SINAR HARIAN ONLINE
Kisah kesengsaraan dan keperitan hidup yang dilalui oleh penyanyi yang begitu popular di era 80-an dengan lagu Menaruh Harapan, Zaiton Sameon tidak terhenti begitu sahaja.
Walaupun sudah kembali aktif menyanyi selepas pulih ingatan daripada terbabit dengan sebuah kemalangan, tetapi sumber pendapatan yang diperolehi tidaklah seperti mana bagi menampung kehidupannya.
Hingga kini ada sahaja yang masih ingin mengambil kesempatan di celah-celah kesempitan yang dilalui anak kelahiran Rembau, Negeri Sembilan ini.
Ini kerana ada segelintir masyarakat yang dikatakan mengaut keuntungan dengan mempergunakan populariti yang pernah ada padanya satu masa dahulu.
Melihatkan kesengsaraan yang dilalui ini, masih ada sesetengah golongan yang mempunyai inisiatif membantunya seperti Bruas Filem Sdn Bhd yang melancarkan penerbitan sebuah filem cereka biografi pertama Malaysia yang diadaptasi daripada kisah benar kehidupan Zaiton Sameon dengan judul Zaiton-Ceritaku.
“Pada awalnya saya amat terkejut dengan tawaran yang diberikan. Ini kerana sesuatu yang tidak pernah disangkakan. Dalam masa yang sama saya gembira dan sangat menghargai pada syarikat filem yang sudi menerbitkan filem sebegini. Namun, untuk menceritakan sepenuhnya saya tidak tahu dan kurang mengingatinya tetapi ada yang membantu untuk melengkapkan kisah hidup ini,” kata Zaiton yang pernah menjuarai Juara Lagu pada 1987.
Rahim Adnan selaku pengurusnya turut menyatakan tawaran itu diterima berikutan keprihatinan syarikat produksi tersebut yang turut bersimpati dengan nasib yang menimpa Zaiton dan dalam masa yang sama ingin membantu mengurangkan beban yang ditanggung terutama dari segi kewangan.
Sehubungan dengan itu, bagi pihak Bruas Filem Sdn Bhd idea untuk menerbitkan filem biografi ini datangnya daripada peneraju syarikat produksi ini, Ainon Arif.
“Pada dasarnya kami tidak ada hubungan kekeluargaan mahupun teman rapat tetapi sebagai seseorang yang mengetahui perjalanan hidupnya terasa begitu kesian bila memikirkannya. Idea itu timbul sekitar 2009 di mana ada keinginan untuk membantu dari segi kewangan. Bukan kita tidak boleh mengutip dana untuknya tetapi dengan cara ini rasanya dalam pada masa yang sama kita boleh memberikannya pendapatan tambahan.”
Melalui penceritaannya itu, Zaiton telah diberikan oleh pihak syarikat produksi sebanyak RM10,000 dan sekiranya filem ini berjaya dan mendapat sambutan, pihak produksi akan memberikan saguhati atau sumbangan lain.
Filem yang digarap sepenuhnya oleh Ainon Arif ini akan memulakan penggambaran pada Jun depan selama lebih kurang 20 hari dan akan diarah oleh Fauziah Nawi.
Zaiton-Ceritaku yang juga projek sulung Bruang Filem Sdn Bhd mengisahkan perjalanan hidup Zaiton selepas kemalangan. Dalam tragedi yang telah mengorbankan anaknya, Irwan maka bermulalah suatu perjalanan yang pahit harus ditempuhinya.
Tambah hebat apabila banyak cabaran terus dilalui selepas kematian kedua ibubapanya sehinggalah dia bertemu dengan seorang insan yang sanggup membantu Zaiton mengharungi hidup.
Cerita ini juga diharap membuka mata masyarakat agar dapat menerima Zaiton seadanya.
Antara barisan pelakon yang turut membintangi Mislina Mustaffa, Harun Salim Bachik, Shikh Abdull Rashid, Nafisah Atan, Abu Shafian Abdul Hamid, Ako Mustapha dan Wati Elite.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.