KUCHING: Niat pihak berkuasa membantu menyelesaikan masalah rakyat sememangnya baik, namun ada kalanya pelaksanaannya mungkin menimbulkan kesulitan kepada rakyat seperti yang menimpa penduduk di Taman Heng Guan di sini.
Jalan Matang memang diketahui antara laluan yang dinaiki air setiap kali musim tengkujuh sehingga menyebabkan penduduk terputus hubungan ke pusat bandar.
Antara punca, jalan antara Matang Jaya sehingga Taman Heng Guan kerap dinaiki air adalah kedudukannya yang agak rendah selain faktor parit gagal menampung aliran air hujan.
Malah, jalan itu boleh dinaiki air dalam tempoh antara satu hingga dua jam hanya disebabkan hujan lebat.
Berikutan itu, kerajaan mengambil inisiatif membina Projek Pembetungan Banjir Kuching Fasa 1, dengan projek berkenaan dilancarkan sejak tahun lalu membabitkan beberapa kawasan seperti di Bau, pusat bandar Kuching termasuk kawasan sekitar kerap dilanda banjir.
Difahamkan, kerja membesarkan saliran dan memasang sistem pembetungan bersaiz besar turut menimbulkan rungutan di kalangan penduduk sekitar termasuk peniaga.
Seorang kakitangan awam, Ismail Abdullah, 37, berkata sebagai penduduk di kawasan itu beliau memang berterima kasih dengan usaha kerajaan yang cuba menyelesaikan masalah mereka yang kerap terputus hubungan ketika musim hujan.
“Bagaimanapun kontraktor yang terbabit dengan kerja membina sistem saliran baru ini enggan mendengar cadangan penduduk yang meminta mereka berhati-hati melakukan kerja menggali bimbang berlaku kerosakan kepada harta kami.
“Lihat saja pagar konkrit surau taman ini yang terletak bersebelahan tapak projek, strukturnya sudah condong dan jika sesuatu tidak dilakukan ia pasti akan roboh,” katanya.
Selain dinding surau, tinjauan turut mendapati beberapa pagar konkrit kediaman penduduk turut rosak, malah ada pemilik rumah yang terpaksa berputih mata melihat laluan berjubin yang dibina terpaksa dipecahkan.
Seorang peniaga yang hanya dikenali sebagai Ah Lim, 51, berkata dia mengalami kerugian hampir RM10,000 ketika kontraktor menjalankan kerja memecahkan jambatan dari jalan ke premisnya.
“Mereka memberitahu saya jambatan itu akan dibina semula dalam tempoh tidak sampai seminggu, namun saya terpaksa menunggu hampir sebulan sebelum laluan baru siap dibina.
Bagaimanapun ketika ini kerja pembinaan sistem pembetungan di bahagian pusat komersil Taman Heng Guan berjaya disiapkan dengan kerja di bahagian kediaman penduduk sudah mencapai kira-kira 60 peratus siap.
Projek itu dijangka siap sepenuhnya pada Jun depan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.