Umno Kelantan menyifatkan kemelut dalaman Umno Bahagian Rantau Panjang yang telah berlarutan hampir 20 tahun adalah serius dan perlu ditangani segera.
Pengerusi Badan Perhubungan Umno negeri Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata satu mekanisme perlu dirancang bagaimana untuk menyelesaikan kemelut itu.
"Ini suatu peristiwa yang agak tidak menyenangkan dan keadaan di Rantau Panjang ini adalah serius yang sukar untuk kita tangani sejak 20 tahun dulu.
"Apa pun Umno Kelantan akan cuba menanganinya segera walaupun sukar dan untuk itu satu pendekatan akan diambil bagi mengatasi sebarang masalah di situ," katanya kepada pemberita selepas mengadakan pertemuan dengan staf Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), Kubang Kerian, hari ini.
Lebih 200 staf USM hadir pada pertemuan itu termasuk Pengarah Kampus Kesihatan USM Prof Datuk Dr Mafauzy Mohamed dan Pengarah HUSM Datuk Dr Zaidun Kamari.
Semalam dua puak dalam Bahagian Rantau Panjang mengadakan persidangan perwakilan serentak iaitu yang diketuai Ketua Bahagiannya Abdullah Mat Yasin di Kolej Kemahiran Tinggi Mara dan satu lagi yang diketuai bekas ketuanya Datuk Mohd Zain Ismail di dewan Umno bahagian itu.
Naib Presiden Umno Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang merasmikan mesyuarat bahagian itu turut singgah di mesyuarat yang diketuai Mohd Zain atas arahan Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin bagi mengatasi masalah tersebut.
Ahmad Zahid ketika ditemui semalam turut meminta pemimpin di bahagian itu mengelakkan perbalahan seterusnya bersatu demi perpaduan Umno yang akan menghadapi pilihan raya umum nanti.
Mengulas lanjut isu itu, Mustapa berkata beliau sudahpun mendapat laporan mengenai masalah bahagian itu dan seterusnya akan membuat laporan bertulis kepada ibu pejabat Umno.
"Di bahagian lain di Kelantan jika ada pun (masalah) tidak besar seperti di Rantau Panjang ini," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.