Hazayani Zakaria |
HULU SELANGOR: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak diminta menyelesaikan masalah gaji minimum pekerja-pekerja ladang yang masih belum mencapai RM1,000 sebulan. Penyelaras Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Zaid Ibrahim berkata, Pakatan Rakyat sudah lama menuntut agar isu gaji minimum di kalangan pekerja ladang diberi keutamaan namun tidak ada sebarang tindakan proaktif diambil oleh kerajaan. "Soal gaji pekerja ladang ini sudah lama menjadi satu isu. Pakatan Rakyat menuntut Kerajaan Persekutuan memberi gaji minimum dan perkara ini telah diperkatakan oleh semua pihak tapi tidak ada tindakan di pihak kerajaan. "Pada saya gaji RM1,200 sebulan adalah minima untuk hidup di Malaysia. Dalam sektor perladangan ini ada 250 ribu orang semuanya. Ini bukan soal Melayu atau India. Ini semua soal pekerja ladang. “Saya dapati keadaan ekonomi mereka sangat teruk. Gaji terlalu rendah dan bergantung kepada berapa hari bekerja. Kalau demam tidak boleh kerja, tidak ada gaji," katanya ketika ditemui selepas melawat Ladang Bukit Tagar, dekat sini hari ini. Beliau yang merupakan calon bagi Pakatan rakyat dalam pilihan raya kecil Hulu Selangor April lalu juga berkata, meskipun kalah dalam pilihan raya itu, namun beliau akan tetap berusaha untuk membela nasib -pekerja-pekerja ladang di kawasan itu yang sudah lama terbiar. Justeru, beliau akan bertemu dengan Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim dan Exco yang terbabit bagi membincangkan perkara itu untuk diambil tindakan. "Walaupun saya tidak ada jawatan di Selangor, tapi saya akan cuba bertemu dengan Menteri Besar dalam membela nasib pekerja ladang ini. Bukan untuk tentukan gaji sebab kerajaan negeri tidak ada kuasa untuk tentukan gaji tapi untuk mengurangkan beban mereka dari segi perubatan, kebajikan dan lain-lain. "Saya rasa kerajaan negeri boleh memberi tumpuan.saya juga akan bertemu Exco-Exco yang terbabit supaya pekerja ladang di Hulu Selangor ini mendapat keperluan asas. Saya rasa kerajaan negeri boleh membantu," katanya. Bekas anggota kabinet Barisan Nasional itu juga mempersoal kerajaan yang meletakkan hal ehwal pekerja ladang di bawah Kementerian Sumber Manusia yang dilihat tidak ada kena mengena dengan mereka. "Saya hairan mengapa pekerja ladang ini kerajaan pusat letak di bawah Kementerian Sumber Manusia. Mengapa tidak diletak di bawah kementerian-kementerian yang berkaitan. Kenapa pekerja ladang diletak di bawah kementerian yang tidak ada kena-mengena dengan ladang,” soalnya. Zaid turut menyarankan ahli Parlimen kawasan itu, Kamalanathan agar membawa isu itu ke Parlimen untuk membuktikan beliau ikhlas untuk berkhidmat kepada rakyat. "Wakil rakyat Hulu Selangor, Kamalanathan, dia dah menang jadi saya minta dia tuntut di parlimen apa dia nak buat dengan masalah gaji rendah ini. Saya nak tanya kerajaan dan Barisan Nasional apakah perancangan mereka? Adakah mereka akan menyokong Pakatan Rakyat supaya ada gaji minimum dalam sektor perladangan,” katanya. |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.