Ahad, 30 Mei 2010

Pasukan khas PKR raih sokongan Melayu

Salhan K Ahmad



Dalam rangka meraih sokongan lebih ramai masyarakat Melayu, presiden PKR Datuk Seri Wan Azizah Ismail berkata parti itu akan menubuhkan satu pasukan khas bagi mengkaji isu yang melibatkan mereka.

Isu yang dikenalpasi itu termasuk melibatkan Felda, usaha menaiktaraf kemahiran kakitangan awam dan soal pengurusan harta Islam.

Berucap di kongres parti itu di Kota Bharu hari ini, Wan Azizah berkata, pasukan tersebut akan dianggotai wakil pelbagai kaum kerana isu Bumiputera bukanlah isu eksklusif golongan itu sahaja.

"Tanggungjawab itu akan dipikul bersama oleh pimpinan pelbagai kaum - seperti mana isu yang rapat dengan kaum-kaum lain.

"Kita akan angkat isu bumiputera, Cina dan India terutama yang berpendapatan rendah dan miskin sebagai isu rakyat Malaysia, manakala hak masyarakat juga akan kita angkat sebagai isu rakyat Malaysia," katanya ketika menyampaikan ucapan dasarnya.

Tambahnya, soal pembinaan jati diri dan daya saing itu juga merupakan persoalan kaedah.

"Sebab itu PKR telah menyediakan kaedah baru untuk membina jati diri dan daya saing orang Melayu dan Bumiputera - melalui Agenda Ekonomi Malaysia.

"(Oleh itu) menjadi tanggungjawab semua anggota parti untuk membawa hujah bahawa kaedah melalui agenda ekonomi ini adalah yang terbaik untuk seluruh rakyat Malaysia," katanya.

Usaha itu, katanya lagi, adalah untuk menghadapi cengkaman Umno ke atas orang Melayu, contohnya melalui rancangan Felda.

Jelasnya, rancangan tersebut, yang dimulakan oleh bekas perdana menteri Allahyarham Tun Abdul Razak, bertujuan untuk memberikan tanah kepada golongan miskin.

"Tujuannya adalah untuk memberikan tanah kepada orang miskin agar mereka mempunyai aset untuk bergiat dalam kegiatan ekonomi.

"Maka peneroka yang menyertai skim akan berpeluang memiliki tanah sendiri untuk diusahakan.

"40 puluh tahun berlalu apa yang telah berlaku? Peneroka Felda (sekarang) tidak lebih dari pekerja ladang yang makan gaji dengan Felda, sebuah syarikat korporat milik kerajaan.

"Pelbagai sekatan dikenakan, penuh dengan putar belit hingga peneroka Felda terpaksa ke mahkamah untuk mendapatkan hak mereka. Harapkan pagar, pagar pula yang makan padi," katanya lagi.

Selain Felda, katanya, jawatankuasa yang akan dibentuk itu juga akan menyiasat isu melibatkan pengurusan tanah rizab Melayu, tanah wakaf dan juga institusi seperti Tabung Haji dan Bank Islam.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.