Isnin, 28 Jun 2010

S. Shamsudin Kritikal Selepas Jatuh Bilik Air



Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan Datuk
Seri Dr Rais Yatim bergambar kenangan bersama keluarga
pelakon komedi terkenal filem Melayu S. Shamsudin
(duduk, dua kiri) ketika berkunjung ke rumah pelakon
komedi itu di Singapura Sabtu lalu. Turut hadir rakan
seniman pelakon Datuk Mustafa Maarof dan Datuk Aziz
Satar (berdiri, dua kiri). - Foto BERNAMA

SINGAPURA: Pelawak veteran terkenal S. Shamsudin, 81, dilaporkan sedang kritikal di Hospital Alexandra di sini hari ini selepas terjatuh di bilik air pada malam Sabtu lalu.

Ketika mStar Online menghubungi rakan baiknya, pelawak veteran tersohor Datuk Aziz Sattar, dia berkata Shamsudin terjatuh daripada bilik air sehingga menyebabkan tulangnya retak.

“Waktu dia (Shamsudin) jatuh di bilik air, tulang dia dah retak. Lagipun, faktor usianya juga menyebabkan dia kritikal.

“Beberapa jam lagi, anaknya kata dia akan dibawa ke Unit Rawatan Rapi (ICU),” katanya hari ini.

Menurut Aziz, dia baru sahaja menziarahi sahabatnya itu bersama-sama Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr. Rais Yatim, pelakon Datuk Mustafa Maarof dan Ketua Pengarah Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas), Mohd. Mahyidin Mustakim di rumah anak bongsunya di flat Bukit Batok di sini pada Sabtu lalu.

Rais menyampaikan sumbangan RM10,000 kepada Shamsudin daripada dana bantuan untuk seniman yang dikendalikan oleh kementerian dan Finas.

“Saya baru sahaja melawat dia pada Sabtu lalu. Tetapi dia jatuh pada malam selepas kami datang ke rumahnya.

“Doktor ada maklumkan kepada anaknya, kalau dia tak stabil dalam satu hingga dua jam ini, pihak hospital akan minta isteri dan anak-anaknya datang ke hospital,” ujarnya lagi.

Tambahnya, dia akan memaklumkan perkembangan lanjut tentang Shamsudin selepas ini.

Shamsudin adalah seniman komedi sepanjang zaman yang seangkatan dengan seniman agung Allahyarham Tan Sri P. Ramlee, Allahyarham A. R Tompel dan Datuk Aziz Satar, dan telah berlakon dalam lebih 30 filem.

Anak kelahiran Singapura ini mula berlakon pada tahun 1948 dalam filem-filem Melayu terbitan Studio Jalan Ampas di sini dan namanya mula memuncak setelah berlakon bersama Ramlee dan Aziz dalam filem-filem siri Bujang Lapok.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.