JOHOR BAHRU - Tumpahan minyak akibat pelanggaran Kapal MV Waily dengan kapal tangki MT Bunga Kelana 3 yang membawa 61,858 tan metrik minyak mentah Selasa lalu yang dilaporkan memasuki Tanjung Ayam, kini dikesan merebak ke perairan Teluk Ramunia.
Bagaimanapun Ketua Pengarah Jabatan Alam Sekitar, Datuk Rosnani Ibrahim berkata, tumpahan itu masih terkawal kerana hanya beberapa kesan tompokan kecil minyak dikesan di situ berbanding di Tanjung Ayam.
''Pihak kami sedang melakukan pemantauan secara berterusan bagi memastikan ia berada dalam keadaan terkawal.
"Di Tanjung Ayam, kami mendapati sebahagian minyak yang tumpah bertukar menjadi ketulan tar di pesisiran pantai dan usaha pembersihan sedang dijalankan," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Rosnani berkata, pihaknya kini menggunakan teknik penyuraian bagi memecahkan baki tumpahan minyak yang terdapat di Tanjung Ayam dengan menggunakan sabun khas, selain mengutip ketulan tar kecil di pesisiran pantai tersebut secara manual.
Beliau berkata, boya-boya turut dipasang di perairan itu bagi mengelak ia daripada merebak dan mencemarkan perairan lain.
Dalam kejadian pukul 6 pagi Selasa lalu, kapal MV Waily yang berdaftar di Kingstown, Saint Vincent and The Grenadines sedang dalam perjalanan ke Hong Kong bertembung dengan Kapal Bunga Kelana 3 yang berdaftar di Pelabuhan Klang yang membawa 61,858 tan metrik minyak mentah sehingga mengakibatkan tumpahan minyak.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.