|
|
Wartawan Mingguan Malaysia, NORAINI ABD. RAZAK meninjau pandangan pakar pendidikan, Anuar Ahmad berhubung cadangan tersebut. Menurut pensyarah Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) itu, sudah tiba masanya sistem penilaian peringkat rendah dan menengah yang terlalu berorientasikan peperiksaan dirombak.
Presiden Persatuan Ibu dan Guru Nasional (PIBGN), Prof. Madya Datuk Mohd. Ali Hassan mempunyai pandangan yang sama. Ketika ditemubual HAFIZAHRIL HAMID, beliau menekankan tentang pentingnya memastikan setiap pelajar menguasai kemahiran asas iaitu Menulis, Membaca dan Mengira daripada terlalu memberi penekanan kepada peperiksaan semata-mata.
MINGGUAN: Adakah anda bersetuju UPSR dan PMR dimansuh?
ANUAR AHMAD:
Bagi saya bukan mansuh tetapi rombak. Ini kerana memansuhkan sesuatu sistem penilaian akan mengakibatkan kita kehilangan satu aspek penting dalam kurikulum. Dalam setiap kurikulum mesti ada pengajaran dan pembelajaran (P&P), serta penilaian. Kalau tidak ada penilaian akan mencacatkan subjek kurikulum. Dari sudut teori pendidikan semua mengakui bahawa dalam diri manusia ada banyak potensi. Cumanya sebab UPSR terlalu berorientasikan pencapaian akademik, maka potensi-potensi lain walaupun dikembangkan dalam sistem pendidikan rendah tetapi tidak diutamakan. Misalnya dalam bidang sukan, kebudayaan, perbahasan, bahasa komunikasi, interpersonal. Walaupun semua itu penting tetapi oleh kerana sistem pendidikan kita yang terlalu berorientasikan peperiksaan maka keperluan itu dikesampingkan.
Saya percaya peperiksaan perlu dirombak supaya semua elemen potensi manusia ini digabungkan semula. Apabila Kurikulum Baru Sekolah Rendah (KBSR) dilaksanakan pada 1983, memang sudah mengambil kira semua perkara itu. Cumanya apabila dijadikan dalam bentuk penilaian, penilaian itu telah menjadikan struktur pendidikan terlalu berorientasikan peperiksaan.
Peringkat mana sebenarnya penilaian itu penting?
ANUAR AHMAD: Memang perlu ada dua tahap penilaian iaitu di peringkat rendah dan menengah. Itu mesti wujud. Tetapi untuk sekolah rendah, penilaian mesti dilakukan secara berterusan. Falsafah pendidikan sekolah rendah adalah pelajar menguasai perkara asas. Tidak boleh mana-mana pelajar ditinggalkan walaupun dikategorikan sebagai lemah, atau pendidikan khas iaitu menguasai kemahiran Menulis, Membaca dan Mengira. Oleh itu mungkin pada peringkat paling awal iaitu Tahun 3, guru perlu menilai dan memastikan membuat laporan pencapaian pelajar sama ada telah menguasai perkara asas atau tidak. Untuk Tahun 5 dan 6 kita kena buat intervensi. Jika pelajar tidak boleh menulis, membaca dan mengira dengan baik maka guru mesti ada intervensi untuk menyelesaikan masalah pendidikan asas.
Henti bunuh potensi pelajar
|
|
MINGGUAN: Apa pandangan Datuk tentang isu pemansuhan peperiksaan UPSR dan PMR?
MOHD ALI: Mungkin sudah terlalu lama sistem pendidikan kita terlalu menekan kepada peperiksaan semata-mata. Kita sebenarnya perlu menghasilkan pelajar yang tidak bergantung kepada peperiksaan tetapi belajar untuk sepanjang hayat. Jelas bahawa perubahan yang mahu dilakukan adalah betul-betul menyeluruh selaras dengan falsafah pendidikan kebangsaan. Ini termasuklah dari segi jasmani, emosi, rohani, intelek dan saya tambah satu lagi iaitu semangat sosialisasi yang baik.
Ini membantu melahirkan pelajar yang mempunyai kecerdasan fizikal (PQ), emosi, (EQ), rohani (SQ), intelek (IQ) dan saya tambah FQ atau kecerdasan kekeluargaan. Semua ini penting dalam keadaan masyarakat majmuk seperti Malaysia dan lebih penting kita tidak mahu anak-anak kita hanya berjaya dalam akademik semata-mata. Ini juga selaras dengan dasar yang mahu dibawa oleh Kementerian Pendidikan iaitu satu pelajar satu sukan. Ini bagus kerana apabila pelajar mempunyai badan yang sihat otak mereka juga sihat. Ini membantu pelajar apabila meningkat dewasa tidak hanya bergantung kepada kerja-kerja yang bersifat akademik dan fakta semata-mata.
Jika kita lihat sekarang ini para pelajar sebenarnya terlalu tertekan dengan peperiksaan. Selain itu pelajar juga dilihat agak ketinggalan dalam bidang bahasa. Jika kita bandingkan dengan penguasaan bahasa pelajar di Singapura misalnya pelajar kita ketinggalan dari segi komunikasi mahupun dalam menyampaikan buah fikiran.
Bagaimana kita boleh mengatasi masalah ini?
MOHD ALI: Bagi saya adalah penting para pelajar terutama di peringkat rendah mahupun di sekolah menengah benar-benar memahami dan menguasai kaedah 3M iaitu membaca, mengira dan menulis. Ini kerana perkara ini adalah asas dalam pembelajaran. Tanpa mereka menguasai 3M, bagaimana mereka hendak meneruskan pendidikan ke peringkat yang lebih tinggi lagi selain meningkatkan tahap mentaliti dan pemikiran mereka.
Oleh itu kita perlu memperhebatkan lagi proses 3M ini untuk mereka memajukan tahap pemikiran mereka dan kemudian dapat terus membudayakan sifat membaca kerana ia mengasah minat mereka sama ada dalam bidang sains, teknologi, pengiraan, sastera dan sebagainya. Sekarang ini selepas sahaja habis peperiksaan tidak ada budaya membaca kerana mereka belajar hanya untuk peperiksaan dan budaya inilah yang akan meningkatkan pemahaman dan kecenderungan mereka. Kalau kita lihat di negara-negara maju budaya membaca adalah asas yang sangat penting.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.