Ahad, 30 Mei 2010

Melayu sudah tolak MEB, kata Ibrahim kepada PM



SELANGOR KINI


KUALA LUMPUR— Datuk Seri Najib Razak secara terus-terang tetapi tegas diberitahu malam tadi bahawa orang Melayu telah pun menolak Model Ekonomi Baru (MEB), yang perdana menteri kemudiannya menjelaskan ia belum dimuktamadkan.

Presiden Perkasa Datuk Ibrahim Ali yang mempengerusikan kongres ekonomi Majlis Perundingan Melayu (MPM) menyampaikan pendirian orang Melayu dan Bumiputera pada majlis penutup program itu yang diadakan di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini malam tadi.

Najib merupakan tetamu utama dan menerima usul kongres tersebut.

“Datuk Seri, saya sedih untuk mengatakan, kongres telah menolak (rangka awal) Model Ekonomi Baru,” kata Ibrahim ke arah Najib, juga Presiden, yang kelihatan dengan serius menerima pandangan itu.

Ibrahim meluahkan pandangan itu ketika tinggal kurang dua minggu sebelum laporan penuh MEB diumumkan,

Najib, yang juga Menteri Kewangan, dijadual membentangkan laporan penuh MEB bersama Rancangan Malaysia Ke-10 pada 10 Jun ini.

Pada majlis penutup Ibrahim juga mengemukakan resolusi yang dicapai pada kongres itu yang bersidang sejak pagi semalam.

Ini kali pertama MPM mengadakan kongres seumpama itu sejak Najib mengumumkan laporan awal pada akhir Mac lalu.

Kongres MPM meluluskan resolusi 31 perkara, antara lain mendesak agar tindakan afirmatif diambil untuk mempertahankan kepentingan orang Melayu dan Bumiputera.

“Kongres berlangsung dengan panas. Jika saya tidak mengubah teks ucapan saya, ia boleh dilihat sebagai satu bentuk undi tidak percaya terhadap Datuk Seri),” katanya.

“Sudah pasti ini adalah situasi di mana media arus perdana atau blog akan meletakkan tekanan ke atas Perdana Menteri untuk memecat saya tetapi saya tidak kisah kerana saya bukan dalam kerajaan ataupun ahli Umno,” kata beliau yang pernah dipecat dari Umno.

Kebanyakan peserta kongres itu mengecam MEB dan Majlis Penasihat EKonomi Kebangsaan (NEAC) yang merupakan peneraju jawatankuasa yang merangkanya dengan menyifatkan mereka telah mengkhianati kontrak sosial yang mengiktiraf hak ekonomi orang Melayu.

Sebelum ini Ibrahim berkata lebih 100 badan bukan kerajaan akan menghadiri kongres tersebut.

Ibrahim berkata, pihaknya mengakui adanya orang Melayu dalam NEAC tetapi mereka adalah kumpulan Melayu liberal, yang merupakan produk Dasar Ekonomi Baru tetapi telah lupa asal usul mereka.

Ibrahim menegaskan, MPM berpendapat DEB masih belum mencapai objektifnya untuk memperkukuhkan penyerataan ekonomi orang Melayu khususnya sektor swasta.

Kata beliau, MPM juga berpendapat bahawa membunuh DEB menerusi dasar-dasar neo-liberal di bawah MEB hanya akan menyisihkan orang Melayu, yang merupakan majoriti penduduk negara ini daripada arus perdana ekonomi.

Dalam ucapan tegasnya itu, Ibrahim yang juga Anggota Parlimen Bebas dari Pasir Mas, Kelantan menambah, MPM yakin Najib akan meneruskan legasi bapanya, Allahyarham Tun Abdul Razak Hussein apabila melaksanakan MEB kelak.

Secara berseloroh, Ibrahim sambil berkata telah ‘melepasi’ sempadan dengan ucapan lantang dan terbuka itu, beliau masih ‘tabik hormat’ kepada perdana menteri.

Ungkapan itu mencuit para hadirin majlis tersebut.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.