GUA MUSANG — Bekas Pengerusi Petronas, Tengku Razaleigh Hamzah berkata beliau sedia menjadi saksi bagi pihak kerajaan negeri Kelantan sekiranya kerajaan negeri itu membawa kes tuntutan royalti minyak ke mahkamah.
Ahli Parlimen Gua Musang itu berkata tawaran itu dibuat kerana beliau lebih mengetahui mengenai perkara itu berikutan pernah dilantik sebagai orang bertanggungjawab dan ditugaskan menubuhkan Petronas serta terbabit dalam penyediaan Akta Petroleum.
“Saya boleh jadi saksi mengenai perkara itu kerana Akta Petroleum yang dipakai sampai sekarang adalah adil untuk kerajaan negeri terbabit membuat tuntutan,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan mesyuarat agung Persatuan Iba Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Menengah Kebangsaan Chiku 2, dekat sini, hari ini.
Sebelum ini, Exco kerajaan negeri dan Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Royalti Datuk Husam Musa berkata kerajaan negeri Kelantan akan membawa isu royalti minyak ke mahkamah pada 30 Ogos nanti.
Kerajaan negeri Kelantan yang diterajui PAS bertegas mahukan kerajaan pusat membayar royalti minyak dan bukan wang ihsan walaupun mengikut peraturan, negeri tersebut tidak layak menerima royalti kerana dua telaga minyak yang didakwa milik Kelantan terletak lebih tiga batu nautika dari pesisiran pantai negeri itu.
Kerajaan pusat setakat ini telah menyerahkan wang ihsan sebanyak RM25 juta kepada penduduk Kelantan.
Tengku Razaleigh yang juga Ketua Umno Bahagian Gua Musang berkata Akta Petroleum memberi hak kepada negeri-negeri yang mengeluarkan minyak menuntut hak royalti minyak.
Bagaimanapun, katanya beliau menyerahkan kepada kerajaan negeri Kelantan untuk membawa kes royalti minyak ke mahkamah dan beliau bersedia menjadi saksi.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.