiran-pemikiran Asri dalam bentuk bukunya, CDnya ada,” kata Zamihan yang kini menjadi tumpuan polemik isu fahaman wahabi dan JI.
Sambil mendakwa ia satu bentuk kaitan yang salah, Fathul Bari memberitahu, jika hendak bercakap mengenai isu buku ditulis Asri, antara nukilan beliau sebenarnya bukan dari buku tersebut sebaliknya hanya berbentuk ulasan.
“Cuma saya nak katakan perselisihan pandangan berkaitan adat, kemasyarakatan dan sebagainya, saya katakan perkara ini terbuka untuk kita bincang.
“Sekarang kalau kita katakan kita al-sunah wal jamaah, Malaysia menerima aliran al-sunah wal jamaah, maka sepatutnya terbuka kepada perbincangan.
“Kerana Imam Abu Hanifah juga ahli sunah, Imam Malik juga ahli sunah, Imam Syafie juga ahli sunah, Imam Ahmad juga ahli sunah,” katanya lagi.
Anak bekas mufti Perlis ini menambah, perbezaan pendapat juga wujud di kalangan mereka dan “mengapa mereka boleh hidup dalam keadaan harmoni?”
“Mengapa Imam Malik boleh memuji Imam Abu Hanifah, mengapa Imam Shafie boleh berguru dengan Imam Malik.
“Mengapa Imam Ahmad boleh berguru dengan Imam Shafie. Jadi kalau suasana harmoni itu dipraktikkan mereka (dulu), mengapa tidak kita pada hari ini?” soal beliau.
Beliau berpendapat keadaan akan menjadi bercelaru apabila manusia tidak menerima pandangan orang lain, sebaliknya membuat tohaman dan fitnah terhadap orang lain.
“Apabila kita kaitkan seseorang dengan keganasan, ini satu tuduhan yang amat berat.
“Bahkan ia membawa kepada menghalalkan darah seseorang. Mengapa kerana Nabi sebut dalam hadis tentang golongan seperti ini yang mengkafirkan manusia kerana dosa-dosa besar.
“Manusia buat dosa. Kita semua melakukan kesilapan dan kesalahan. Ada buat dosa besar, ada buat dosa kecil. Tetapi sebahagian manusia ekstremis. Mereka mengkafirkan manusia bila manusia melakukan dosa besar,” katanya lagi.
“Contoh apabila ada manusia yang tidak solat, oh ini kafir! Bila minum arak, oh ini kafir! Ini bukan sikap ahli sunah wal jamaah,” kata beliau.
Oleh itu menurut beliau, golongan tertentu yang mengatakan bahawa kumpulan tertentu ada kaitan dengan JI, bahkan dengan kumpulan pengganas, militan dan sebagainya, seolah-olah mereka berkata halal darah kelompok-kelompok ini.
“Kalau dalam Islam, pengganas ini halal darahnya!
“Kalau untuk kaitkan, ia tak tepat. Ini perselisihan pandangan dalam beberapa isu. Mungkin di sana mereka yang terlibat dalam terroris, ada beberapa perkara yang wujud kesamaan. Contoh dalam praktik ibadat seperti kita pada hari ini.
“Anta pun sembahyang, orang lainpun sembahyang. Mungkin bila tengok cara solat, orang di sana sama. Ini terroris,” kata beliau sambil berkata, ini adalah neraca timbang untuk menentukan orang ini pengganas ataupun tidak.
Oleh itu katanya, ia adalah satu perkara yang tidak bersesuaian dengan sikap seorang ahli ilmu.
Mengenai label wahabi kata beliau, ia juga langsung tidak tepat kerana dari beberapa sudut al-wahabiyah ini sebenarnya disandarkan kepada Muhammad Abdul Wahab.
“Ia disandarkan kepada nama bapa dia,” katanya.
“Sepatutnya dia sandarkan nama gerakan dia al-Muhiddun. Bahkan sandaran kepada bapa dia pun tidak kena.
“Kalau ikut kita katakan tatabahasa Arab, perkataan tersebut tak tepat, Abdul Wahab sepatutnya abdawi, bukan wahabi. Itu dari sudut bahasa Arab.
“Yang kedua perkataan wahabi itu tidak pernah digunakan Muhammad Abdul Wahhab,” kata beliau lagi.
Fathul Bari menambah, negara yang dituduh mengamalkan aliran wahabi ini tidak pernah menggunakan perkataan ini untuk menyatakan mereka wahabi.
“Sepatutnya kita sebagai ilmuwan, rujuklah kepada tulisan-tulisan, kitab-kitab, rujuklah kepada tulisan Muhammad Abdul Wahhab sendiri untuk kita kenal pasti cara pemikiran dia, metodologi pemikiran dia, sumber-sumber agama dia.
“Dan, tentang Muhammad Abdul Wahab ini telah lama meninggal dunia. Di Arab Saudi beliau digelar sebagai reformis. Beliau bukan terkenal dalam aliran-aliran fiqh.
“Perkataan-perkataan beliau juga kalau dalam penulisan-penulisan wahabi jarang sekali dinukilkan, oh ini pemikiran Muhammad Abdul Wahhab.
“Saya yang belajar di Universiti Islam Madinah, kita belajar perbandingan mazhab. Kita gunakan kitab Ibn Rushd, yang bermazhab Maliki,” katanya.
Tambah beliau, meninggalkan pandangan sesuatu atau seseorang tidak bermakna “kita mengkritik pandangan seseorang tersebut.”
“Sekarang ini difahami oleh Ustaz Zamihan dan rakan-rakannya, apabila kita meninggalkan pandangan seseorang, mengkritik pandangan seseorang, bererti kita telah menghina dia, menjatuhkan maruah dia.
“Ini perkataan tidak adil, dan kita pun tidak mengaku, siapa kata kita wahabi? Apa itu wahabi? Bahkan masyarakat setempat tidak kenal apa itu wahabi. Tak baca qunut wahabi.
“Perkataan-perkataan seperti ini bertujuan untuk memecahbelahkan masyarakat,” katanya lagi.
Mengenai label sunah Perlis, Fathul Bari menjelaskan, Perlis merupakan satu-satunya negeri yang meletakkan Perlembagaan Persekutuan dan berpegang dengan mazhab ahli sunah wal jamaah.
“Perlis satu-satunya negeri berbeza dengan negeri-negeri lain yang meletakkan mazhab Shafie sebagai pegangan.
“Oleh kerana dakwah ahli sunah wal jamaah ini diterima bermulanya di Perlis, dan diterima secara rasmi oleh Raja-raja di negeri Perlis sendiri, dan oleh Perlembagaan, maka orang mula berkata ini sunah Perlis.
“Kita tak nafikan ada beberapa perkara yang dipraktikkan di Perlis yang berbeza dengan negeri-negeri lain,” katanya.
Sebagai contoh kata beliau, di masjid-masjid negeri bila solat, mereka baca bismillah secara perlahan.
“Tetapi sebahagian pihak menjadikan perkara seperti ini sebagai perpecahan.
“Orang nak cuba ikut nabi, masing-masing berusaha. Mungkin dapat maklumat, mungkin tak dapat maklumat, mungkin jahil,” katanya.
Oleh itu jelas beliau, sandaran kepada sunah Perlis itu tidak tepat.
“Sunah bukan milik Perlis. Kalau ada orang Perlis yang mengatakan dia sunah Perlis, itu satu perkataan yang tidak tepat.
“Mungkin perkataan itu merujuk kepada, kami orang Perlis ini menerima ahli sunnah wal jamaah semua. Itu maksud mereka,” katanya lagi.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.