KUALA LUMPUR: Bekas Timbalan Ketua Pemuda MIC, V Mugilan hari ini membuat laporan polis kerana mendakwa laman sosial facebook miliknya telah digodam oleh individu yang tidak bertanggungjawab.
Beliau membuat laporan tersebut di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi di ibu negara petang ini.
"Orang yang tidak dikenali menggodam facebook milik saya antara jam 3 dan 4 pagi tadi. Ada dua tulisan yang tertera dalam facebook saya.
"Pertama, saya ucapkan tahniah kepada Umno yang menjayakan GAS (Gerakan Anti Samy Vellu). Harap kerjasama anda berterusan sepanjang masa.
"Kedua penyokong Hindraf adalah bodoh dan samseng jalanan," kata Mugilan dalam sidang media di perkarangan IPD Dang Wangi.
Mugilan mendakwa beliau tidak tahu siapa dan bagaimana mereka boleh menggodam facebook miliknya.
Berikutan itu,Mugilan akan menutup segera facebook tersebut dan akan membuka semula minggu depan.
Provokasi supaya benci GAS
"Tulisan itu bertujuan untuk membuat provokasi supaya orang India membenci GAS yang dilancarkan supaya presiden MIC, Datuk Seri Samy Vellu meletakkan jawatan lebih awal yang dijadualkan.
Samy Vellu mengumumkan beliau akan meletak jawatan pada September 2011 tetapi tidak dipersetujui oleh Mugilan dan beberapa pemimpin MIC lain.
Mugilan berkata, beliau akan mengadakan perhimpunan GAS kali kedua dalam tempoh dua minggu lagi.
"Saya yakin usaha GAS supaya Samy Vellu cepat turun akan berjaya. Sudah ada tanda-tanda beliau akan berhenti awal.
"Samy Vellu berhenti awal adalah untuk kebaikan kaum India dan negara Malaysia juga," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.