Rabu, 30 Jun 2010

Timbalan Menteri enggan jawab isu JI di IPT

Hazayani Zakaria


KUALA LUMPUR: Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Dr. Hou Kok Chung enggan menjawab soalan wakil PAS Pengkalan Chepa, Datuk Abdul Halim Abdul Rahman mengenai dakwaan wujudnya anggota Jemaah Islamiyah (JI) di institut-institut pengajian tinggi awam dan swasta.

Abdul Halim ketika mengemukakan soalan tambahan dalam sesi soal jawab lisan di Dewan rakyat hari ini meminta timbalan menteri memberikan penjelasan mengenai dakwaan ketua polis negara, Tan Sri Musa Hassan bahawa wujudnya gerakan JI, Wahabi dan Salafi di IPTA dan IPTS.

Beliau juga menyoal mengenai tindakan yang diambli terhadap mereka yang didakwa terlibat itu serta hubungan Malaysia dengan Arab Saudi yang mempunyai fahaman Wahabi dalam bidang pendidikan.

"Saya ingin tahu sejauh mana kebenaran dakwaan ketua polis negara bahawa anasir-anasir daripada JI, Wahabi dan Salafi samaada di IPTA dan IPTS?

"Kalau benar-benar ianya wujud, apakah tindakan dan sekatan untuk kemasukan pelajar samaada kebebasan beragama dan sejauh manakah akan dikaji hubungan Malaysia dengan Saudi yang bermazhab Wahabi, khususnya dalam bidang pendidikan.

"Adakah pelajar kita yang ingin melanjutkan pelajaran ke sana akan disekat dan pelajar mereka yang datang ke sini juga akan disekat?" soalnya.

Timbalan menteri bagaimanapun langsung tidak mahu menjawab soalan itu dengan alasan ia tidak ada kaitan dengan soalan asal.

"Memandangkan soalan Pengkalan Chepa tadi mengenai sudut pidato mahasiswa, jadi saya hanya akan menjawab mengenai itu sahaja," katanya.

Abdul Halim dalam soalan asalnya meminta menteri pengajian tinggi menyatakan sejauh manakah usaha kementerian untuk mengembalikan autonomi mahasiswa di kampus-kampus dengan mengadakan 'sudut-sudut pidato' tercapai.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.