Nazri Abdullah |
KUALA LUMPUR: Pengerusi Persatuan Anak-Anak Peneroka Felda Kebangsaan (Anak), Mazlan Aliman mencabar Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Ahmad Maslan untuk berdebat secara terbuka berhubung isu kemerosotan rizab Felda. Dalam sidang media di Pejabat Agung PAS hari ini, Mazlan berkata, jawapan Ahmad di parlimen berhubung faktor kemerosotan tersebut adalah sangat meragukan dan banyak tanda tanya. "Saya cabar Datuk Ahmad Maslan buat debat intelektual tentang Felda, di mana-mana saya tak kisah. "Kalau dia rasa dia betul, kata pendedahan kita ni salah, kita buat debat," katanya. Turut serta dalam sidang media tersebut, bekas Timbalan Menteri Tanah dan Koperasi, Dr. Tan Kee Kwong. Ahmad sebelum ini mengakui rizab tunai Felda merosot daripada RM4.08 bilion pada tahun 2004 kepada hanya RM1.35 bilion pada 2009. Kemerosotan itu, jelasnya ekoran RM2 bilion digunakan untuk pembangunan tanam semula, termasuk sara hidup dan pendahuluan hasil, RM603 juta pinjaman pembesaran rumah peneroka, RM662 juta untuk bagunan baru Menara Felda. Bagaimanapun, Anak berpendapat banyak keraguan di sebalik penjelasan tersebut. Selain itu, Anak juga jelasnya akan membuat laporan polis berhubung keraguan mereka terhadap penjelasan kerajaan itu di seluruh negara sehingga hujung bulan ini dan sehingga kini tiga laporan polis telahpun dibuat iaitu di Temerloh, Kota Tinggi dan hari ini di Segamat. Jika tiada sebarang respons dari laporan-laporan tersebut, Mazlan berkata perkara tersebut akan di bawa ke Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM). "Kita akan bawa semua wakil-wakil peneroka, anak-anak peneroka berhimpun beramai-ramai di hadapan pejabat SPRM. "Kita akan serahkan satu dokumen lengkap salah guna kuasa oleh kerajaan, minta SPRM siasat. Dalam pada itu, behubung RM2 bilion yang didakwa digunakan untuk tanam semula, Mazlan berkata Felda sepatutnya tidak mengalami kemerosotan, kerana mereka membuat pemotongan caruman RM40 setiap bulan bagi sejumlah 112,635 peneroka. Jika dikira sejak kali pertama Felda membuat pemotongan tersebut sehingga kini, dan dilaburkan, beliau memberitahu paling kurang Felda mendapat RM3 bilion daripada tanaman semula. "Ke mana pergi wang ini? Kita minta satu penjelasan dari Perdana Menteri," katanya lagi. Bagi pinjaman perumahan pula, Mazlan yang juga generasi kedua Felda berkata, seramai 18,406 telah membuat pinjaman dari Felda. Setiap peneroka, jelasnya diminta menandatangani satu borang serah kuasa dan dikehendaki membayar balik pinjaman dengan 2.5 peratus kos pengurusan. "Peneroka akan membayar balik pinjaman tersebut antara RM200 hingga RM300 sebulan. "Dia sebut Felda keluarkan RM603 juta, pada masa yang sama, berapa banyak kutipan telah dibuat oleh Felda atas skim pinjaman sejak 2005 hingga sekarang?" soalnya lagi. Beliau turut mempertikaikan kewajaran Felda memperuntukkan RM253 juta yang didakwa untuk tabung kemiskinan Sabah, sedangkan anak peneroka di Semenanjung ini pun tidak diberi apa-apa bentuk kebajikan. "Apa relevannya sebuah negeri seperti Sabah, yang mendapat geran setiap tahun, dalam bajet disalurkan peruntukan sekian banyak, tiba-tiba agensi seperti Felda yang mendapat peruntukan dari kerajaan awal dahulu untuk bantu rakyat, institusi ini pulak bantu kerajaan Sabah?" soalnya lagi. Keraguan juga timbul berhubung sejumlah RM662 juta yang didakwa diperuntukkan untuk bangunan baru Menara Felda. Menurut Mazlan, kenyataan Ahmad bahawa RM662 juta untuk bangunan baru tersebut juga bercanggah dengan kenyataan awal Datuk Seri Najib pada 2008. Najib pada waktu itu memberitahu kos untuk bangunan baru tersebut adalah RM640.77 juta dan akan siap dalam masa tiga tahun. |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.