Ahad, 27 Jun 2010

Cubaan Guling MB Selangor, Agenda Media?

KELAB GREENBOC

MB: Perbezaan Pendapat Lumrah Dalam Politik

Tan Sri Abdul Khalid hari ini menyifatkan perbezaan pendapat antara pimpinan dalam sesebuah pertubuhan politik adalah lumrah, sebaliknya beliau menegaskan, perkara tersebut membantu memantapkan sesebuah parti.

"Ini perkara biasa dalam persatuan atau politik, Ini yang disebut sebagai perbezaan antara kepimpinan. Ini satu-satunya persatuan yang matang dan mengalami keadaan ini dan secepat mungkin perkara ini akan diselesai.

"Apa-apa pun mesti ada penyelesaian dua pihak. Kita dalam parti, biasanya mengadakan mesyuarat untuk isu penting. Tapi, saya rasa isu selangor ini tidak sepenting dalam isu memantapkan parti dan mengemas kini jentera parti," katanya.

Sungguhpun media mendakwa wujud tekanan terhadap Khalid, 17 daripada 22 pemimpin bahagian PKR Selangor pula mengadakan mesyuarat tergempar bagi menyatakan sokongan terhadap Menteri Besar Selangor.

Mesyuarat tergempar ini dibuat berikutan spekulasi media kononnya 15 ahli parlimen cuba menggulingkan Khalid semasa permukiman parti itu di Shah Alam.

Mengulas hal ini, Ahli Parlimen Subang, R Sivarasa meminta semua pihak tidak terpengaruh dengan media yang mungkin ada agenda tertentu.

"Spekulasi yang diulang-ulang dalam media, jadi jangan kita ambil sebagai satu kebenaran. Tidak wujud, sebab saya ahli parlimen dan saya kenal kawan-kawan saya.

"Inilah isu yang kadang-kadang akan ada perbezaan sedikit. Ini akan diselesaikan dalam saluran yang ada dalam parti seperti retreat dan mesyuarat dalam parti," katanya. -TVS


PKR tak bincang isu desak Khalid undur

SHAH ALAM, 26 Jun — Pemukiman Parti Keadilan Rakyat (PKR) hari ini tidak membincangkan isu mengenai Pakatan 15 Anggota Parlimen parti itu yang mahu Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim melepaskan jawatannya.

Presiden parti Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata sebaliknya mesyuarat hanya membincangan persiapan parti menghadapi pilihan raya umum akan datang dan pemilihan jawatankuasa tertinggi PKR pada November ini.

“Saya tidak tahu apa-apa dan tiada perbincangan ke arah itu,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di luar mesyuarat itu, di sini hari ini.

Sementara itu, beberapa Anggota Parlimen PKR yang ditemui di pemukiman itu hari ini menafikan wujudnya Pakatan 15 seperti yang didakwa.

Anggota Parlimen Teluk Kemang Datuk Kamarul Baharin Abbas menganggap Pakatan 15 hanya sekadar nombor yang tidak membawa sebarang makna.

“Kenapa 15, kenapa tidak 20 ke 29? Semua itu hanyalah nombor yang didakwa oleh seseorang,” katanya.


Ditanya mengenai dakwaan bahawa beliau merupakan ketua pakatan berkenaan, Kamarul Bahrin berkata: “Dalam parti, saya mengetuai seketariat Anggota Parlimen dan Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN). Kalau yang itu, betullah.”

“Soal yang dibangkitkan dalam media, tidak ada dibincang dengan khusus, tidak ada petisyen, tidak ada memorandum, kalau ada tentu saya sudah tahu,” katanya.

Namun beliau tidak menolak kemungkinan perkara itu akan dibincangkan sekiranya ia dibangkitkan pada mesyuarat Majlis Pimpinan Parti esok.

Anggota Parlimen Balik Pulau Yusmadi Yusoff turut meluahkan kenyataan serupa dan menafikan ada perbincangan pada kalangan mereka yang mewujudkan pakatan meminta Abdul Khalid melepaskan jawatan sebagai Menteri Besar.

“Kami sebagai Anggota Parlimen hanya membincangkan isu nasional, bukan isu yang membabitkan sesebuah negeri,” katanya.

Selain Dr Wan Azizah dan beberapa pemimpin tertinggi lain, kelibat Abdul Khalid tidak kelihatan pada pemukiman hari ini. — Bernama

Ulasan GB

Sejak beberapa hari kebelakangan ini, sebuah akhbar online kerap menimbulkan berita-berita sensasi terhadap negeri Selangor malah mengada-adakan perkara yang tiada.

Diperbesarkan tajuk berita yang cuba untuk menjejaskan reputasi MB Selangor seperti tajuk-tajuk "Azmin dakwa MB Selangor tak berubah meskipun ditegur", "Khalid: Saya tidak terfikir letak jawatan MB", "Azmin letak jawatan pengarah PKNS, dipercayai ‘protes’ MB", "Sah, Nik Nazmi tinggalkan pejabat MB Selangor" dan lain-lain.

Ehem, ada agenda?

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.