Selasa, 29 Jun 2010

KDN putus status permit Suara Keadilan esok

Salhan K Ahmad


Kementerian Dalam Negeri akan bermesyuarat esok untuk menentukan status pembaharuan permit penerbitan akhbar Suara Keadilan, kata ketua pengarang akhbar itu Dzulkarnain Taib.

Sehubungan itu, beliau juga perlu menjawab kesemua tiga surat tunjuk sebab yang telah dikemukakan oleh kementerian itu sebelum ini.

"Surat itu mungkin dialamatkan kepada ibu pejabat parti, saya perlu cari surat itu terlebih dahulu dalam fail," katanya ketika dihubungi hari ini.

Tambahnya, akhbar itu juga diberikan tempoh selama tujuh hari untuk satu lagi surat tunjuk sebab yang dikemukakan dalam pertemuan Dzulkarnain dengan KDN semalam.

Sementara itu menurut Bernama, dua surat tunjuk sebab pada Januari dan April itu, masing-masing melibatkan kegagalan syarikat akhbar berkenaan menghantar lapan salinan akhbar itu pada setiap keluaran kepada kementerian.Satu lagi surat pada Februari adalah berkaitan tiga laporan akhbar tersebut, bertajuk "Umno dan BN Ketagih Hasil Petronas", "BN Bolot Jualan Saham Pernas" serta "Umno dan BN Merosakkan Institusi Perubatan.

Surat terbaru yang dikemukakan dalam satu pertemuansemalam pula menuntut penjelasan berhubung satu laporan dalam edisi terbaru akhbar tersebut, yang mendakwa Lembaga Kemajuan Tanah Persekutun (Felda) telah muflis.

Pertemuan selama satu jam itu dihadiri ketua setiausaha KDN Datuk Seri Mahmood Adam, timbalannya Datuk Ahmad Fuad Abdul Aziz serta Setiausaha Bahagian Kawalan Penerbitan dan Teks al-Quran Datuk Zaitun Ab Samad.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.