Ahad, 27 Jun 2010

PKR tak bincang isu desak Khalid undur

THE MALAYSIAN INSIDER

SHAH ALAM — Pemukiman Parti Keadilan Rakyat (PKR) hari ini tidak membincangkan isu mengenai Pakatan 15 Anggota Parlimen parti itu yang mahu Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim melepaskan jawatannya.

Presiden parti Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata sebaliknya mesyuarat hanya membincangan persiapan parti menghadapi pilihan raya umum akan datang dan pemilihan jawatankuasa tertinggi PKR pada November ini.

“Saya tidak tahu apa-apa dan tiada perbincangan ke arah itu,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di luar mesyuarat itu, di sini hari ini.

Sementara itu, beberapa Anggota Parlimen PKR yang ditemui di pemukiman itu hari ini menafikan wujudnya Pakatan 15 seperti yang didakwa.

Anggota Parlimen Teluk Kemang Datuk Kamarul Baharin Abbas menganggap Pakatan 15 hanya sekadar nombor yang tidak membawa sebarang makna.

“Kenapa 15, kenapa tidak 20 ke 29? Semua itu hanyalah nombor yang didakwa oleh seseorang,” katanya.

Ditanya mengenai dakwaan bahawa beliau merupakan ketua pakatan berkenaan, Kamarul Bahrin berkata: “Dalam parti, saya mengetuai seketariat Anggota Parlimen dan Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN). Kalau yang itu, betullah.”

“Soal yang dibangkitkan dalam media, tidak ada dibincang dengan khusus, tidak ada petisyen, tidak ada memorandum, kalau ada tentu saya sudah tahu,” katanya.

Namun beliau tidak menolak kemungkinan perkara itu akan dibincangkan sekiranya ia dibangkitkan pada mesyuarat Majlis Pimpinan Parti esok.

Anggota Parlimen Balik Pulau Yusmadi Yusoff turut meluahkan kenyataan serupa dan menafikan ada perbincangan pada kalangan mereka yang mewujudkan pakatan meminta Abdul Khalid melepaskan jawatan sebagai Menteri Besar.

“Kami sebagai Anggota Parlimen hanya membincangkan isu nasional, bukan isu yang membabitkan sesebuah negeri,” katanya.

Selain Dr Wan Azizah dan beberapa pemimpin tertinggi lain, kelibat Abdul Khalid tidak kelihatan pada pemukiman hari ini.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.